#3418: Pemakaian Pakaian Atlet Gimnastik dan Renang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya, apakah hukum mengenai pemakaian peserta gimnastik dan renang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ‎

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Ahzab: 59)

Allah SWT di dalam kedua ayat di atas memerintahkan para isteri-isteri Nabi SAW dan semua perempuan yang beriman agar menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram dan apabila keluar daripada rumah. Ini merupakan perintah secara umum kepada semua wanita agar menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram dan apabila keluar daripada rumah.

Dari keindahan agama Islam adalah bahawa ia merupakan agama yang menyeluruh. Salah satu tandanya adalah islam mementingkan jiwa dan jasmani manusia. Ia memenuhi keperluan jiwa dan sebab-sebab yang membawa kepada kebahagiaan. Dalam masa yang sama islam tidak mengabaikan jasmani dan faktor-faktor yang memberi tenaga kepada badan. Oleh itu, islam mengajak untuk memberi perhatian kepada tubuh badan dan mengambil langkah-langkah untuk memperkuatkan badan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

المؤمنُ القويُّ خيرٌ وأحبُّ إلى اللهِ من المؤمنِ الضعيفِ وفي كلٍ خيرٌ

Maksudnya: Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada mukmin yang lemah dan masing-masing memiliki kebaikan.

Riwayat Ibn Majah (2664)

Hadith ini menujukkan bahawa seorang mukmin yang kuat iaitu merujuk kepada mukmin yang mempunyai tekad yang kuat dan tubuh yang sihat adalah yang terbaik dan lebih dekat kepada allah SWT berbanding mukmin yang memiliki tekad yang lemah dan  tubuh badan yang tidak sihat. Namun kedua-duanya memiliki kebaikan kerana adanya iman. (Lihat Fiqh al-Islam Syarh Bulugh al-Maram, 10/295 )

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda :

وإنّ لجسدِك عليك حقًّا

Maksudnya:Sesungguhnya Jasadmu mempunyai hak ke atas dirimu.”

Riwayat Muslim(1159)

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa  bersukan itu sangatlah penting dalam kehidupan individu Islam.  Kerana itulah Islam menyarankan supaya mengajar anak-anak bersukan atau berolah-raga, renang, melempar, menunggang kuda dan memanah.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa hukum asal bagi sukan gimnastik dan renang itu adalah harus kerana kaeadah menyebut :

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ

Maksudnya: “Asal pada sesuatu perkara adalah harus.”

Namun ia juga boleh membawa kepada haram jika sukan itu membawa kepada perkara-perkara yang menyebabkan pelanggaran kepada hukum syariat, terbukanya aurat, kemudaratan pada jiwa, berlakunya perpecahan dan bercampur antara lelaki dan perempuan tanpa mengikut  ketetapan yang telah ditetapkan oleh syara’. Ini kerana kaedah fiqh ada menyebut :

مَا أَدَّى إِلَى الحَرَامِ فَهُوَ حَرَام

Maksudnya: “Apa yang membawa kepada perkara yang haram maka hukumnya adalah haram.”

Dalam hal ini juga, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga ada mengeluarkan Garis Panduan Berpakaian Bagi Atlet Beragama Islam  yang mana antaranya menyebut:

  • Pakaian sukan yang dipakai hendaklah memenuhi etika berpakaian yang ditetapkan oleh syarak seperti menutup aurat, sopan dan bersesuaian dengan sukan yang diceburi.
    • Lelaki: T-shirt dan berseluar panjang atau seluar yang melepasi paras lutut.
    • Perempuan: T-shirt lengan panjang, berseluar panjang dan menutup rambut serta leher. Pakaiannya juga mestilah longgar dan tidak menampakkan susuk badan.
  • Semasa bersukan, percampuran bebas antara lelaki dan wanita adalah dilarang;
  • Penggunaan tempat bersukan antara lelaki dengan perempuan seperti padang permainan, trek olahraga, gimnasium, kolam renang dan sebagainya hendaklah disediakan secara berasingan
  • Sekiranya kemudahan penggunaan tempat bersukan secara berasingan tidak dapat disediakan, sebagai alternatif, jadual masa penggunaan bagi lelaki dan wanita hendaklah dilaksanakan.
  • Jenis-jenis sukan yang ekstrem, berisiko tinggi dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada fizikal, mental dan spiritual serta tidak memberi manfaat kepada para pesertanya adalah dilarang. Termasuk dalam kategori ini juga ialah pertandingan makan makanan eksotik seperti kala jengking, labah-labah dan seumpamanya serta pertandingan memakan benda-benda yang haram, najis, kotor, menjijikkan dan seumpamanya.
  • Bagi kaum wanita, penyertaan mereka dalam sukan-sukan yang bercanggah dengan fitrah kewanitaan mereka dan bertentangan dengan adab, adat dan tatasusila adalah dilarang. [1]

Justeru kami katakan bahawa terdapat banyak faedah dalam melakukan aktiviti bersukan namun sebagai individu muslim hendaklah mengikut peraturan-peraturan sebagaimana  yang telah diterangkan di atas agar tidak melanggar apa yang telah ditetapkan oleh syara’.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa dalam Islam, apa-apa perkara yang melibatkan aktiviti luar sewajarnya hendaklah dilakukan dalam menutup aurat termasuklah dalam hal bersukan sama ada bagi lelaki dan perempuan. Berkenaan dengan pakaian dalam sukan Gimnastik dan Renang pada masa kini, sejujurnya kami katakan bahawa pakaian bagi acara tersebut adalah tidak sesuai kerana tidak menutup aurat dan menampakkan bentuk tubuh badan bagi lelaki dan juga wanita.

Islam tidak melarang umatnya untuk bersukan, tetapi apabila ia melibatkan pemakaian, maka wajib bagi yang menyertainya menutup aurat dan mengikut tatasusila yang telah ditetapkan oleh syara’. Di sini kami harapkan supaya pihak kerajaan boleh mengambil peranan dalam menetapkan peraturan dan garis panduan bagi orang islam supaya mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh syara’ ketika menjalani aktiviti sukan antaranya ialah sepertimana berikut :

  • Berpakaian yang sopan yang bersesuaian dan menutup aurat ketika melakukan aktiviti sukan
  • Pakaian bagi bagi atlet wanita dilonggarkan dalam keadaan menutup aurat
  • Aktiviti yang melibatkan atlet wanita seperti gimnastik dan sukan renang hanya ditayangkan dan disaksikan oleh perempuan sahaja.
  • Tidak bercampur antara lelaki dan perempuan ketika melakukan aktiviti sukan

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam menjalani kehidupan seharian dan kami akhiri dengan  doa :

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

[1] https://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/garis_panduan_atlet.pdf

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445