#3420: Hari ke-13 Bulan Hijri, Tetapi Google Menunjukkan Bulan Penuh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Hari ini adalah 13hb Rabiulawal. Tapi Bila google Bulan, ditunjukan Bulan 100% hari ini (dari petang tadi). Adalah ini bermaksud bahawa jabatan agama tersalah kira haribulan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ ۖ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ ۗ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji.”

(Surah al-Baqarah: 189)

Allah SWT menjelaskan dalam ayat ini mengenai faedah dan hikmah daripada perbezaan bentuk hilal (anak bulan) dengan pertambahan mahupun pengurangan pada setiap bulannya. Diceritakan bahawa para sahabat bertanya kepada Rasulullah tentang hal itu. Maka Allah SWT menjawabnya dengan menyebutkan, ia adalah tanda-tanda yang mana dengannya manusia dapat mengetahui waktu-waktu ibadat mereka yang sudah ditentukan waktunya seperti puasa, haji, zakat, dan maslahah-maslahah yang lainnya. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 121.)

Ibn Kathir berkata, ayat di atas menjelaskan bahawa hilal itu diciptakan oleh Allah SWT sebagai panduan manusia dalam menentukan waktu berpuasa dan berbuka, iddah, haul zakat, tempoh berhutang, waktu haji dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/522)

Menurut al-Tabari dengan menukilkan daripada riwayat Qatadah bahawa orang ramai bertanya berkenaan; mengapa dijadikan bulan sedemikian rupa? Lalu Allah SWT menurunkan ayat berkenaannya sebagaimana yang kamu dengar iaitu ayat “هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ” (Peredaran anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu urusan dan amalan manusia). Justeru ia menjadi rujukan bagi puasa kaum Muslimin dan waktu berbuka mereka (yakni hari raya), penentuan waktu haji dan manasik mereka, tempoh iddah bagi kaum perempuan dan tempoh berhutang dalam sesuatu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk ciptaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 3/553)

Bilangan hari bagi setiap bulan qamariah mengandungi 29 atau 30 hari bergantung kepada bila berlakunya ijtimak dan kewujudan/kenampakan hilal pada penghujung bulan qamariah hari ke-29 setiap bulan Hijriah mengikut syarat-syarat tertentu.

Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Baginda bersabda:

الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا وَهَكَذَا، يَعْنِي: ثَلاَثِينَ، ثُمَّ قَالَ: وَهَكَذَا وَهَكَذَا وَهَكَذَا، يَعْنِي تِسْعًا وَعِشْرِينَ، يَقُولُ: مَرَّةً ثَلاَثِينَ، وَمَرَّةً تِسْعًا وَعِشْرِينَ

Maksudnya: “Bulan itu begini, begini, dan begini.” Yakni tiga puluh hari. Kemudian Baginda bersabda: “Dan begini, begini, dan begini.” Yakni dua puluh sembilan hari. Baginda SAW menyebut sekali tiga puluh hari dan sekali lagi dua puluh sembilan hari.”

Riwayat al-Bukhari (5302)

Pengiraan hari dalam takwim Hijriah bermula dari waktu matahari terbenam. Ini berbeza dengan takwim Miladiah yang perkiraan harinya bermula pada jam 12.00 tengah malam. Dalam setahun, takwim Hijriah mempunyai 354.36 hari, berbeza 10 atau 11 hari dari jumlah hari dalam takwim Miladiah. Setiap tahun, hari-hari kebesaran Islam dirayakan dalam musim yang berlainan. Ia akan kembali ke musim asal setiap 33 tahun (1 pusingan lengkap). Tahun baru Hijriah iaitu 1 Muharram disambut pada musim berlainan iaitu ia berganjak sebanyak 10 atau 11 hari lebih awal setiap tahun.[1]

 

Penentuan awal bulan hijrah adalah dengan mengambil pedoman yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Hadith dan juga pendapat ulama daripada kitab-kitab muktabar, yang mana terdapat tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan hijrah dengan kaedah berikut:

  • Pertama: Rukyah (melihat anak bulan) semata-mata.
  • Kedua: Hisab Falak semata-mata.
  • Ketiga: Rukyah dan Hisab dengan menggunakan kriteria Imkanur Rukyah (إمكان الرؤية) iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan (Hilal).

Perbezaan amalan dan cara di atas adalah disebabkan kepelbagaian dalam memahami dan mentafsir maksud ayat-ayat Al-Quran dan hadith yang berkaitan. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan cara penentuan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah dengan rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria Imkanur Rukyah.

Kesimpulan

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa walaupun tarikh tersebut merupakan hari ke 13 bulan hijri, tetapi malamnya tersebut merupakan malam ke 14 bulan hijri yang berkemungkinan boleh jadi bulan purnama. Hal ini kerana setiap bulan hijri ini adalah sama ada 29 hari atau 30 hari, dengan itu, dalam takwim hijri dalam mana setiap bulan bermula dengan anak bulan, maka bulan purnama jatuh pada sekitar hari ke-14 atau 15 bulan hijri.

Dalam isu ini, kami nasihatkan supaya kita serahkan hal ini kepada pihak yang berautoriti dalam menentukan hal berkaitan dengan falak ini. Hal ini kerana pihak mereka mengambil kaedah yang telah ditetapkan oleh syara’ iaitu dengan melihat anak bulan serta melakukan ijtihad dengan mengguna pakai hisab dan imkanur rukyah boleh diterima pakai berdasarkan istinbat mengikut sebahagian pendapat ulama’.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

[1] https://muftiwp.gov.my/en/falak/bayan-al-falak/2573-bayan-al-falak-siri-ke-3-kepentingan-takwim-hijri-dalam-penentuan-hukum-hakam-dan-pentadbiran-hal-ehwal-islam-di-malaysia.

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445