#3421: Sirah dan Kisah al-Syeikh Muhammad Sanusi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami siapakah dia Syeikh al-Sanusi yang selalu disebut dalam kitab-kitab lama atau turath?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Beliau ialah al-Imam Abu Abdillah al-Sanusi. Nama sebenarnya Muhammad bin Yusuf bin Umar bin Syu’aib al-Sanusi. Dilaqabkan juga dengan al-Hasani nisbah kepada al-Hasan bin Ali bin Abi Talib dari sebelah ibubapanya. Dia juga dikenali sebagai tilmisani (iaitu perkampungan Tilmisan).

Beliau merupakan ulama yang terkemuka di kota Tilmisan, antara yang soleh, zuhud, dan yang masyhur sehingga dikatakan jika kamu mendengarnya, maka, ia tidak perlu lagi diperkenalkan.

Berkenaan tarikh lahirnya para ulama tidak dapat memberi jawapan dengan penuh kepastian dan sepakat. Tetapi kebanyakan mereka menganggap bahawa Syeikh al-Sanusi lahir selepas tahun 870 H.

Antara guru-gurunya yang sempat dipelajari termasuklah bapanya sendiri. Adapun guru-gurunya yang lain seperti:

  • Al-Allamah Nasr al-Zawawi
  • Al-Allamah Muhammad bin Tuzat
  • Sayyid al-Syarif atau al-Hajjaj Yusuf bin Abil Abbas
  • Imam Muhammad bin al-Abbas
  • Al-Faqih al-Jallab

Beliau terkenal sebagai ulama yang mempunyai keilmuan yang luar biasa, akhlaknya yang tinggi, sirah dan pekertinya yang mulia.

Adapun kedudukan ilmiahnya, beliau menguasai pelbagai cabang ilmu sama ada furu’ atau usul. Beliau tidak berbicara tentang satu bidang ilmu, melainkan pendengar merasakan bahawa beliau tidak mengetahui selain daripda ilmu tersebut.

Antara ilmunya adalah yang terkait dengan ilmu tauhid dan ulum aqliyyah. Beliau tidak membaca pada ulum yang zahir melankan terhasil daripadanya ulum akhirat, terutamanya dalam bidang tafsir dan hadith. Ini kerana banyaknya muraqabah beliau dengan Allah SWT. Seolah-olah beliau menyaksikan akhirat.

Muridnya Syeikh al-Malali berkata, “Aku mendengarnya berkata, tiadalah daripada ilmu-ilmu zahir yang mewarisi makrifah kepada Allah dan muraqahnya, kecuali ilmu tauhid. Dengannya, akan terbuka kefahaman ilmu semuanya dan mengikut kadar makrifahnya akan bertambah rasa takutnya.

Beliau terkenal dengan sifat lemah-lembut, banyak bersabar dan beliau banyak mendengar yang tidak baik tentangnya. Lantas, dibuat-buat tidak tahu dan dia tidak terkesan sedikit pun. Bahkan, dia tersenyum, itulah keadaaannya pada setiap perkara yang dia benci.

Al-Malali berkata juga, “Aku pernah darinya berkata, sayugia bagi manusia berjalan di muka bumi dengan rasa ihsan dan melihat di hadapannya supaya dia tidak membunuh walaupun binatang kecil di muka bumi.”

Antara karya-karyanya ialah:

  • Al-Syarhu Kabir ‘ala al-Hufiyyah
  • Al-Aqidah al-Kubra
  • Al-Aqidah al-Wustha
  • Al-Aqidah al-Sughra dan inilah yang paling terkenal yang disebut Ummu al-Barahin
  • Syarhu al-Waghlisiyyah
  • Tauhid Ahli Irqan
  • Aqidah Sughra al-Sughra
  • Al-Muqaddimat
  • Syarh Nazm al-Hawdi fi al-Aqa’id
  • Risalah al-Dahriyah fi al-Aqidah
  • Syarh Mursyidah Ibnu Tumart
  • Al-Manhaj al-Sadid fi Syarhi Kifayah al-Murid
  • Mukhtasar Syarhiyah al-Taftazani ‘ala al-Kasyaf
  • Mukhtasar fi al-Qiraat al-Sab’
  • Mukammil Ikma al-Ikmal
  • Syarh Jawahir al-Ulum li al-‘Adhud
  • Ikhtisar kitab al-Ri’ayah li Hukukillah
  • Syarh Mukhtasar Ibn Arafah
  • Ikhtisar Kitab Bughyah al-Salik
  • Syarh Isaghuji fi al-Mantiq
  • Mukhtasar al-Raudh al-Anf
  • Syarh Qasidah al-Habbak fi al-Isytirlab

Begitu juga beliau menaburkan ilmu kepada murid-muridnya dan sebahagian kitab beliau masih diajar hingga kini. Dikatakan bahawa beliau meninggal dunia selepas merasa sakit. Beliau tidak lagi melazimi ke masjid dan berada di tilamnya sehingga meninggal dunia. Beliau diuji dengan sakit selama 10 hari dan apabila beliau dalam keadaan nazak atau sakaratul maut, anak saudaranya telah mentalkinkannya berkali-kali.

Lantas, beliau berpaling kepada anak saudaranya seraya berkata, “Adakah di sana Tuhan yang lain?” Beliau meninggal dunia pada hari Ahad pada 18 Jamadilakhir tahun 895 H. Semoga Allah SWT merahmatinya.

 

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445