#3423: Kesan Gelak Ketawa ketika Khutbah Terhadap Solat Jum

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum tertawa kecil dikalangan makmum semasa khutbah? Sedangkan khatib mungkin sengaja atau tidak sengaja berjenaka santai. Termasuk juga situasi ketika kita terkejut atau melafazkan lafaz-lafaz tertentu sebagai respon kepada khutbah yang disampaikan. Apa kesannya kepada amalan solat jumaat tersebut? Adakah tergolong dalam hadith tidak berkata-kata?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, pensyari‘atan khutbah Jumaat itu adalah pada hari yang paling agung dalam seminggu, dan ia juga dijadikan sebagai pengiring kepada solat Jumaat, dan ia turut dinamakan bersempena dengan nama hari yang mulia itu. Ini merupakan salah satu bukti betapa khutbah ini mempunyai satu nilai yang tinggi dalam Islam.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ وَفِيهِ أُخْرِجَ مِنْهَا وَلاَ تَقُومُ السَّاعَةُ إِلاَّ فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari padanya ialah hari Jumaat. Pada hari tersebut diciptakan Nabi Adam A.S, dia dimasukkan ke dalam Syurga dan dia dikeluarkan daripadanya. Dan pada hari tersebut, terdapat satu waktu yang mana jika seseorang muslim berdiri mendirikan solat dan berdoa kepada Allah SWT akan sesuatu hajatnya, nescaya Allah SWT akan memberi apa yang dihajatkannya tersebut.”

Riwayat Muslim (854)

Sebelum ini, kami telah menerbitkan sebuah artikel yang hampir serupa permasalahannya, dan kami perincikan di dalam artikel tersebut beberapa adab yang perlu ada pada para jemaah yang menghadiri khutbah Jumaat, dan juga sifat yang sewajarnya ada pada seseorang khatib itu agar isi yang ingin disampaikannya itu mudah difahami dan padat dengan informasi. Untuk maklumat lanjut tentang ini, boleh rujuk artikel kami yang bertajuk “Gelak Ketawa dan Sahutan Ketika Khutbah.”

Berdasarkan artikel tersebut, kami simpulkan bahawa mereka yang bergelak ketawa ketika khutbah Jumaat, pahala Jumaatnya akan menjadi sia-sia. Ini sebagaimana yang warid dalam Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: ‘Diam’, dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).”

Riwayat al-Bukhari (934)

Sekiranya dengan satu perkataan sahaja, yakni “diam”, sudah cukup untuk menjadikan pahala Jumaat seseorang itu sia-sia, maka lebih utama untuk tersia-sianya pahala dia sekiranya dia dengan sengaja melafazkan apa jua perkataan sebagai respon terhadap pengisian khutbah yang disampaikan oleh khatib.

Khatib juga sewajarnya menumpukan pengisian khutbahnya pada perkara yang mengingatkan umat Islam terhadap agama dan juga akhirat. Imam Ibn al-Qayyim menyebutkan, khutbah Rasulullah SAW itu sebagai penjelasan tentang dasar-dasar keimanan, seperti keimanan kepada Allah, keimanan kepada para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, kembalinya semua makhluk kepada-Nya, serta menyebutkan tentang Syurga dan Neraka.

Khutbah Baginda SAW juga menyebutkan tentang apa yang Allah SWT telah janjikan buat wali-wali-Nya dan orang-orang yang mentaati-Nya, dan apa yang telah dia janjikan buat musuh-musuh-Nya dan orang-orang yang menderhakai-Nya. Baginda SAW juga menyeru kepada Allah, memberi peringatan akan nikmat-nikmat-Nya kepada hamba-Nya, dan peringatan tentang hari-hari yang para hamba-Nya takut akan nasib malangnya.

Khutbah Rasulullah SAW juga merupakan peringatan agar sentiasa mengingati Allah SWT, bersyukur atas segala kurniaan-Nya. Ini bagi memenuhkan jiwa-jiwa dengan khutbah berkaitan keimanan dan tauhid, mengenali Allah SWT, kekuasaan-Nya, nikmat-nikmat-Nya, serta hari-hari yang dijanjikan-Nya. Khutbah itu juga bagi mencambahkan kecintaan kepada zikrullah dan sifat syukur, agar para jemaah akan mencintai Allah SWT dan dicintai oleh-Nya setelah mereka pulang dari solat Jumaat. (Lihat Hasyiah al-Raudh al-Murbi‘, 2/447)

Apakah Kesan Gelak Ketawa Ini Terhadap Solat Jumaat?

Ulama’ berbeza pendapat tentang hukum mereka yang telah berbuat lagha ketika khutbah Jumaat, adakah ianya memberikan kesan terhadap solat Jumaat yang didirikan atau tidak.

Menjawab persoalan ini, kita perlu kembali kepada perbahasan ulama’ yang membincangkan tentang maksud “lagha” yang disebutkan dalam hadith. Antara tafsiran mereka adalah:

  • Hilang Pahala Kelebihan Hari Jumaat

Ini bermaksud, solat Jumaat yang didirikan masih sah, akan tetapi keistimewaan ganjaran pada hari tersebut tidak diperolehi oleh orang tersebut. Demikian yang warid dalam hadith riwayat Ubai bin Ka‘b R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ‏ قَرَأَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ تَبَارَكَ، وَهُوَ قَائِمٌ. فَذَكَّرَنَا بِأَيَّامِ اللَّهِ وَأَبُو الدَّرْدَاءِ أَوْ أَبُو ذَرٍّ يَغْمِزُنِي. فَقَالَ: مَتَى أُنْزِلَتْ هَذِهِ السُّورَةُ؟ إِنِّي لَمْ أَسْمَعْهَا إِلاَّ الآنَ‏.‏ فَأَشَارَ إِلَيْهِ أَنِ اسْكُتْ. فَلَمَّا انْصَرَفُوا قَالَ: سَأَلْتُكَ مَتَى أُنْزِلَتْ هَذِهِ السُّورَةُ فَلَمْ تُخْبِرْنِي؟ فَقَالَ أُبيٌّ: لَيْسَ لَكَ مِنْ صَلاَتِكَ الْيَوْمَ إِلاَّ مَا لَغَوْتَ‏.‏ فَذَهَبَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ‏ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ وَأَخْبَرَهُ بِالَّذِي قَالَ أُبيٌّ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ:‏‏ صَدَقَ أُبيٌّ

Maksudnya: “Rasulullah SAW membacakan Tabaaraka (Surah al-Mulk) pada hari Jumaat sambil berdiri (menyampaikan khutbah), kemudian Baginda SAW mengingatkan kami tentang nikmat dan bala Allah SWT. Abu al-Darda’ atau Abu Zarr mengangkat kening (kerana tertanya-tanya) ketika melihat Ubai, lalu bertanya: ‘Bilakah surah ini diturunkan? Aku tidak pernah mendengar melainkan sekarang.’ Lalu Ubai mengisyaratkan agar dia diam. Selepas mereka semua bersurai (selesai solat Jumaat), dia (Abu al-Darda’ atau Abu Zarr) berkata (kepada Ubai): ‘Aku tanya kau tentang bila surah ini diturunkan, dan engkau tidak mahu beritahu aku?’ Ubai menjawab: ‘Engkau tak dapat apa-apa dari solatmu hari ini melainkan apa yang telah engkau berbuat lagha.’  Abu al-Darda’ atau Abu Zarr pun pergi berjumpa Rasulullah SAW dan menceritakan kepadanya apa yang berlaku serta menyebutkan apa yang disebutkan oleh Ubai. Rasulullah SAW seraya bersabda: ‘Benarlah kata-kata Ubai’.”

Riwayat Ibn Majah (919)

Dalam riwayat lain, daripada Abdullah bin ‘Amru R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَحْضُرُ الْجُمُعَةَ ثَلاَثَةُ نَفَرٍ رَجُلٌ حَضَرَهَا يَلْغُو وَهُوَ حَظُّهُ مِنْهَا، وَرَجُلٌ حَضَرَهَا يَدْعُو فَهُوَ رَجُلٌ دَعَا اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِنْ شَاءَ أَعْطَاهُ وَإِنْ شَاءَ مَنَعَهُ، وَرَجُلٌ حَضَرَهَا بِإِنْصَاتٍ وَسُكُوتٍ وَلَمْ يَتَخَطَّ رَقَبَةَ مُسْلِمٍ وَلَمْ يُؤْذِ أَحَدًا فَهِيَ كَفَّارَةٌ إِلَى الْجُمُعَةِ الَّتِي تَلِيهَا وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ ‏{‏مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا‏}

Maksudnya: “Terdapat 3 kategori lelaki yang menghadiri Jumaat: (1) Lelaki yang hadir dalam keadaan lagha dan itulah bahagian dia dari Jumaat tersebut. (2) Lelaki yang berdoa iaitu seorang yang berdoa kepada Allah. Sekiranya Allah mahu Allah akan berikan dan sekiranya Allah mahu Allah akan menghalang pemberian. (3) Dan lelaki yang hadir dengan diam dan senyap serta dia tidak melangkah bahu-bahu orang Islam (jemaah lain) dan tidak menyakiti seorangpun, maka ia adalah kaffarah (penghapus dosa) sehinggalah Jumaat yang berikutnya serta penambahan tiga hari lagi kerana Allah berfirman: (Mafhumnya): ‘Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka buatnya sepuluh ganjaran sepertinya’.”

Riwayat Abu Dawud (1113) dan Ahmad (7002)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Harari ketika mensyarahkan sabda Rasulullah SAW (لَيْسَ لَكَ مِنْ صَلاَتِكَ الْيَوْمَ) menyebutkan, yakni tidak mendapat pahala solat Jumaat tersebut. Manakala maksud (إِلَّا) dalam sabda Baginda SAW (إِلاَّ مَا لَغَوْتَ), sebab atau punca tidak mendapat pahala Jumaat tersebut kerana perkara lagha yang dilakukan tersebut. (Lihat Mursyid Zawi al-Haja wa al-Hajah ila Sunan Ibn Majah, 7/111)

  • Solat Jumaat yang Dilakukan Ibarat Solat Zohor Sahaja

Secara mudahnya, yang dimaksudkan adalah dia tidak mendapat fadhilat solat Jumaat yang didirikan, bahkan solat yang didirikan sama sahaja dengan solat Zohor pada hari-hari lain tanpnya keistimewaan.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru R.A, katanya:

 وَمَنْ لَغَا وَتَخَطَّى رِقَابَ النَّاسِ كَانَتْ لَهُ ظُهْرًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang lagha serta melangkah bahu-bahu manusia, maka (Jumaat) buatnya adalah zohor.

Riwayat Abu Daud (347)

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan pAndangan Ibn Wahb yang merupakan salah seorang perawi bagi hadith di atas: “Solat dia sah, akan tetapi dia terhalang dari mendapat fadhilat Jumaat.” (Lihat Fath al-Bari, 2/414)

Kesimpulan

Berdasarkan hujjah para ilmuwan Islam yang kami bawakan, jelas bahawa gelak ketawa itu termasuk dalam lagha yang disebutkan oleh Rasulullah SAW. Sesiapa sahaja yang melakukannya, meskipun dia tidak tahu menahu tentang perkara ini, maka dia turut dikira melakukan lagha tersebut.

Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadith riwayat Ubai  bin Ka‘b di atas, Rasulullah SAW membenarkan kalamnya sedangkan ketika itu Abu al-Darda’ atau Abu Zarr tidak tahu tentang perkara tersebut. Lebih awla perbuatan tersebut akan menjadi lagha sekiranya seseorang itu tahu akan larangan syara‘ ini.

Meskipun ulama’ berbeza pendapat tentang tafsiran lagha dalam hadith, pokok pangkalnya masih sama iaitu seseorang itu tidak akan mendapat fadhilat atau kelebihan Jumaat. Akan tetapi, solat Jumaatnya masih sah dan perbuatan lagha tersebut tidak membatalkannya.

Kami menasihatkan agar umat Islam di Malaysia lebih cakna tentang larangan ini, dan berusaha mencari segala peluang yang ada untuk meraih fadhilat hari mulia ini. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنَا مُقِيمِي الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا، رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami dikalangan mereka yang mendirikan solat, dan begitu juga buat zuriat kami. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa kami.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445