#3425: Khutbah Rasulullah SAW Yang Paling Panjang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Pernah atau tidak Rasulullah SAW menyampaikan khutbah yang panjang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dikatakan bahawa Rasulullah SAW meraikan keadaan orang ramai dalam khutbahnya. Boleh jadi beliau menyampaikan khutbah yang pendek dan inilah pada kebiasaannya dan kadang-kadang beliau berkhutbah dengan panjang ketika keperluan seperti mana khutbah al-Wada’ di padang Arafah pada hari kesembilan Zulhijjah tahun ke-10 hijrah. Ini kerana maslahah yang ingin disampaikan dan jumlah mereka yang mendengar khutbah ketika itu amat ramai.

Berdasarkan pengamatan kami, antara khutbah Rasulullah SAW yang paling panjang adalah mengikut riwayat Amru bin Akhtab al-Ansari R.A, katanya:

صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْفَجْرَ وَصَعِدَ الْمِنْبَرَ فَخَطَبَنَا حَتَّى حَضَرَتِ الظُّهْرُ فَنَزَلَ فَصَلَّى ثُمَّ صَعِدَ الْمِنْبَرَ فَخَطَبَنَا حَتَّى حَضَرَتِ الْعَصْرُ ثُمَّ نَزَلَ فَصَلَّى ثُمَّ صَعِدَ الْمِنْبَرَ فَخَطَبَنَا حَتَّى غَرَبَتِ الشَّمْسُ فَأَخْبَرَنَا بِمَا كَانَ وَبِمَا هُوَ كَائِنٌ فَأَعْلَمُنَا أَحْفَظُنَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah sembahyang dengan kami solat Fajar. Kemudian, Baginda menaiki mimbar dan menyampaikan khutbah kepada kami sehingga sampai waktu Zohor. Kemudian, Baginda turun dan solat, kemudian menaiki mimbar skeali lagi dan berkhutbah sehingga waktu Asar. Kemudian, Baginda turun dan solat. Kemudian, Baginda SAW menaiki mimbar sekali lagi untuk berkhutbah sehingga tenggelamnya matahari. Baginda SAW menyampaikan kepada kami apa yang telah terdahulu dan apa yang akan berlaku. Maka, orang yang paling berilmu di kalangan kami ialah orang yang paling banyak menghafaz di kalangan kami atau mengingatnya.

Riwayat Muslim (2892) dan Ibn Hibban (6638)

Biasanya, Rasulullah SAW mengakhiri khutbah dengan mendoakan kepada orang beriman lelaki dan perempuan untuk mendapat keampunan dan rahmah serta mengakhiri khutbahnya dengan istighfar.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445