#3427: Zakat Wang KWSP Yang Dikeluarkan Di Samping Terdapat Hutang Dan Tanggungan

Soalan:

Assalamualaikum ustaz, saya nak tanya, kalau pengeluaran KWSP RM10k ini saya kena bayar zakat ke? Dalam keadaan saya sekarang berniaga, sale agak menurun, masih ada hutang dengan supplier. Untuk personal pula gaji sendiri terpaksa potong sikit, hutang pinjam untuk anak-hutang masuk sekolah, kereta dah hampir setahun nak kena repair tapi terpaksa tangguh disebabkan perbelanjaan tidak tentu. Kalau perlu zakat juga, saya kena selesaikan zakat dahulu sebelum buat yang lain? Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Surah al-Taubah: 103)

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka

Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Abbab R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW ketika mengutusakan Mua’z Bin Jabal ke Yaman Baginda bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: “Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”

Riwayat al-Bukhari (1496)

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang ada dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/629-630)

Apabila cukup syarat bagi zakat maka hendaklah kita keluarkan zakat. Antara syaratnya adalah:

  • Islam
  • Milik sempurna
  • Cukup nisab
  • Cukup haul yakni tempoh setahun
  • Dan harta yang berkembang

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan segala harta yang demiliki hendaklah dizakatkan sekiranya telah mencukupi haul (tempoh setahun) dan nisab (kadar yang wajib dikeluarkan zakat). Hal ini sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahwa  Nabi SAW bersabda:

وَلَيْسَ فِي مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta sehingga berlalu waktu setahun”

Riwayat Abu Daud (1573) dan Ibn Majah (1789)

Telah dinyatakan dalam kitab Fiqh al-Manhaji makna cukup haul iaitu iaitu genap setahun harta tersebut berada dalam simpanannya. (Lihat  al-Fiqh al-Manhaji fi Fiqh al-Syafie, 2:8). Dengan ini, difahami bahawa jika sekiranya harta tidak cukup haul, maka harta tersebut masih tidak diwajibkan zakat. Namun syarat tempoh setahun ini tidak terpakai ke atas tanaman, buah-buahan dan juga galian, yakni zakat wajib dikeluarkan dengan segera sebaik sahaja mendapat hasilnya. (Lihat  al-Fiqh al-Manhaji; 2/16-17).

Berkenaan nisab jumlahnya adalah menyamai 85 gram berat emas. Zakat dikenakan sebanyak 2.5% ke atas jumlah baki terakhir dalam tempoh setahun simpanan apabila cukup nisab dan haulnya sama ada menyamai atau melebihi nisab. Nisab zakat adalah berbeza mengikut negeri.

Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib RA, Rasulullah SAW bersabda Rasulullah SAW juga bersabda:

إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ، وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ، فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ، وَلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا، وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ، فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ، فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ

Maksudnya: “Apabila kamu memiliki 200 dirham, dan telah cukup setahun zakatnya sebanyak 5 dirham. Kamu tidak wajib berzakat emas sehinggalah memiliki 20 dinar. Apabila kamu memiliki 20 dinar, dan telah cukup setahun, maka zakatnya 1/2 dinar. Jika kamu memilikinya lebih daripada itu, maka ikutilah cara pengiraan tersebut.”

Riwayat Abu Dawud(1573)

Mengenai Wang KWSP yang dikeluarkan kami bersependapat dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 -27 Julai 2006 telah membincangkan Bayaran Zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sejurus Pengeluaran – Satu Alternatif. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  • Mazhab Syafie menetapkan bahawa zakat harta wajib dikeluarkan apabila cukup nisab dan tempoh haulnya. Wang KWSP adalah harta simpanan. Wang KWSP apabila dikeluarkan adalah diwajibkan zakat apabila sempurna kedua-dua syarat iaitu cukup nisab dan haul yang ditetapkan. Walau bagaimanapun Jumhur Ulama’ berpandangan bahawa zakat harta boleh dikeluarkan lebih awal daripada waktu yang sepatutnya dengan syarat harta tersebut telah mencukupi nisabnya.
  • Berdasarkan pandangan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali Ke-5 pada 16-17 November 1982 dipinda seperti berikut “Pencarum KWSP digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun.”

Justeru kami katakan dalam isu ini hendaklah terlebih dahulu menolak segala tanggungan, perbelanjaan dan hutang sebelum melaksanakan pembayaran zakat. Sekiranya selepas penolakan segala tanggungan dan hutang tersebut, masih lagi melebihi nisab semasa, maka diwajibkan bagi saudara mengeluarkan zakat. Namun sekiranya tidak mencukupi nisab dan haul, tidak wajib bagi saudara mengeluarkannya.   Duit KWSP yang dikeluarkan hendaklah dicampurkan dengan duit-duit yang lain sebelum mengeluarkan zakat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445