#3430: Mandi Wajib Sebelum Solat Taubat?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah perlu mandi wajib sebelum melakukan solat sunat taubat atas kesalahan dosa kecil dan besar?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Mandi wajib merupakan mandi yang mana tidak sah ibadat seseorang tanpa melakukannya terlebih dahulu. Antara sebab-sebab yang perlu mandi wajib ialah keluar air mani, bersetubuh, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73)

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

Surah al-Nisa’ (43)

Berkenaan isu mandi wajib, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1679: Melambatkan Mandi Wajib[1]

#2924: Mandi Wajib Tidak Sempurna[2]

 Memang digalakkan bagi sesiapa yang ingin bertaubat untuk mandi sebagai syarat untuk membersihkan diri terlebih dahulu sebagai mana keinginan untuk membersihkan hati. Justeru, mandi sebelum bertaubat dalam mazhab Syafi’i hukumya adalah sunat, bukanlah satu kewajipan.

Firman Allah SWT:

 إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan apabila seseorang itu dalam keadaan junub, maka wajib baginya mandi wajib dahulu sebelum menunaikan apa-apa solat sama ada fardhu atau sunat. Oleh itu, tidak sah solat taubat seseorang sehinggalah dia mandi wajib terlebih dahulu.

Semoga dengan penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam memahami syariat Islam dengan lebih baik. Wallahu a’lam

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

[1] https://maktabahalbakri.com/1679-melambatkan-mandi-wajib/

[2] https://maktabahalbakri.com/2924-mandi-wajib-tidak-sempurna/

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445