#3432: Menggunakan Duit PTPTN Untuk Membeli Emas

Soalan:

Assalamualaikum Dr. Bolehkah kita gunakan sebahagian duit pinjaman pelajaran seperti PTPTN, untuk membeli emas? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrif PTPTN. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau singkatannya (PTPTN) telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997. Fungsi utama penubuhan perbadanan ini adalah untuk menguruskan pembiayaan kewangan dan pinjaman pelajaran pengajian tinggi kepada para siswa dan siswi yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia. Bertitik tolak dari pinjaman kewangan yang diberikan, PTPTN juga bertanggungjawab untuk memungut kembali bayaran balik dari para peminjam yang telah melakukan pinjaman mereka dengan perbadanan tersebut.

Pinjaman kewangan yang diberi kepada para pelajar sebenarnya adalah wang dipinjam daripada institusi-institusi kewangan dan penjualan sukuk. Sekiranya hutang tersebut dihapuskan dan para pelajar tidak perlu membayar balik, hakikatnya PTPTN dan kerajaan juga yang menanggung kesan hutang itu.[3][1] Ini kerana Kerajaan bertindak sebagai penjamin terhadap sukuk yang dikeluarkan oleh PTPTN kepada institusi-kewangan dan sekiranya PTPTN tidak membayar balik kepada institusi kewangan tersebut menyebabkan kedudukan ekonomi negara bermasalah.

Selain itu, PTPTN juga turut menyediakan skim simpanan pendidikan yang dikenali sebagai “Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)” yang merupakan suatu bentuk produk tambahan, yang membolehkan pendeposit menyimpan wang bagi tujuan khairat pendidikan untuk anak-anak pada masa hadapan. Dalam pada itu juga PTPTN turut melaksanakan apa-apa fungsi lain yang diberikan kepada PTPTN oleh mana-mana undang-undang bertulis di Malaysia.[2]

Menjawab persoalan di atas, kami ingin menjelaskan bahawa matlamat asal pinjaman PTPTN adalah untuk membayar yuran pengajian dan menampung perbelanjaan para pelajar di Institut Pengajian Tinggi. Walau bagaimanapun, jika terdapat lebihan dana selepas melunaskan yuran pengajian dan perbelanjaan harian, maka pemegang pinjaman diberi kebebasan untuk menggunakannya untuk membeli emas atau kehendak yang diperlukan.

Walaubagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa pemegang pinjaman perlu mematuhi peraturan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh PTPTN. Menggunakan dana pinjaman tanpa membayarnya semula adalah dianggap sebagai penyalahgunaan dana pinjaman yang telah diberikan oleh kerajaan, kerana tindakan ini menyimpang daripada matlamat asal pinjaman tersebut. Oleh itu, penting untuk menggunakan dana pinjaman dengan bijak dan mematuhi perjanjian pembayaran semula yang telah ditetapkan.

Justeru, kami nasihati supaya tidak menyalahgunakan duit pinjaman PTPTN kepada perkara-perkara yang tidak memberi manfaat. Di sini kami syorkan  supaya duit lebihan dari dana pinjaman PTPTN tersebut digunakan untuk membeli emas sebagai simpanan dan menggunakannya untuk melangsaikan hutang pinjaman tersebut setelah tamat pengajian. Ingatlah bahawa hutang hendaklah dilangsaikan kerana ia merupakan kewajipan yang akan dipersoalkan di akhirat nanti.

 Diriwayatkan daripada  Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نَفْسُ المُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Jiwa (atau roh) orang beriman itu akan tergantung kerana hutangnya sehinggalah seseorang menyelesaikan bagi pihaknya.

Riwayat al-Tirmidzi dalam Sunan (1078) dan al-Syafie dalam Musnad (1/361).

Berkata Imam al-Suyuti: Tergantung bererti ditahan daripada mencapai makamnya yang mulia.

Imam al-Iraqi menyebut: Tergantung bererti urusan roh itu terhenti, tiada hukum baginya sama ada berjaya atau binasa, sehingganya ditilik adakah sesiapa menyelesaikan hutang ke atasnya atau tidak.  (Lihat Tuhfah al-Ahwazi,4/164)

Diriwayatkan juga daripada  Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَطْلُ الْغَنِىِّ ظُلْمٌ وَإِذَا أُتْبِعَ أَحَدُكُمْ عَلَى مَلِىءٍ فَلْيَتْبَعْ

Maksudnya: “Penangguhan orang yang telah berkecukupan adalah perbuatan zalim, dan apabila tagihanmu dipindahkan kepada orang yang berkecukupan, maka hendaknya dia pun menurutinya.

Riwayat al-Bukhari (2287) dan Muslim (1564)

Hadith ini menunjukkan bahawa haram bagi seseorang yang memiliki kecukupan secara kewangan untuk menangguhkan pembayaran hutang selepas hutang tersebut ditetapkan, berbeza dengan orang yang masih tidak mampu untuk membayarnya. (Lihat ‘Umdah al-Qari,18/325)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahua’lam

[1] http://www.astroawani.com/berita-politik/hutang-negara-meningkat-jika-ptptn-dihapuskan-17467 1 -Diakses pada 4 Oktober

[2]   Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Perbadanan_Tabung_Pendidikan_Tinggi_Nasional. –  Diakses pada 4 Oktober 2023.

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445