#3435: Kekeliruan Berkaitan Solat Secara Jamak Qasar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ke dalam musafir, suka-suka hati tukar solat fardhu secara tamam kepada jama’ qasar. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2392: Kekeliruan Dalam Mempraktikkan Solat Jamak[1]

#1686: Musafir Sekarang Semakin Mudah, Masih Bolehkah Jamak Qasar?[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan sekiranya seseorang itu dalam musafir dan menepati syarat-syarat untuk melakukan jamak dan qasar seperti jarak melebihi 2 marhalah (81 km), kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat). Dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jaraknya 89 km dan secara tepatnya 88.704 km. Maka, tidaklah menjadi masalah untuknya jamak dan qasar. Hal ini kerana Allah memberi rukhsah (keringanan) kepada hambanya bagi memudahkan urusan hambanya. Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili ketika mengulas berkenaan hikmah diberikan rukhsah qasar dan jamak menyebut bahawa ia bagi menolak kepayahan yang ada ketika permusafiran dan memberi kemudahan untuk menunaikan kewajipan yang telah difardukan. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 2/319)

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

[1] https://maktabahalbakri.com/2392-kekeliruan-dalam-mempraktikkan-solat-jamak/

[2] https://maktabahalbakri.com/1686-musafir-sekarang-semakin-mudah-masih-bolehkah-jamak-qasar/

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445