#3437: Asnaf Melaksanakan Korban dengan Wang Zakat yang Diterima

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah pelaksanaan ibadah korban dilakukan dengan wang zakat yang diterima oleh seseorang asnaf? Maksud di sini, seseorang asnaf yang menerima wang zakat ingin membayar bahagian korbannya dengan menggunakan wang tersebut.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, sesiapa sahaja yang layak menerima wang zakat ini termasuk dalam kategori asnaf. Ia tidak semestinya berfokus kepada faqir dan miskin semata-mata, bahkan syara‘ telah menyebutkan dengan jelas bahawa terdapat 8 kategori asnaf yang layak menerima wang zakat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang faqir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Taubah: 60)

Imam al-Qurtubi menukilkan kalam Imam al-Syafi‘i ketika menafsirkan ayat di atas, katanya: “Huruf Lam (لِلْفُقَرَاءِ) itu adalah Lam yang membawa maksud pemilikan, seperti kamu katakan: (الْمَالُ لِزَيْدٍ وَعَمْرٍو وَبَكْرٍ) wang itu milik Zaid, Amru, dan Bakar.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 8/167)

Muhammad al-Barakti mendefinisikan “pemilikan” sebagai menjadikan seseorang itu pemilik, dan ini boleh dibahagikan kepada 4 aspek:

  • Menjadikan seseorang itu pemilik kepada sesuatu dengan gantian, ini adalah jual beli.
  • Menjadikan seseorang itu pemilik kepada sesuatu tanpa sebarang gantian, ini adalah pemberian atau hadiah.
  • Menjadikan seseorang itu pemilik kepada sesuatu manfaat dengan gantian, ini adalah penyewaan.
  • Menjadikan seseorang itu pemilik kepada sesuatu manfaat tanpa sebarang gantian, ini adalah pinjaman. (Lihat al-Ta‘rifat al-Fiqhiyyah, hlm. 62)

Justeru, golongan asnaf yang disebutkan dalam nas mendapat hak pemilikan kepada wang zakat tanpa sebarang gantian, kerana zakat itu sendiri gambarannya hampir menyamai pemberian atau hadiah kepada golongan yang layak menerima.

Berkenaan persoalan yang diajukan oleh saudara, kami menukilkan pandangan Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin di dalam fatwa beliau:

“Seseorang manusia itu jika dia menerima wang berlandaskan syara‘, maka wang tersebut menjadi miliknya. Dia berhak untuk menggunakannya sebagaimana yang dikehendaki pada perkara yang dihalalkan oleh Allah SWT. Dia juga boleh memberikannya kepada orang yang haram menerima duit zakat.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, beliau menceritakan:

كَانَ فِي بَرِيرَةَ ثَلاَثُ سُنَنٍ: عَتَقَتْ فَخُيِّرَتْ، وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ‏: الْوَلاَءُ لِمَنْ أَعْتَقَ. وَدَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ‏ وَبُرْمَةٌ عَلَى النَّارِ فَقُرِّبَ إِلَيْهِ خُبْزٌ وَأُدْمٌ مِنْ أُدُمِ البَيْتِ فَقَالَ: أَلَمْ أَرَ البُرْمَةَ؟ فَقِيلَ: لَحْمٌ تُصُدِّقَ بِهِ عَلَى بَرِيرَةَ، وَأَنْتَ لاَ تَأْكُلُ الصَّدَقَةَ. قَالَ: هُوَ عَلَيْهَا صَدَقَةٌ وَلَنَا هَدِيَّةٌ

Maksudnya: “Ada tiga hukum yang disyari‘atkan disebabkan Barirah: (Pertama) Dia dimerdekakan lalu disuruh memilih (sama ada untuk meneruskan perkahwinan dengan suaminya yang masih hamba atau menamatkannya). (Kedua) Rasulullah SAW bersabda: ‘Wala’ adalah bagi sesiapa yang memerdekakan.’ (Ketiga) Rasulullah SAW masuk sementara periuk masih berada di atas api, lalu dihidangkan kepada Baginda roti dan lauk yang ada di rumah. Baginda bertanya: ‘Bukankah aku melihat periuk?’ Lalu dijawab: ‘Periuk itu mengandungi daging yang disedekahkan kepada Barirah, sedangkan engkau tidak makan harta sedekah?’ Baginda bersabda: ‘Daging itu adalah sedekah bagi Barirah, namun ia merupakan hadiah bagi kita’.”

Riwayat al-Bukhari (5097) dan Muslim (1504)

Ini dalil ataupun bukti bahawa seseorang yang menerima sesuatu dengan benar menurut syara‘, maka tidak diharamkan ke atas orang lain untuk menerimanya (sebagai hadiah), sekalipun mereka itu pada asalnya tidak halal menerima perkara tersebut (sebagai zakat). Sekiranya seorang faqir menerima zakat, maka dibolehkan baginya untuk menyediakan makanan (dengan wang zakat tersebut) dan mengajak orang-orang kaya untuk makan bersama. Ini kerana orang-orang kaya tidak boleh mendapatkan manfaat daripada wang tersebut sebagai zakat, akan tetapi mereka boleh memperolehinya daripada si faqir tersebut dengan cara yang benar.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 10/2)

Dapat difahami di sini, bahawa mereka yang berhak menerima wang agihan zakat, mereka dikira pemilik kepada wang tersebut secara mutlaq dan mempunyai kebebasan untuk menggunakannya pada apa jua perkara yang dirasakan perlu. Hal ini kerana wang tersebut dihukumkan sebagai hartanya dan bukan lagi harta milik Baitulmal.

Ini juga bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

التَّصَرُّفُ فِي الْأَمْوَالِ مَنُوطٌ بِالْحَقِّ وَالنَّفْعِ وَالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Penggunaan harta itu terikat disyaratkan dengan adanya hak, manfaat, dan maslahat.”

Mereka yang bukan salah seorang dari kalangan asnaf, tidak berhak menggunakan wang zakat untuk apa sahaja urusannya seperti korban dan sebagainya. Sekiranya mereka berbuat demikian, maka mereka ini merupakan termasuk dalam golongan yang diancam oleh Rasulullah SAW dengan api neraka. Ini berdasarkan riwayat Khaulah al-Ansariyyah R.Anha, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ رِجَالًا يَتَخَوَّضُونَ فِي مَالِ اللَّهِ بِغَيْرِ حَقٍّ، فَلَهُمُ النَّارُ يَوْمَ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya beberapa orang lelaki menjerumuskan diri pada harta Allah (memperolehinya) bukan dengan cara yang benar, maka bagi mereka neraka pada hari kiamat kelak.”

Riwayat al-Bukhari (3118)

Sedangkan memberikan kepada asnaf wang zakat ini untuk kegunaan mereka merupakan suatu kewajiban. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَآتُوهُم مِّن مَّالِ اللَّهِ الَّذِي آتَاكُمْ ۚ

Maksudnya: “Dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu.”

(Surah al-Nur: 33)

Imam Ibn Jarir al-Tabari mengatakan, Allah SWT menggesa mereka yang berharta untuk memberikan bahagian mereka yang ditetapkan ke atas setiap mereka berupa zakat wajib. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 19/172)

Maka jelas di sini bahawa harus dan dibolehkan bagi mana-mana golongan asnaf menggunakan wang zakat tersebut, sama ada untuk tujuan ibadah korban dan sebagainya. Dengan syarat, mereka melakukannya setelah menerima wang zakat tersebut. Hal ini kerana pindah milik hak hanya berlaku selepas menerima wang tersebut sahaja.

Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan kita sedikit input baharu berkaitan hak penerimaan wang zakat, dan juga kebebasan setiap golongan asnaf menggunakan wang zakat sesuai keperluan mereka. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445