#3438: Ketua Menghalang Pekerja Menunaikan Solat Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya ingin bertanya berkaitan isu solat Jumaat.. boss saya tidak mengizinkan saya untuk menunaikan solat Jumaat bersama dengan rakan sekerja saya. Mohon pencerahana ustaz.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),

Surah al-Jumuah (9)

Menurut Syeikh al-Sa’di, ayat ini mengajar kita bahawa Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya yang beriman supaya bersegera hadir ke masjid untuk solat Jumaat sejurus azan dikumandangkan, dan menjadikan solat Jumaat itu sebagai keutamaan dan urusan yang paling utama. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/863)

Berkenaan solat jumaat, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2785: Solat Jumaat Lewat[1]

#1934: Tinggal Solat Jumaat Tiga Kali[2]

Kami tegaskan di sini peri pentingnya untuk kita melaksanakan solat Jumaat dan ia perlu dipelihara oleh setiap lelaki Muslim yang mencukupi syarat-syaratnya.

Daripada Abu Hurairah RA dan Ibn Umar R.Anhuma, mereka berdua mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika Baginda berada di atas mimbarnya:

لَيَنْتَهِينَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدَعِهِمُ الْجُمُعَاتِ أَوْ لَيَحْتِمَنَّ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ

Maksudnya: “Hendaklah sesuatu kaum itu daripada meninggalkan solat Jumaat atau Allah akan menutup hati-hati mereka, akibatnya mereka akan menjadi golongan yang lalai.”

Riwayat Muslim (865) dan yang lainnya

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan solat Jumaat merupakan satu kewajipan kepada para lelaki, berdasarkan sabda Nabi SAW:

 الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim untuk didirikan secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.”

Riwayat Abu Daud (1067)

Oleh itu, tindakan ketua saudara menghalang untuk melaksanakan solat jumaat adalah tindakan yang tidak wajar. Sabda Nabi SAW:

 السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: “(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap orang Muslim pada apa yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia tidak diperintah melakukan maksiat, apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat.”

Riwayat al-Bukhari (7144)

Hadith di atas menjelaskan bahawa sekiranya seorang pemerintah atau ketua itu menyuruh melaksanakan perbuatan yang bercanggah dengan syariat, maka tidak perlu untuk mentaati suruhannya. Justeru, nasihat kami bagi menjaga hubungan dalam pekerjaan, jelaskanlah kepada ketua saudara bahawa dalam Islam diwajibkan ke atas semua kaum lelaki melaksanakan solat jumaat. Moga dengan penerangan tersebut, sedikit sebanyak ketua saudara memahami dan menghormati tuntutan agama masing-masing.

Akhir kalam, Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

Surah al-Kahfi (10)

[1] https://maktabahalbakri.com/2785-solat-jumaat-lewat/

[2] https://maktabahalbakri.com/1934-tinggal-solat-jumaat-tiga-kali/

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445