#3439: Menulis Terjemahan Ayat al-Quran Pada Belakang Baju

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, saya ada soalan soalan ingin bertanya kepada Dato Dr. Apakah hukum menulis terjemahan ayat quran di dalam bahasa english pada belakang t shirt  atau baju sebagai niat ayat tersebut satu dakwah kepada non Muslim ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar merekalah orang-orang yang beruntung.”

(Surah Al-Imran: 104)

Begitu juga sabda Nabi SAW:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: “Sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat.”

 Riwayat Bukhari (3461)

Sampaikanlah kepada manusia apa yang Rasulullah SAW katakan dan apa yang dilakukan. Sampaikanlah  daripadaku walaupun hanya satu ayat’ (dalam Al-Quran).  ‘walaupun’ di sini menunjukkan sedikit, supaya manusia tidak berkata: ‘Saya hanya akan menyampaikan jika saya memiliki pengetahuan yang luas. Manusia seharusnya menyampaikan, walaupun hanya satu ayat, asalkan dia tahu tentangnya.(Lihat al-Tariq ila al-Da’wah,hlm 6)

Dalil-dalil di atas menunjukkan kepada kita bahawa berdakwah dengan menyeru kepada jala Allah merupakan kewajipan kepada setiap muslim lebih-lebih lagi dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. Yang demikian  bergantung kepada kemampuan dan ilmu masing-masing .

Menjawab persoalan di atas, kami berpandangan bahwa menulis terjemahan ayat-ayat Al-Quran di belakang baju dengan tujuan menyampaikan dakwah kepada siapa pun yang melihatnya adalah dibolehkan, ia sesuai dengan  uslub dalam menyampaikan dakwah dengan memberi nasihat dan peringatan melalui tulisan tersebut.  Perkara ini kembali kepada hukum asalnya iaitu diharuskan dan ia bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Namun, penting untuk menjaga agar tulisan tersebut tidak dicemari atau dihina dengan penggunaan benda-benda yang kotor, kerana tulisan tersebut adalah ungkapan dari makna ayat-ayat suci Al-Quran yang memiliki kemuliaan dan juga ia merupakan syiar agama islam. Firman Allah SWT:

ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.”

(Surah al-Hajj (32)

Begitu juga larangan menghina ayat-ayat suci al-quran dan merendahkannya dinyatakan melalui firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ ‎﴿٦٥﴾‏ لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ ۚ إِن نَّعْفُ عَن طَائِفَةٍ مِّنكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ

Maksudnya: Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.

(Surah al-Taubah: 65-66)

al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646)

Sebagai kesimpulannya, kami ingin menekankan bahawa menulis makna dari terjemahan ayat suci al-Quran pada baju bukanlah suatu kesalahan jika niatnya baik, seperti tujuan untuk menyebarkan dakwah dalam bentuk tulisan. Walau bagaimanapun, sangat penting untuk memastikan bahawa tulisan tersebut tidak dicemari oleh unsur-unsur yang boleh mengotorinya. Hal ini perlu dilakukan dengan penuh ketelitian bagi menjaga kemuliaan ayat-ayat al-Quran, walaupun telah diterjemahkan ke dalam bahasa yang lain.

Sama-samalah kita munajat:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445