Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.
Kucing saya tidur dalam sangkar pada waktu malam dan kadang-kadang ia suka tidur dalam litter box yang belum dibersihkan. Persoalannya, sekiranya saya memegang kucing saya selepas itu, adakah ianya dikira sebagai najis dan adakah kucing saya harus dibersihkan setiap hari? Kadang-kadang saya pun tidak tahu sama ada ia tidur atau tidak dalam litter box tersebut.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, kucing merupakan binatang yang kebiasaannya dijadikan sebagai peliharaan oleh masyarakat di serata dunia. Hal ini menimbulkan persoalan tentang hukum kesucian haiwan kecil ini sama ada ianya najis atau tidak. Kami telah bincangkan di dalam artikel kami yang bertajuk “Adakah Kucing Najis?”, dan kami menyimpulkan bahawa ia tidak dihukumkan sebagai najis berdasarkan hadith Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik R.A, daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”
Riwayat al-Tirmizi (92), Abu Dawud (75), al-Nasa’ie (68) dan Ibn Majah (367)
Imam al-San‘ani menyebutkan dalam kitabnya bahawa Allah SWT telah memberikan kelonggaran kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan kepada manusia, dan hadith ini merupakan dalil bahawa kucing itu adalah suci, begitu juga bekas minumannya (air yang telah diminum). (Lihat Subul al-Salam, 1/33)
Seterusnya, berkenaan persoalan yang diajukan oleh saudara, sekiranya kucing belaan tersebut tidur di dalam kotak najis (litter box) maka perbincangan ini boleh dibahagikan kepada 3 keadaan:
Keadaan Pertama:
Sekiranya najis kucing tersebut tidak terlekat pada badannya, maka ia tidak dihukumkan sebagai najis, bahkan ia mengambil hukum asal kesucian seperti yang disebutkan dalam hadith Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik R.A di atas.
Ini sebagaimana yang dimasyhurkan:
نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّوَاهِرِ وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ
Maksudnya: “Kami hanya menetapkan hukum berdasar yang zahir dan Allah yang menangani perkara yang tersembunyi.” (Lihat Talkhis al-Habir fi Ahadith al-Rafi‘i al-Kabir, 4/192)
Natijahnya, saudara tidak perlu membersihkan kucing tersebut atau mana-mana tempat yang dilalui atau bersentuhan dengan kucing tersebut kerana pada zahir mata kasarnya memang tidak terdapat najis di kawasan tersebut.
Keadaan Kedua:
Sekiranya najis kucing tersebut terlekat pada badannya, maka perlu dipastikan:
- Jika najis tersebut kering, dan permukaan badan kucing yang bersentuhan dengan najis itu juga kering, dan najis tersebut pula boleh dibuang dari badannya tanpa meninggalkan sebarang kesan.
Hukumnya: Kucing tersebut masih suci dan tidak bernajis.
- Jika najis tersebut basah atau lembap, dan permukaan badan kucing yang bersentuhan dengan najis itu kering, atau najis tersebut kering, dan permukaan badan kucing yang bersentuhan dengan najis itu basah atau lembap, atau kedua-duanya lembap
Hukumnya: Kucing tersebut dikira bernajis secara zahirnya, maka najis tersebut perlu dibersihkan sehingga hilang bau, warna dan rasa.
Syeikhah al-Hajjah Durriyyah al-‘Aytah menyebutkan, jika sesuatu yang najis atau mutanajjis bersentuhan dengan sesuatu yang suci, maka hendaklah dilihat:
Sekiranya kedua-duanya — yakni yang bernajis dan yang suci — dalam keadaan kering, maka sesuatu yang najis (atau yang mutanajjis) itu tidak akan memberi sebarang kesan kepada sesuatu yang suci itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebutkan, sesuatu yang kering adalah suci tanpa sebarang khilaf.
Namun, jika salah satunya atau kedua-duanya dalam keadaan basah (atau lembap), maka sesuatu yang suci itu akan dikira najis, disebabkan oleh persentuhannya dengan sesuatu yang najis itu. (Lihat Fiqh al-‘Ibadat ‘ala Mazhab al-Syafi‘i, 1/179)
Masalah ini juga menyamai dengan masalah jilatan anjing yang dibincangkan oleh Imam al-Nawawi. Beliau mengatakan, tidak ada perbezaan di sisi kami — yakni ulama mazhab Syafi‘i — antara jilatan anjing dengan selainnya yang terdiri daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota daripada anggota badannya yang bersih ketika dalam keadaan basah (atau lembap) salah satunya, maka wajib membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satu daripada basuhan itu dengan tanah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/185)
Dalam erti kata lain, ia hanya akan menajiskan benda lain, jika kedua-duanya atau salah satunya (yakni yang menyentuh dan yang disentuh) dalam keadaan basah dan lembap. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebut:
النَّجِسُ إذَا لَاقَى شَيْئًا طَاهِرًا، وَهُمَا جَافَّانِ، لَا يُنَجِّسُهُ
Maksudnya: “Najis yang bersentuhan dengan sesuatu yang suci, dalam keadaan kedua-duanya kering, ia (najis) tidak menyebabkan sesuatu itu menjadi najis” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 432)
Perbahasan tentang najis kucing yang kering ini telah kami jelaskan di dalam artikel kami yang bertajuk “Tahi Kucing Kering Pada Karpet”, saudara boleh merujuk perincian kami di sana untuk maklumat lanjut.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan di atas, kami katakan bahawa hukum kucing itu pada asalnya adalah suci. Maka, selagimana tidak zahir najis yang terlekat pada badannya maka ia kekal suci. Begitu juga jika terdapat najis yang kering, dan badan kucing tersebut juga kering, maka ia masih mengambil hukum suci. Akan tetapi, sebagai langkah berhati-hati, bersihkanlah kucing tersebut jika diyakini bahawa ia tidur di dalam bekas najis yang belum dibersihkan.
Adapun, jika didapati najis tersebut lembap, atau badan kucing tersebut lembap, atau kedua-duanya sekali, maka barulah kucing tersebut dihukumkan bernajis.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Kami akhiri dengan doa
رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445