#3444: Aurat Sesama Keluarga Tiri

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri, Nak tanya macamana aurat anak tiri saya dengan mak ayah saya? Dan juga macam mana saya dengan menantu lelaki (suami kepada anak tiri saya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, hukum menutup aurat adalah wajib sepertimana disepakati ulama’ berdasarkan firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur:31)

Berdasarkan ayat al-Quran ini, para ulama’ menetapkan hukum wajib menutup aurat bagi orang lelaki dan perempuan. Begitu juga dalam hadith Rasulullah SAW menegur Asma’ Binti Abu Bakar RA:

يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا

Maksudnya: “Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).”

Riwayat Abu Daud (4104) dan al-Baihaqi (3218)

Aurat merupakan bahagian tubuh badan yang tidak boleh ditunjukkan oleh lelaki dan perempuan kepada orang lain. Allah SWT telah menetapkan aurat bagi lelaki dan perempuan. Menjaga aurat dan kehormatan adalah wajib, tidak kira di mana sahaja. (Lihat al-Mausû’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31:44)

Imam al-Nawawi dalam menyatakan bahawa:  wajib menutup aurat dengan sebarang pakaian yang tidak menampakkan warna kulit, dan ia tidak mampu ditutup dengan baju yang jarang. Menutup aurat mencukupi dengan apa jenis pakaian, kulit, kertas atau dedaun yang dikait selagi mana ia tidak menampakkan warna kulit. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/171)

Begitu juga Imam al-Syairazi menyatakan, kadar dikira menutup aurat itu adalah tidak menampakkan warna kulit.( Lihat Al-Muhadhdhab, 125/1 )

Menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan dahulu gambaran dalam isu ini sebagai contohnya: Ali berkahwin dengan Fatimah dan dikurniakan seorang anak perempuan yang bernama Aisyah. Kemudian Ali telah bercerai dengan Fatimah dan berkahwin pula dengan Siti. Hubungan antara Siti dan Aisyah adalah hubungan tiri iaitu merupakan Ibu tiri kepada Aisyah. Kemudian Aisyah telah berkahwin dengan Abdullah yang merupakan menantu tiri kepada Siti.

Merujuk kepada persoalan di atas dalam isu ini, kami ingin menjelaskan bahawa hubungan antara anak tiri saudari dan bapa kandung saudari bukanlah dianggap sebagai hubungan mahram. Oleh kerana itu, tidaklah dibenarkan untuk bersalaman kerana tidak terdapat pertalian darah di antara keduanya, dan mereka dianggap sebagai ajnabi yang dihalalkan untuk  berkahwin antara satu sama lain sekiranya mencukupi syarat.

Selain itu, penting untuk memahami bahawa batas aurat juga harus dijaga dengan ketat, sebagaimana yang berlaku antara dua individu ajnabi. Bagi perempuan, batas aurat adalah seluruh tubuh kecuali wajah dan telapak tangan, sementara bagi lelaki, batas aurat adalah dari pusat hingga ke lutut. Begitu juga, batas aurat antara saudari dan menantu tiri, yang merupakan suami kepada anak tiri saudari, juga harus dijaga sesuai dengan hukum sebagai ajnabi.

Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan :

مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَجْهُهَا وَكَفَّاهَا وَإِنَّمَا لَمْ يَكُونَا عَوْرَةً؛ لِأَنَّ الْحَاجَةَ تَدْعُو إلَى إبْرَازِهِمَا وَإِنَّمَا حُرِّمَ النَّظَرُ إلَيْهِمَا؛ لِأَنَّهُمَا مَظِنَّةُ الْفِتْنَةِ

Maksudnya : “Apa yang zahir daripadanya (wanita itu) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya  kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/176)

Sebagai kesimpulannya, hubungan antara anak tiri perempuan dengan bapa kepada ibu tiri serta ibu tiri dengan menantu tiri dianggap sebagai hubungan antara ajnabi. Oleh kerana itu, penting untuk menjaga batas aurat sebagaimana yang telah diperintahkan oleh syarak  kepada individu yang tidak memiliki pertalian darah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam.

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445