#3447: Meletakkan Ejaan Nama Anak dengan Abdulmaliq?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan mengenai nama untuk anak lelaki. Alhamdulillah isteri saya baru melahirkan anak yang ingin diberi nama Abdulmaliq. Adakah nama tersebut sesuai untuk diberikan kepada anak kami terutamanya berkenaan dengan ejaan dan maksudnya? Saya bertanya untuk mendapatkan kepastian dan pandangan daripada pihak Dato’ Seri. Terima kasih Dato’ Seri.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami nyatakan bahawa nama yang baik untuk diberikan kepada anak adalah nama yang dimulakan dengan Abdul seperti Abdullah atau Abdul Rahman. Begitu juga, dengan nama-nama yang ada pujian seperti Ahmad, Hamid, Mahmud dan lain-lain. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

تَسَمَّوْا بِأَسْمَاءِ الأَنْبِيَاءِ، وَأَحَبُّ الأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ، وَأَصْدَقُهَا حَارِثٌ وَهَمَّامٌ، وَأَقْبَحُهَا حَرْبٌ وَمُرَّةُ .‏

Maksudnya: “Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Haris dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”

Riwayat Abu Dawud (4950) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (814)

Kemudiannya, berkenaan hal penamaan ini juga, Ibn al-Qayyim ada menyebutkan bahawa nama terbahagi kepada tiga kategori:

  • Pertamanya, nama yang khusus untuk kaum Muslimin.
  • Keduanya, nama yang khusus untuk orang kafir (bukan Islam).
  • Ketiganya, nama yang dikongsi bersama.

Di antara contoh nama pada kategori pertama adalah seperti Muhammad, Ahmad, Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Talhah dan al-Zubair. Mereka – iaitu ahli Zimmah – tidak boleh dibenarkan untuk menggunakan nama-nama ini.

Kemudian di antara contoh nama pada kategori kedua adalah seperti Jurjus (George), Butrus (Peter), Yuhanna (John), Matta (Matthew) dan seumpamanya. Mereka tidak boleh dihalang daripada menggunakan nama-nama ini, tetapi tidak dibenarkan bagi orang Islam untuk menggunakan nama-nama ini, kerana padanya terdapat penyerupaan dalam sesuatu yang dikhususkan bagi mereka.

Kemudian di antara contoh nama pada kategori ketiga pula adalah seperti Yahya, Isa, Ayyub, Dawud, Sulaiman, Zaid, ‘Amr, Abdullah, ‘Atiyyah, Mauhub, Salam dan sebagainya. Nama-nama ini tidak dilarang sama ada untuk ahli Zimmah atau kaum Muslimin. (Lihat Ahkam Ahl al-Zimmah, 3/1317).

Berkenaan persoalan di atas, pertamanya, saya ucapkan syabas kepada anda atas kurniaan putera. Semoga ia termasuk di kalangan anak dan zuriat yang soleh.

Nama Allah  ﺍﻟﻤﻠﻚ  (al-Malik) membawa erti Raja atau Pemilik Yang Sangat Besar. Nama ini adalah bersandarkan sifat. Oleh Kerana itu ia boleh digunakan untuk makhluk dengan mengugurkan alif wasal di hadapan nama itu menjadikan ia sebagai  ﻣﻠﻚ  (Malik) sahaja. Lebih elok di dahulukan dengan nama Abdul di hadapannya untuk menjadikan Abdul Malik (Hamba Raja).

Terdapat 2 cara membaca kalimah ﻣﻠﻚ di dalam al-Quran, iaitu dengan bacaan panjang pada huruf  ﻣ (mim) seperti yang terdapat di dalam surah al-Fatihah dengan bacaan pendek pada huruf  ﻣ (mim) seperti yang terdapat di dalam surah al-Nas. Kedua-dua bacaan ini membawa erti yang sama iaitu ﻣﻠﻚ (Malik) bererti Raja atau Pemilik yang menguasai. Perbezaan antara keduanya adalah seperti berikut;-

Pengertian ﻣﻠﻚ  dalam surah al-Fatihah dibaca dengan panjang 2 harkat pada huruf  ﻣ, ialah; “(Raja) Yang Menguasai pada hari pembalasan (akhirat).” Allah SWT adalah Raja atau Pemilik Tunggal kesemua alam. Apabila terjadinya kiamat keseluruhan alam dan segala isinya akan musnah dan mati. Tiada yang tinggal hidup kecuali Allah SWT. Allah adalah Raja dan Pemilik Yang Sangat Agung dan Mulia. Kalimah ﻣﻠﻚ dengan bacaan 2 harkat pada huruf  ﻣ melambangkan sifat kekuasaan mutlaq dan luas yang tiada batas pada diri Allah SWT.

Manakala pengertian ﻣﻠﻚ dalam surah al-Nas yang dibaca dengan pendek pada huruf  ﻣ , ialah; “(Raja) Yang Menguasai sekelian manusia.” Allah adalah Pencipta sekalian manusia. Allah adalah Pemilik manusia. Apa yang ada pada diri manusia kesemuanya adalah anugerah dari Allah SWT.

Justeru, nama yang saudara berikan dengan meletakkan “Abdul” menepati nama yang baik selain Abdullah dan Abdul Rahman. Ada qil menyebut:

خيرُ الْأَسْمَاءِ مَا عُبِّدَ وحُمِّدَ

Maksudnya: “Sebaik-baik nama ialah nama yang mengandungi Ubudiyyah kepada Allah (Abdul), dan yang mengandungi tahmid (Muhammad /Ahmad).”

Al-’Ajluni berkata: “Kata-kata ini masyhur di lidah, tetapi nisbahnya kepada Nabi tidak sahih dan tidak ada asalnya. (Lihat Kasyf al-Khafa’ wa Muzil al-Ilbas, 1/95). Ibn Uthaimin dalam Syarh al-Nuzhah (55) berkata: “(Hadith ini) masyhur, tetapi tiada asal baginya.” Dalam Syarh Riyadh al-Salihin, beliau menyebut: “Tiada asal baginya, dan ia bukan hadith.” Al-Zurqani dalam Mukhtasar al-Maqasid (495) berkata: “Aku tidak mengetahuinya.”

Justeru, daripada sudut ejaan bahasa arab, ia dieja dengan ‘عَبْدُ الْمَالِك’ atau ‘عَبْدُ الْمَلِك’. Manakala dalam bahasa melayu, kami sarankan supaya mengejanya ‘Abdul Malik’ dengan huruf ‘K’ dan bukannya huruf ‘Q’, kerana huruf ‘K’ kebiasaannya mewakili huruf ‘ك’ bagi bahasa arab dan ‘Q’ pula mewakili huruf ‘ق’ bagi bahasa arab.

Manakala kata “ملِق” adalah kata kerja dalam Bahasa Arab yang mempunyai makna yang berbeza bergantung kepada konteks. Antaranya:

  1. “ملِقَ” dengan makna mendekati dan lembut:

Apabila digunakan dengan merujuk kepada seseorang: Ini merujuk kepada seseorang yang mendekati dan menunjukkan kelembutan dan kerendah-hatian kepada orang lain, dan menunjukkan perasaan kasih sayang tanpa kejujuran. Dalam konteks ini, ia boleh diterjemahkan sebagai “tunduk” atau “berpura-pura ramah.”

  1. “ملِقَ” dengan makna melarikan diri dengan cepat:

Apabila digunakan dengan merujuk kepada kuda atau haiwan: Ini merujuk kepada haiwan yang melarikan diri dengan cepat atau lari daripada musuhnya. Dalam konteks ini, ia boleh diterjemahkan sebagai “melarikan diri dengan cepat.”

  1. “ملِقَ” dengan makna memisahkan atau mengeluarkan:

Apabila digunakan dalam konteks mengeluarkan sesuatu daripada sesuatu yang lain: Ini merujuk kepada sesuatu yang telah dipisahkan atau dikeluarkan. Sebagai contoh, “ملِقَ الخاتم من الإصبع” bermaksud mengeluarkan cincin dari jari.

Manakala dalam Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyah al-Mu’asirah dalam menerangkan maksud “ملِقَ/ ملِقَ لـ يملَق، مَلَقًا، فهو مَلِق، والمفعول مَمْلوق” dengan contoh  ملِق الشَّخصَ/ ملِق للشَّخص yang membawa maksud: “Mendekati Seseorang / Berpura-pura Tunduk: Merupakan tindakan berusaha mendekati seseorang dengan memperlembutkan kata-kata dan perilaku, merendahkan diri, menunjukkan kasih sayang palsu, dan menunjukkan kebaikan yang sebenarnya tidak ada dalam hati, berusaha memohon dengan lebih daripada yang patut, atau bersikap tidak jujur.” (Lihat Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyah al-Mu’asirah, 3/120)

Justeru, sekiranya digunakan kata “ملِقَ” ia membawa maksud negatif, iaitu seseorang yang berpura-pura menjadi lembut dan merendahkan diri untuk mendapatkan sesuatu.

Akhir kata, semoga anak anda benar-benar berjaya dalam hidup dan berada pada kedudukan yang mulia serta tinggi pada satu masa nanti. Banyakkan berdoa kepada Allah sebagaimana diajar oleh Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445