Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya hendak membuat majlis akikah anak lelaki saya, tapi bapa mertua mengatakan jika saya tidak buat akikah masa kecil dulu, anak saya pun tak boleh sama buat majlis akikah
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Akikah daripada sudut istilah syarak bermaksud kambing yang disembelih sempena kelahiran bayi kerana mencari redha Allah, yang disembelih pada hari ketujuh kelahirannya berserta dengan mencukur rambutnya. Akikah ialah hak seorang anak atas ayahnya. (Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’ oleh al-Rawwas, hlm. 288 dan al-Qamus al-Fiqhi Lughatan wa Ishtilahan oleh Sa‘di Abu Jaib, hlm. 258).
Ibn Qudamah berkata: “Akikah ialah haiwan yang disembelih untuk bayi yang baru lahir. Ada yang berpendapat ia adalah makanan yang dibuat (disediakan) untuk tetamu yang diundang dalam disebabkan oleh kelahiran bayi.” (Lihat al-Mughni, 13/393).
Pada asasnya, akikah adalah dianjurkan dan hukumnya ialah sunat muakkad. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/492; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/429).
Pengarang al-Fiqh al-Manhaji juga menyebutkan, hukum akikah ialah sunat muakkad. Oleh itu, wali yang menanggung bayi tersebut dituntut melakukannya kerana mengikut perbuatan Rasulullah SAW dan para sabahat Baginda. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/55).
Hal ini berdasarkan hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَعَ الْغُلَامِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الْأَذَى
Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi, ada akikahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”
Riwayat al-Bukhari secara muallaq selepas hadith (5471), Abu Dawud (2839), al-Tirmizi (1515), al-Nasa’i (4214), Ibn Majah (3164), dan Ahmad (16229). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut di dalam Takhrij al-Musnad (16229) menyatakan bahawa hadith ini sahih.
Selain itu, terdapat hadith daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma bahawa:
عقَّ رسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عن الحسنِ والحُسينِ، رضيَ اللهُ عنهما بكبشَينِ، كبشَين
Maksudnya: “Rasulullah SAW melakukan akikah untuk al-Hasan dan al-Husain R.Anhuma dengan dua ekor kibasy, dua ekor kibasy.”
Riwayat al-Nasa’i (4219). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Zad al-Ma’ad (2/299) menyatakan bahawa sanad hadith ini kuat.
Begitu juga Ibn Qudamah menyebutkan, akikah hukumnya adalah sunat menurut pendapat jumhur ulama seperti Ibn Abbas, Ibn Umar, Aisyah, fuqaha tabi‘in dan para imam di segenap wilayah, melainkan Ashab al-Ra’y — yakni Hanafiyyah. Mereka berpendapat, hukumnya tidak sunat kerana ia termasuk dalam perbuatan Jahiliyyah. Begitu juga kerana diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda ditanya berkenaan akikah. Lalu Baginda bersabda:
إِنَّ اللَّه تَعالَى لَا يُحِبُّ الْعُقُوقَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak suka perkataan al-‘Uquq (yang bermaksud derhaka).”
Maka, ia menunjukkan bahawa seolah-olahnya Baginda tidak menyukai perkataan itu dan Baginda bersabda:
مَنْ وُلِدَ له مَوْلُودٌ، فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ، فَلْيَفْعَلْ
Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan anak, kemudian dia ingin melakukan ibadah baginya, maka lakukanlah.”
Riwayat Malik dalam Muwatta’ (2/500) dan al-Hakim (7801) di dalam al-Mustadrak dan beliau mengsahihkan sanad hadith ini.
Selain itu, terdapat juga dalam kalangan ulama yang berpendapat, hukum akikah adalah wajib seperti yang dikemukakan oleh al-Hasan dan Dawud, serta diriwayatkan daripada Buraidah bahawa manusia akan dibentangkan (diperlihatkan) akikahnya sepertimana dibentangkan juga kepada mereka solat lima waktu. Begitu juga berdasarkan kepada riwayat daripada Samurah bin Jundub RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ غُلَامٍ رَهِينَةٌ بعَقِيقَتِهِ، تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِه، ويُسَمَّى فِيهِ، وتحْلَقُ رَأْسُه
Maksudnya: “Setiap bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih akikah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya.”
Riwayat Abu Dawud (2738), al-Nasa’i (4220), Ibn Majah (3165) dan Ahmad (20256); Syeikh Syu‘aib al-Arnout menilai sanadnya sebagai sahih dalam Takhrij al-Musnad. Begitu juga Imam Nawawi dalam al-Azkar (hlm. 361) menilai sanadnya sebagai sahih.
Demikianlah juga dengan hadith-hadith lain yang memerintahkan akikah dan mereka menyatakan, secara zahirnya, suatu perintah menunjukkan bahawa ia adalah wajib.
Seterusnya Ibn Qudamah menyebutkan, adapun dalil bagi pihak kami yang berpendapat ia adalah dianjurkan dan sunat ialah hadith-hadith ini iaitu daripada Ummu Kurz al-Ka‘biyyah, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
عَنِ الْغُلَامِ شَاتَانِ مُكافِئتَانِ، وعَنِ الْجَارِيةِ شَاةٌ
Maksudnya: “Akikah bagi seorang anak lelaki ialah dua ekor kambing yang setara, dan bagi anak perempuan pula ialah seekor kambing.”
Riwayat Abu Dawud (2834). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (2834) menyatakan bahawa hadith ini sahih li ghairih.
Dalam riwayat Asma’ binti Yazid Umm Salam al-Ansariah RA, Baginda SAW bersabda:
الْعَقِيقَةُ عَنِ الْغُلَامِ شَاتَانِ
Maksudnya: “Akikah bagi seorang anak lelaki ialah dua ekor kambing.”
Riwayat Ahmad (27582), Ibn Abi ‘Asim dalam al-Ahad wa al-Mathani (3353), dan al-Tabarani (461). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Musnad (27582) menyatakan bahawa hadith ini sahih li ghairih
Begitu juga dengan ijma‘ ulama. Abu al-Zinad menyebutkan, akikah termasuk dalam urusan manusia dan mereka benci untuk meninggalkannya. Imam Ahmad menyebutkan, akikah adalah sunnah daripada Rasulullah SAW kerana Baginda melakukannya buat al-Hasan dan al-Husain, dan begitu juga para sahabat melakukannya. Nabi SAW bersabda (yang bermaksud): “Anak itu tertebus dengan akikahnya.” Sanadnya ada baik dan ia diriwayatkan oleh Abu Hurairah daripada Nabi SAW. Manakala Abu Hanifah berpendapat ia sebahagian daripada perbuatan Jahiliyyah disebabkan oleh kurangnya ilmu dan pengetahuannya berkenaan al-Akhbar (hadith-hadith).
Hukum sunat akikah itu berterusan sehingga bayi itu baligh. Setelah dia baligh, gugurlah tuntutan akikah atas walinya. Malah, lebih baik untuk dia sendiri melakukan akikah yang tertinggal itu. Walau bagaimanapun, penyembelihan akikah sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi itu.
Imam al-Nawawi menyebutkan, sunnahnya adalah menyebelih haiwan akikah pada hari ketujuh daripada kelahiran anak itu. Kemudian, para ulama berbeza pendapat, adakah dikira hari kelahirannya termasuk dalam tujuh hari tersebut? Dalam hal ini, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berselisih pendapat kepada dua sebagaimana dinukilkan oleh al-Syasyi dan lain-lain. Pendapat yang paling sahih ialah hari kelahiran tersebut dikira. Maka, haiwan akikah itu disembelih pada hari ke-6 selepas daripada hari kelahirannya. Manakala pendapat kedua pula menyatakan ia tidak dikira. Justeru, haiwan akikah itu disembelih pada hari ke-7 selepas daripada hari kelahirannya, dan pendapat ini telah dinaskan oleh al-Buwaiti. Akan tetapi pendapat (muktamad) mazhab — yakni Syafi‘i — ialah pendapat yang pertama dan ia adalah zahir daripada hadith-hadith.
Selain itu, jika anak itu dilahirkan pada waktu malam, maka dikira sehari tersebut (hari pertama) selepas berlalunya malam itu tanpa sebarang khilaf. Perkara ini telah dinaskan oleh al-Buwaiti dan dia turut menaskan bahawa tidak dikira hari yang dilahirkan itu sebagai sehari. Di samping itu, pengarang al-Muhazzab dan ashab (ulama mazhab Syafi‘i) turut berpendapat, jika haiwan akikah itu disembelih selepas hari ketujuh atau sebelum daripada hari tersebut tetapi selepas kelahirannya, maka ia adalah sah. Namun, jika ia disembelih sebelum daripada hari kelahirannya, maka ia tidak dikira — yakni tidak sah — tanpa sebarang khilaf, bahkan ia dianggap sebagai sembelihan bagi mendapatkan daging semata-mata.
Begitu juga ulama mazhab Syafi‘i berpendapat, tidak terluput akikah itu dengan melewatkannya selepas hari ke-7, akan tetapi disunatkan untuk tidak melewatkannya sehingga umur baligh. Abu ‘Abdillah al-Busyaihi daripada kalangan ulama mazhab Syafi‘i berpendapat, jika tidak disembelih haiwan akikah pada hari ketujuh, maka ia disembelih pada hari ke-14, dan sekiranya tidak maka pada hari ke-21. Kemudian, begitulah dalam minggu-minggu berikutnya — yakni gandaan tujuh. Selain itu, terdapat pendapat lain dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i bahawa jika sudah tiga kali berulang tujuh hari tersebut, maka terluputlah waktu ikhtiyar (sunnahnya). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/431)
Pendapat ini juga dipegang oleh ulama dalam mazhab Hanbali seperti Ibn Qudamah. Alasannya, ibadah akikah ini disyariatkan sebagai mensyukuri pemberian anak oleh Allah swt iaitu melalui kelahiran. Memandangkan hari pertama sehingga hari ketujuh termasuk dalam lingkungan hari kelahiran, maka melakukan akikah sepanjang tempoh tersebut juga dikira sah dan harus. Keharusan tersebut berdasarkan qiyas kepada isu melaksanakan kafarah sumpah terlebih dahulu sebelum melanggarinya. (Lihat al-Kafi, 1/547).
Selain itu, Dr. Muhammad al-Zuhaili juga ada menyebutkan, sunnahnya adalah untuk menyembelih haiwan akikah pada hari ketujuh daripada kelahirannya, dan hari kelahirannya itu dikira termasuk dalam tujuh hari tersebut. Namun, jika dia menyembelihnya sebelum hari ketujuh atau selepasnya, maka ia adalah dikira — yakni sah — kerana dia melakukan akikah itu setelah adanya sebab — yakni kelahiran bayi itu. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/493).
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa majlis akikah anak lelaki saudara adalah sunat dan dituntut sebagaimana hujjah yang kami kemukakan. Adapun apa yang dinyatakan oleh bapa mertua saudara yang mengatakan jika saudara tidak diakikahkan semasa kecil dulu, maka anak saudara pun tidak boleh diakikahkan adalah tidak benar sama sekali. Hal ini kerana dalil menunjukkan bahawa akikah ini dilakukan berdasarkan kelahiran anak dan bukannya berdasarkan bapanya pernah diakikahkan atau tidak.
Selain itu, kami juga menyarankan supaya saudara juga mengakikahkan diri saudara sendiri dalam masa yang sama. Hal ini kerana hukum akikah adalah sunat dan berterusan sehingga bayi itu baligh. Setelah anak itu baligh, gugurlah tuntutan akikah atas walinya. Malah, lebih baik untuk dia sendiri melakukan akikah yang tertinggal itu.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahua`lam.
Bertarikh: 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiulawwal 1445