Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya biasanya akan mendengar radio dalam perjalanan pulang dari kerja, dan siaran radio berkenaan pada waktu petang ada buat karaoke daripada para pendengar. Ada seorang itu, sebelum menyanyi dia membaca bismillah terlebih dahulu. Soalan saya, apakah hukumnya baca bismillah sebelum menyanyi dan adakah ia dibenarkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan basmalah secara ringkas. Basmalah dari sudut bahasa dan istilah merujuk kepada ucapan “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ” (Bismillahirrahmanirrahim). Dikatakan: Basmal “بَسْمَل” Basmalah “بَسْمَلَةً”, apabila seseorang mengucapkan atau menulis: Bismillah “بِسْمِ اللَّهِ”. Dikatakan juga: “Perbanyakan basmalah,” bermaksud “Perbanyakan ucapan Bismillah.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/83).
Selain itu, menurut al-Qurtubi, lafaz “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ” adalah salah satu ayat yang Allah SWT turunkan dalam kitab kita (iaitu al-Quran) dan ke atas umat ini secara khususnya setelah zaman Nabi Sulaiman A.S. Sebahagian ulama berpendapat, sesungguhnya “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ” mengandungi seluruh syariat kerana ia merujuk kepada zat Allah dan sifat-sifat-Nya, dan pendapat ini adalah benar. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/91).
Seterusnya, al-Qurtubi menukilkan pula bahawa sebahagian ulama berpendapat makna ucapan Bismillah “بِسْمِ اللَّهِ” ialah aku mulakan dengan mengharapkan pertolongan Allah, taufiq-Nya dan keberkatan daripada-Nya. Ini adalah pengajaran daripada Allah SWT kepada para hamba-Nya agar mereka menyebut nama-Nya ketika memulakan pembacaan dan selainnya, supaya permulaan mereka diiringi dengan keberkatan daripada Allah ‘Azza wa Jalla. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/98).
Oleh sebab itu, Allah SWT memerintahkan kepada manusia agar memulakan setiap amalan dengan lafaz “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ”. Setiap perbuatan yang dimulai dengan basmalah sudah pasti mendapat keberkatan daripada Allah SWT sebagai Pemberi nikmat Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/58).
Di samping itu, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كلُّ كلامٍ، أو أمرٍ ذي بالٍ لا يُفتَحُ بذِكْرِ اللَّهِ عزَّ وجلَّ فَهوَ أبترُ
Maksudnya: “Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan mengingati Allah ‘Azza wa Jalla (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.”
Riwayat Ahmad (8712)[1]
Menurut Imam al-Nawawi, maksud perkara penting dalam hadith di atas ialah sesuatu perkara yang dititikberatkan oleh seseorang itu. Manakala makna terputus pula bermaksud kurangnya keberkatan. Justeru, para ulama berpendapat disunatkan untuk memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan lain-lain perkara yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/73).
Dalam menjawab soalan di atas, basmalah disyariatkan ketika melakukan perkara yang diharuskan atau perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Adapun perkara yang haram dan makruh , maka tidak disyariatkan menyebut basmalah ketika melakukannya. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Dimyati bahawa basmalah dituntut dalam setiap perkara yang diberi perhatian mengenainya dalam syarak, di mana perkara itu tidak haram pada zatnya mahupun makruh ataupun tidak termasuk dalam perkara yang remeh-temeh.
Justeru, haram untuk membaca basmalah ke atas sesuatu perkara yang sememangnya haram pada zatnya seperti zina dan tidak haram membacanya pada sesuatu yang haram disebabkan faktor lain yang mendatang[2] seperti berwuduk dengan air yang dirampas. Begitu juga makruh membaca basmalah ke atas sesuatu perkara yang sememangnya makruh pada zatnya seperti melihat kemaluan isterinya dan tidak makruh membacanya pada sesuatu yang menjadi makruh kerana faktor lain[3] seperti memakan bawang. Begitu juga tidak dituntut membaca basmalah ke atas sesuatu perkara yang remeh-temeh dan dilihat rendah kedudukannya seperti menyapu sampah demi untuk menjaga nama Allah SWT daripada dikaitkan dengan perkara yang remeh-temeh (tiada nilai).
Seterusnya, beliau menyimpulkan bahawa bacaan basmalah itu tertakluk kepada hukum yang lima. Wajib membaca basmalah seperti ketika dalam solat di sisi kita mengikut al-Syafi‘iyyah. Sunat ‘ain membacanya sebagaimana ketika berwuduk dan mandi. Sunat kifayah membacanya seperti ketika makan beramai-ramai dan begitu juga ketika melakukan hubungan suami isteri, cukup bacaan basmalah itu diucapkan oleh salah seorang. Haram membaca basmalah pada perkara yang haram secara zatnya dan begitu juga makruh membaca basmalah pada perkara yang makruh secara zatnya. Seterusnya, diharuskan untuk membaca basmalah pada perkara-perkara yang harus yang tidak ada kemuliaan padanya seperti memindahkan barangan dari satu tempat ke tempat yang lain, demikianlah dikatakan. (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/9; lihat juga Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 1/14).
Tambahan pula Jalaluddin al-Suyuti ada menjelaskan lagi dengan mengemukakan alasan mengenai perkara ini iaitu haram menyebut basmalah pada perkara-perkara yang diharamkan kerana tujuan membaca basmalah adalah bagi mengambil keberkatan dalam perbuatan yang dilakukannya. Sedangkan perkara yang haram tidak diinginkan daripadanya kelimpahan mahupun keberkatan. Begitulah juga halnya bagi perkara yang makruh. (Lihat Hasyiah al-Suyuti ‘ala Sunan al-Nasa’i, 1/61).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa hukum bacaan basmalah bagi sesuatu perkara itu tertakluk kepada hukum perkara atau perbuatan yang ingin dilakukan. Justeru, kami berpendapat bahawa makruh membaca basmalah ketika hendak memulakan nyanyian muzik atau lagu. Oleh itu, meninggalkan bacaan basmalah adalah lebih baik. Hal ini kerana nyanyian muzik dan lagu itu termasuk dalam perkara yang lagha dan sia-sia sekalipun ia diharuskan jika seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah. Sedangkan bacaan basmalah sebelum memulakan sesuatu/perkara tujuannya adalah untuk memohon pertolongan daripada Allah SWT dan keberkatan-Nya atas perkara yang kita hendak lakukan itu. Maka, tidak tergambar bagaimana mungkin kita inginkan atau mengharapkan pertolongan Allah dan keberkatan-Nya dalam sesuatu perkara yang dianggap sebagai lagha dan sia-sia?
Namun, jika seni kata nyanyian itu tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka hukumnya adalah haram.[4] Justeru, ketika ini tidak syak lagi bahawa bacaan basmalah turut diharamkan bagi memulakan nyanyian lagu atau muzik tersebut.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
[1] Ahmad Syakir menyatakan bahawa sanadnya adalah sahih. Manakala Syu‘aib al-Arna’ut pula menyebutkan bahawa sanadnya adalah dhaif. Begitu juga riwayat Ibn Majah dengan hadith seumpamanya (1894)
[2] Iaitu haramnya bukan pada zatnya itu sendiri sebaliknya disebabkan faktor lain yang mendatang
[3] Iaitu makruhnya itu bukan pada zatnya itu sendiri.
[4] Ini adalah berdasarkan kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam Muzakarah kali ke-2 pada 12-13 Mei 1981 yang telah membuat beberapa ketetapan sebagai panduan kepada semua pihak sama ada penganjur atau penonton berkaitan hiburan. (Lihat https://www.facebook.com/DakwahJakim/photos/a.10150091927227398/10152346436742398/?type=3. Diakses pada 19 September 2023).
Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445