#3450: Kedudukan Saf Isteri di Sebelah Suaminya Kerana Ruang Sempit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apabila saya pergi bercuti dengan isteri saya dan tinggal di hotel, seboleh-bolehnya saya cuba untuk tidak tinggal solat berjemaah bersama isteri. Akan tetapi masalah yang timbul, biasanya ruang bilik hotel sempit dengan perabot dan seumpamanya. Soalan saya, bolehkah isteri solat di sebelah kiri saya, yang mana sepatutnya safnya di belakang saya (imam)? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Abdullah bin Umar bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

صَلاةُ الجَماعَةِ تَفْضُلُ صَلاةَ الفَذِّ بسَبْعٍ وعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah itu mengatasi solat secara bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat.

Riwayat al-Bukhari (645)

Hadith di atas mengandungi galakan kepada Muslimin dan Muslimat supaya menunaikan solat secara berjemaah kerana ganjaran pahalanya sangat besar. Para fuqaha juga telah bersepakat bahawa bagi laki-laki, solat yang mereka tunaikan secara berjemaah di masjid adalah lebih baik (adfhal) berbanding solat mereka secara bersendirian di rumah. Adapun bagi hak perempuan, solat yang didirikan di rumah-rumah mereka adalah lebih baik. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/231-232).

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya berkenaan susunan saf di dalam solat, menurut Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff bahawa jika makmum hanya seorang lelaki, maka dia hendaklah berdiri di sebelah kanan imam. Apabila seorang makmum lelaki yang lain datang, maka orang tersebut hendaklah berdiri di sebelah kiri imam. Kemudian imam boleh berganjak/bergerak ke hadapan atau kedua-dua makmum lelaki tadi boleh berganjak ke belakang dan inilah yang sebaik-baiknya (afdhal).

Menurut beliau lagi, dari segi susunan jemaah dalam saf, hendaklah yang berdiri di belakang imam jemaah lelaki, kemudian jemaah kanak-kanak, kemudian jemaah khunsa dan kemudian barulah jemaah wanita. Manakala imam wanita ketika mengimamkan jemaah wanita pula hendaklah berdiri di tengah-tengah dalam saf jemaah wanita itu, dan begitu juga imam (lelaki) yang bertelanjang tanpa sebarang pakaian yang dapat dilihat bukan pada waktu malam hari juga hendaklah berdiri di tengah-tengah dalam saf jemaahnya.[1] (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 294).

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan dalam kitabnya berkenaan susunan saf di dalam solat bahawa sekiranya yang menghadiri solat terdiri daripada ramai lelaki dewasa, kanak-kanak, khunsa dan perempuan-perempuan, maka dahulukan (susunan di dalam saf) lelaki-lelaki dewasa, kemudian kanak-kanak, kemudian golongan khunsa dan kemudian barulah perempuan-perempuan. Sekiranya yang menghadiri solat terdiri daripada ramai lelaki dewasa, seorang khunsa dan seorang perempuan, maka letakkan saf khunsa secara bersendirian di belakang saf lelaki dan saf perempuan secara bersendirian di belakang saf khunsa. Jika bersama mereka seorang kanak-kanak, maka masukkan kanak-kanak tersebut di dalam satu saf bersama lelaki-lelaki dewasa. Manakala sekiranya yang datang solat terdiri daripada seorang Imam, seorang kanak-kanak, seorang perempuan dan seorang khunsa, maka kedudukan saf kanak-kanak itu di sebelah kanan Imam, saf khunsa di belakang mereka berdua, dan saf perempuan di belakang saf khunsa. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/293).

Keduanya, apabila seorang lelaki menjadi imam kepada seorang perempuan sahaja, maka saf perempuan itu adalah di belakangnya dan bukannya di sebelahnya. Hal ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Mawardi bahawa jika seorang lelaki menjadi imam kepada seorang wanita sahaja, maka perempuan tersebut berdiri di belakangnya dan bukannya di sebelahnya. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/340).

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa:

أَنَّ جَدَّتَهُ مُلَيْكَةَ دَعَتْ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ لَهُ، فَأَكَلَ مِنْهُ، ثُمَّ قَالَ: قُومُوا فَلِأُصَلِّ لَكُمْ. قَالَ أَنَسٌ: فَقُمْتُ إِلَى حَصِيرٍ لَنَا، قَدِ اسْوَدَّ مِنْ طُولِ مَا لُبِسَ، فَنَضَحْتُهُ بِمَاءٍ، فَقَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَصَفَفْتُ وَاليَتِيمَ وَرَاءَهُ، وَالعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا، فَصَلَّى لَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ انْصَرَفَ

Maksudnya: “Neneknya Mulaikah telah menjemput Nabi SAW untuk makan makanan yang telah disediakannya untuk Baginda SAW. Lalu Baginda memakan sebahagian daripada makanan itu kemudian bersabda: ‘Bangunlah, biar aku mengimami kamu untuk solat.’” Anas berkata: “Aku terus pergi mengambil tikar kami yang telah kehitaman disebabkan sudah lama digunakan. Aku renjiskannya dengan air. Rasulullah SAW pun berdiri dan aku bersama seorang anak yatim membuat saf di belakang Baginda. Nenekku yang tua itu pula berada di belakang kami. Rasulullah SAW solat dua rakaat bersama kami. Setelah itu, Baginda pun berangkat pulang.”

Riwayat al-Bukhari (380)

Menurut Imam al-Nawawi, terdapat beberapa faedah yang boleh dikeluarkan daripada hadith di atas. Antaranya, hadith di atas menjelaskan bahawa kedudukan orang perempuan adalah berdiri di belakang orang lelaki semasa menunaikan solat. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/293).

Bahkan ia juga bertepatan dengan sabda Nabi SAW:

‎خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا، وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

Maksudnya: “Sebaik-baik saf orang lelaki adalah yang paling depan dan seburuk-buruk saf orang lelaki adalah yang paling akhir. Manakala sebaik- baik saf orang perempuan adalah yang paling belakang dan seburuk-buruk saf bagi mereka adalah yang paling hadapan.”

Riwayat Muslim (440)

Justeru, dapat difahami  bahawa sekiranya seorang wanita solat bersama suaminya secara berjemaah, maka kedudukannya adalah di belakang suaminya. Adapun mengenai kedudukannya ketika berada di belakang imam, adakah lebih sedikit ke arah kiri atau kanan atau betul-betul berada di belakang imam? Dalam hal ini, difahami daripada zahir hadith menunjukkan bahawa kedudukannya berada betul-betul di belakang imam. Sekalipun begitu, kami berpandangan dalam permasalahan ini, urusan berkenaannya adalah luas (الأَمْرُ فِيهِ وَاسِع), maka terserah kepadanya (makmum perempuan Itu) mengikut kesesuaian tempat dan sebagainya.

Ketiganya, berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asalnya kedudukan saf makmum seorang perempuan adalah di belakang imam. Namun, jika makmum perempuan itu menyelisihi susunan saf yang telah ditentukan, maka hukumnya adalah makruh kerana kesemua susunan/kedudukan saf ini, hukumnya adalah mustahab (sunat).

Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam satu kenyataannya, membuat kesimpulan bahawa kesemua susunan atau kedudukan saf yang telah disebutkan ini, hukumnya adalah disunatkan dan menyelisihinya pula adalah makruh serta solat yang didirikan tetap dikira sah — yakni tidak batal. Demikianlah juga, sekiranya imam solat di tempat yang lebih tinggi daripada makmum atau sebaliknya tanpa sebarang keperluan. Begitu juga, sekiranya (kedudukan saf) seorang perempuan terkehadapan daripada saf lelaki dengan syarat dia tidak melebihi saf imam atau dia berada di sebelah imam atau di sebelah makmum lelaki, maka sah solat perempuan tersebut dan begitu juga solat makmum lelaki itu. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/297).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa kedudukan saf isteri di sebelah suaminya ketika mengimamkan solat adalah dibolehkan dan tidak menjadi masalah, serta solat yang didirikan oleh kedua-duanya tetap dikira sah. Hal ini kerana susunan atau kedudukan dalam saf sebagaimana yang telah disebutkan di atas, hukumnya adalah disunatkan dan menyelisihinya pula dihukumkan sebagai makruh (tanpa sebarang keperluan) serta tidak memberi kesan terhadap kesahan solat seseorang.

Bahkan kami juga berpendapat, hukum makruh tersebut tergugur apabila terdapatnya keperluan untuk melakukannya, sebagaimana situasi di mana seorang makmum perempuan terpaksa berada di sebelah imam (suaminya) ketika solat disebabkan oleh ruangan yang sempit. Hal ini bertepatan sebagai kaedah yang menyebutkan:

الكَرَاهَةُ تَـزُولُ بِالحَاجَةِ

Maksudnya: “Hukum makruh itu hilang dengan wujudnya keperluan.

(Lihat Ma‘lamah Zayed, no.267)

Dapat difahami daripada kaedah ini bahawa perkara-perkara yang dimakruhkan di dalam solat tidak menjadi makruh apabila terdapatnya keperluan untuk melakukannya.

Apatah lagi dalam keadaan terdapatnya kesukaran bagi menyusun saf mengikut sebagaimana yang disunatkan disebabkan oleh ruangan yang sempit. Maka dalam hal ini kita diperintahkan untuk melaksanakan ibadah dan ketaatan (dalam keadaan terdapatnya kesukaran) sedaya termampu kita sebagaimana firman Allah SWT :

فَاتَّـقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.

(Surah al-Taghabun: 16)

Begitu juga riwayat daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Dan jika aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.

Riwayat al-Bukhari (7288) dan Muslim (1337)

Tambahan pula, syariat Islam bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Selain daripada itu, bagi situasi seperti di atas, kami berpendapat bahawa adalah lebih baik jika isteri sebagai makmum dapat berada di sebelah kanan imam (suaminya) ketika solat. Hal ini adalah sebagai mengikuti Nabi SAW yang sering kali mengutamakan dan mendahulukan bahagian kanan untuk sebahagian besar urusan seharian yang melibatkan kebaikan, dan solat termasuk di dalam perkara-perkara kebaikan. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ، فِي تَنَعُّلِهِ، وَتَرَجُّلِهِ، وَطُهُورِهِ، وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: “Nabi SAW suka mendahulukan sebelah kanan ketika memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam semua urusan pekerjaan Baginda.

Riwayat al-Bukhari (168)

Tajuddin al-Fakihani setelah mensyarahkan hadith di atas, beliau menyebutkan, ini adalah kaedah/prinsip yang berterusan dalam syariat; iaitu segala sesuatu yang termasuk dalam perkara yang dimuliakan dan diberi penghormatan seperti memakai pakaian, seluar dan kasut, masuk ke dalam masjid, menggunakan siwak, memakai sandal, memotong kuku, menggunting misai, menyikat rambut, mencabut bulu ketiak, mencukur kepala, memberi salam ketika dalam solat, membasuh anggota-anggota taharah (bersuci), keluar dari tandas, makan dan minum, berjabat tangan, istilam Hajarul Aswad, dan lain-lain yang memiliki makna serupa, adalah disunatkan untuk dimulakan dengan bahagian yang kanan.

Adapun hal-hal yang berlawanan dengannya, seperti masuk ke dalam tandas, keluar dari masjid, beristinja’, membuka atau melepaskan pakaian, seluar, dan kasut, dan seumpamanya, maka adalah disunatkan untuk dimulakan dengan tangan kiri. Semua ini adalah untuk menghormati dan memuliakan tangan kanan. (Lihat Riyadh al-Afham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 1/162).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

[1] Ini adalah bagi situasi semua orang termasuklah imam dan makmum dalam keadaan bertelanjang tanpa seurat pakaian pun. Adapun ketika waktu malam hari yang tidak dapat dilihat, atau jemaahnya itu semuanya buta, maka imam hendaklah berdiri di hadapan saf bagi mengimamkan solat mereka.

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445