#3453: Afdhal Bagi Wanita Berada Di Rumah

Soalan:

Assalamualaikum warahmatullah. Adakah lebih afdal untuk seorang wanita kekal di rumah sekiranya tiada keperluan untuknya keluar rumah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan  daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (715)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan seorang wanita adalah afdhal baginya menetap di rumah bahkan itu lah yang dituntut dalam syariat melainkan keluar atas sebab-sebab tertentu seperti keluar bekerja, menuntut ilmu atau mendapatkan apa-apa keperluan. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ ۖ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

(Surah al-Ahzab: 33)

Syeikh al-Sa‘di berkata dalam tafsirnya mengenai ayat ini: “Janganlah kaum wanita banyak keluar rumah dengan berhias dan berwangi-wangian sebagaimana orang jahiliyyah terdahulu, yang mereka tidak punya ilmu di sisi mereka dan tidak pula agama. Ini semua bertujuan mencegah keburukan dan sebab-sebab yang menjadi faktor keburukan.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, hlm. 663)

Begitu juga diharuskan bagi wanita keluar ke masjid untuk mengerjakan solat berjemaah. Namun, mendirikan solat di rumah adalah afdhal baginya. Diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمْ الْمَسَاجِدَ وَبُيُوتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ

Maksudnya: “Janganlah kamu melarang kaum wanita pergi ke masjid, akan tetapi sebenarnya solat di rumah-rumah mereka itu adalah lebih baik bagi mereka.

Riwayat Abu Daud (567)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa disunatkan bagi suami untuk mengizinkan isterinya bagi mendirikan solat secara berjemaah di masjid. Namun, jika dia tetap melarangnya, hukumnya tidaklah haram — yakni tidak berdosa — menurut pendapat mazhab Syafi‘i. Malah, al-Baihaqi menyatakan, ini adalah pendapat kebanyakan ulama. Adapun larangan atau tegahan yang terdapat dalam hadith di atas adalah bersifat makruh tanzih kerana tanggungjawab seorang isteri untuk sentiasa berada di dalam rumah adalah wajib, maka dia tidak boleh meninggalkan rumah semata-mata dengan tujuan untuk mencari atau mengejar kelebihan-kelebihan yang lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/199.)

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Ummi Humaid isteri kepada Abi Humaid al-Saidi bahawa beliau menemui Rasulullah SAW lalu berkata:

قد عَلِمْتُ أنَّكِ تُحِبِّينَ الصَّلاةَ مَعي، وصَلاتُكِ في بَيتِكِ خيرٌ لَكِ من صَلاتِكِ في حُجْرَتِكِ، وصَلاتُكِ في حُجْرَتِكِ خيرٌ من صَلاتِكِ في دارِك، وصَلاتُكِ في دارِكِ خيرٌ لَكِ من صَلاتِكِ في مسجدِ قَوْمِكِ، وصَلاتُكِ في مسجدِ قَوْمِكِ خيرٌ لَكِ من صَلاتِكِ في مسجدِي

Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku menyukai solat bersamamu!” Baginda bersabda: “Aku sudah tahu jika kamu suka solat denganku, namun solatmu di dalam bilik khusus untukmu lebih utama dari solat di rumahmu . Solatmu  di rumahmu lebih utama dari solatmu di halaman rumahmu. Solatmu di halam rumahmu lebih utama dari solat di masjid kaummu. Solat di masjid kaummu lebih utama dari solat di masjidku ini (Masjid Nabawi).”

Riwayat Ahmad (27090)

Justeru, hadith ini menunjukkan bahawa kaum wanita adalah afdhal baginya menetap di rumah walaupun dalam bab mengerjakan solat. Ini kerana wanita tidak seperti lelaki yang dituntut untuk keluar mencari nafkah dan keluar mendirikan solat berjemaah di masjid. Oleh yang demikian, kami katakan adalah afdhal bagi wanita untuk kekal berada di rumah kecuali jika ada keperluan khusus yang mewajibkan mereka untuk keluar. Hal ini kerana pada asasnya para wanita hendaklah berada di rumah menguruskan hal ehwal rumahtangga di samping menghindari dari timbulnya fitnah di luar sana.

Diriwayatkan  daripada Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah dengan dunia dan berhati-hatilah dengan (fitnah) wanita. Sesungguhnya fitnah terawal yang berlaku pada golongan Bani Israil adalah pada wanita.

Riwayat Muslim (2742)

Dalam isu ini Syeikh Ibn Baz menyatakan bahawa: Pada asalnya adalah bagi perempuan tinggal di dalam rumah, kerana ini adalah  lebih selamat dan utama, seperti firman Allah Taala: “Dan hendaklah kamu tetap di dalam rumah-rumahmu.” Ini kerana ia lebih menjauhkan wanita dari fitnah. Tetapi keluar dari rumah atas keperluan atau untuk berdakwah kepada Allah, memperoleh ilmu,  menjaga silaturrahim, menjenguk orang sakit, atau untuk memberi ucapan takziah kepada yang terkena musibah, semua ini adalah sah dan disyariatkan. Yang makruhnya adalah adalah keluar dari rumah tanpa keperluan. Jika keluar adalah untuk urusan yang dibenarkan oleh syara’, maka ini adalah perkara yang disyariatkan, dan adalah tanggungjawab ibu-bapa dan penjaga untuk membantu dalam kebaikan. (Lihat Fatawa Nur ‘ala Darb,18/337)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445