#3454: Nama Siti Hawa Jelita

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Nama anak saya Siti Hawa Jelita, tetapi ramai yang menyebut Siti Hawe Jelite. Soalan saya, adakah sebutan nama anak akan mengubah maksud nama anak? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam Islam, tatkala anak dilahirkan, ibu bapa hendaklah menamakan anaknya dengan nama yang baik dan bukannya nama yang buruk mahupun mengandungi unsur syirik.

Bahkan menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏ “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”

Riwayat Abu Daud (4948)

Hawa atau lebih tepat lagi Hawwa adalah nama yang baik kerana ia adalah nama kepada isteri Nabi Adam AS. Manakala, jelita bermaksud cantik, molek atau elok. Maka, nama Siti Hawa Jelita adalah nama yang baik.

Berkenaan dengan sebutan namanya pula, pada pendapat kami, ia tidak mengubah maksud nama anak puan kerana sedia maklum kepada semua maksud dan makna Hawa (isteri Nabi Adam AS) dan jelita (cantik, molek, elok) dengan sebutan Hawe Jelite (bukan sebutan baku).

Antara bahasa Melayu yang biasa digunakan oleh kita semua dengan meringkaskan nama sebagai contoh Fatimah menjadi Imah atau Faty, Ghazali dipanggil sebagai Li atau Zali dan inilah yang kadang-kadang yang boleh mengubah makna. Justeru, alangkah baiknya disebut dengan nama penuh sebagai doa.

Akhir kalam marilah sama-sama kita berdoa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445