#3458: Adakah Kaffarah Melanggar Sumpah yang Tidak Dilunaskan akan Dikenakan Gandaan?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah kaffarah bagi orang yang melanggar sumpah akan dikenakan gandaan seperti fidyah, apabila tidak dilunaskan selama bertahun-tahun?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kaffarah (الْكَفَّارَةُ) menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka  Edisi Keempat bererti penutup kesalahan, yakni dosa.

Dari segi istilah syara‘ pula, kaffarah bermaksud perbuatan yang boleh menghapuskan dosa sama ada memerdekakan hamba, bersedekah atau berpuasa dengan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/113). Begitu juga Sa‘di Abu Jaib mendefinisikan kaffarah sebagai perkara-perkara yang diampunkan seseorang yang berdosa itu dengannya seperti sedekah, puasa dan seumpamanya. (Lihat al-Qamus al-Fiqhi, hlm. 321)

Fidyah pula merujuk kepada sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.

Imam Badr al–Din al-Zarkasyi menyebutkan, fidyah itu berbeza dengan kaffarah dari sudut; kaffarah tidak diwajibkan melainkan atas dosa yang telah lepas, berlawanan dengan fidyah. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, 3/21) Dalam erti kata lain, kaffarah diwajibkan selepas seseorang itu belakukan dosa, manakala fidyah itu diwajibkan sebelum dia meninggalkan sesuatu kewajiban.

Kaffarah Melanggar Sumpah yang Tidak Dilunaskan akan Dikenakan Gandaan?

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, kaffarah melanggar sumpah atau kaffarah al-yamin (كَفَّارَةُ اليَمِين) disyari‘atkan berdasarkan firman Allah SWT:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka, bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana, yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah, peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agamanya) supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Ma’idah: 89)

Imam Fakhr al-Din al-Razi menyebutkan, ayat di atas menunjukkan bahawa yang wajib untuk kaffarah melanggar sumpah adalah memilih untuk melaksanakan salah satu dari 3 perkara tersebut:

  • Memberi makan 10 orang miskin.
  • Membekalkan pakaian kepada 10 orang miskin.
  • Membebaskan hamba.

Sekiranya tidak mampu untuk melaksanakan ketiga-tiga perkara tersebut, wajib ke atasnya satu perkara yang lain iaitu berpuasa. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 12/419)

Berkenaan gandaan dalam kaffarah melanggar sumpah pula, ia terkait rapat dengan  perbincangan para fuqaha’ mengenainya masalah sama ada kewajiban membayar kaffarah itu perlu ditunaikan secepat mungkin atau boleh untuk dilewatkan. Masalah ini terbahagi kepada 3 pandangan:

  1. Wajib Bayar Secepat Mungkin Secara Mutlak

Ini merupakan pandangan majoriti fuqaha’ daripada kalangan al-Hanabilah dan al-Malikiyyah. Hal ini kerana itulah hukum asal bagi sesuatu kata perintah, yakni agar ditunaikan serta merta atau secepat mungkin. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/14)

Imam Muhammad bin Abdullah al-Khurasyi al-Maliki menyebutkan, pada zahirnya wajib bayar kaffarah langgar sumpah secepat mungkin. (Lihat Syarh Mukhtasar al-Khalil, 3/58)

Imam ‘Ala’ al-Din al-Mardawi al-Hanbali pula berkata: “Imam Ahmad menyebutkan bahawa kewajiban kaffarah langgar sumpah dan nazar adalah secepat mungkin, dan inilah yang sahih menurut mazhab.” (Lihat al-Insaf, 11/44)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menyebutkan: “Kewajiban bagi manusia apabila dia melanggar sumpahnya adalah untuk segera melaksanakan kaffarahnya dan tidak boleh ditangguhkan, kerana dia tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Mungkin hari ini dia mampu untuk melaksanakan kaffarah, tetapi esok mungkin tidak, atau boleh jadi juga dia meninggal dunia pada keesokan harinya. Oleh itu, kewajiban bagi seseorang itu adalah segera melaksanakan kaffarah tanpa penangguhan.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 21/2)

  1. Boleh Dilewatkan Pembayaran Secara Mutlak

Ini merupakan pandangan Mazhab Hanafi, dan ia merupakan satu riwayat lain dalam Mazhab Imam Ahmad.

Imam ‘Ala’ al-Din al-Kasani al-Hanafi menyebutkan, apa jua kaffarah, kewajiban membayarnya boleh untuk dilewatkan. Inilah pandangan yang sahih menurut mazhab kami berkenaan kata perintah yang datang secara mutlak, yakni tidak terikat dengan waktu.

Dan yang dimaksudkan dengan kewajiban membayarnya boleh untuk dilewatkan, yakni wajib bayar pada bila-bila sahaja selama hidupnya tanpa ditentukan waktu tertentu. Akan tetapi kewajiban itu akan ditentukan waktunya jika diyakini bahawa dia sudah dekat dengan kematian (seperti sedang tenat dan nazak). (Lihat Bada’i‘ al-Sana’i‘, 5/96)

Ibn Nujaim al-Misri menyatakan bahawa, yang sahih adalah kewajiban membayar tersebut boleh untuk dilewatkan. (Lihat al-Bahr al-Ra’iq, 4/109)

  1. Boleh Dilewatkan Pembayaran Secara Bersyarat

Majoriti fuqaha’ al-Syafi‘iyyah pula berpandangan bahawa kewajiban membayar kaffarah langgar sumpah adalah boleh untuk dilewatkan, dengan syarat pelanggaran sumpah itu tidak dilakukan secara sengaja.

Pandangan Mazhab al-Syafi‘i yang membolehkan untuk dilewatkan bayaran kaffarah bukanlah secara mutlak. Ibn Hajar al-Haitami menukilkan kalam Imam al-Subki dari kitabnya al-Tatimmah, katanya: “Sekiranya pelanggaran sumpah itu maksiat (langgar dengan sengaja), maka jawabnya ya (wajib bayar secepat mungkin). Jika bukan maksiat (langgar sumpah tanpa sengaja), maka tidak perlu (bayar secepat mungkin).” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 10/18)

Imam al-Nawawi berkata: “Sekiranya kaffarah tersebut sekiranya ia dilanggar bukan kerana menentang (yakni tidak sengaja melakukan perkara yang mewajibkan kaffarah), seperti kaffarah kerana bunuh yang tidak disengajakan atau kaffarah melanggar sumpah, maka kewajiban tersebut boleh dilewatkan tanpa khilaf kerana ianya perkara yang dimaafkan.

Sekiranya ia dilanggar dengan sengaja, terdapat 2 pendapat, yang paling tepat adalah perlu dibayar secepat mungkin.” (Lihat Majmu‘, 3/70)

Antara natijah yang dapat diperolehi dari perbincangan di atas, perbezaan pandangan tentang bila diwajibkan membayar kaffarah ini kerana perbezaan mereka memahami kaedah al-Amr (الأَمْرُ) atau kata perintah, adakah ia bermaksud perkara yang diperintahkan itu perlu dilakukan secepat mungkin atau tidak. Imam Abu Ishaq al-Syirazi mengatakan bahawa masalah ini terbina di atas al-tikrar (التِكْرَارُ) atau pengulangan. Dalam erti kata lain, mereka melihat sekiranya perkara yang diperintahkan itu perlu dilakukan berkali-kali atau cukup sekadar dilakukan sekali sahaja.

Jika perkara yang diperintahkan itu perlu dilakukan berkali-kali, maka wajib dijalankan perintah tersebut secepat mungkin agar ia dapat dilakukan buat kali kedua, ketiga, dan seterusnya.

Jika perkara yang diperintahkan itu cukup sekadar dilakukan sekali sahaja, maka menurut al-Syirazi ia tidak wajib untuk dilakukan secepat mungkin dan boleh dilewatkan. (Lihat Bughyah al-Musytaq fi Syarh al-Luma‘, hlm. 82)

Sekiranya seseorang itu berpandangan bahawa kewajiban membayar kaffarah boleh dilewatkan, maka jelas sekali kaffarah tersebut tidak akan digandakan jika belum dilunaskan selama bertahun-tahun, dan orang itu tidak berdosa kerana perbuatannya.

Begitu juga bagi mereka yang berpandangan bahawa kewajiban membayar kaffarah perlu dilunaskan secepat mungkin, kaffarah tersebut juga tidak akan digandakan jika belum dilunaskan selama bertahun-tahun, tetapi dia dikira telah melakukan dosa kerana sengaja melewatkan.

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata: “Wajib ke atasnya (orang yang menangguh pembayaran kaffarah) untuk menunaikan kaffarah tersebut, meskipun telah berlalu satu tempoh yang panjang. Akan tetapi dia dikira berdosa kerana melewatkan sekiranya tanpa sebarang keuzuran.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 21/2)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, mereka yang tidak melunaskan kaffarah selepas bertahun-tahun tidak akan dikenakan gandaan seperti fidyah menurut para ulama’ silam. Akan tetapi, mereka berbeza pada waktu kaffarah tersebut wajib ditunaikan.

Jika ianya boleh dilewatkan, maka orang yang sengaja melambatkan pembayaran kaffarah itu tidak berdosa. Jika ianya perlu diselesaikan secepat mungkin, maka orang yang sengaja melewatkan akan dikira berdosa.

Kami menasihatkan agar mereka yang diwajibkan ke atasnya untuk membayar kaffarah agar tidak melewat-lewatkannya dengan sengaja. Sebaiknya, berusahalah sebaik mungkin untuk melunaskannya mengikut kemampuan diri. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Kita sepatutnya mengucapkan rasa syukur yang teramat kepada Allah SWT kerana masih memberikan keringanan bagi mereka yang mungkin tidak berkemampuan untuk melunaskan bayaran kaffarah, dengan hanya wajib berpuasa selama 3 hari. Semoga kita dapat menunaikan segala tanggungjawab, amanah, serta janji yang telah kita meterai. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الخِيَانَةِ، فَإِنَّهَا بِئْسَتِ البِطَانَةُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kami berlindung dengan-Mu daripada berbuat khianat (tidak menunaikan amanah), sesungguhnya ia merupakan seburuk-buruk peribadi seseorang.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445