#3461: Menyentuh Bulu Kucing dengan Tangan yang Basah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada bela kucing. Lepas saya basuh tangan, saya ternampak bulu kucing yang tertanggal pada seluar saya. Saya pegang dan buang dengan tangan yang basah.  Adakah tangan saya yang basah itu jadi najis? Wajib ke saya cuci tangan saya dan seluar saya yang terkena basahan bulu kucing yang tertanggal itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum asal setiap haiwan itu adalah suci (yakni bukan najis) melainkan ada nas yang menunjukkan sebaliknya seperti kenajisan babi, anjing atau seumpamanya. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa setiap haiwan (yang hidup) itu adalah suci melainkan apa yang dikecualikan oleh syarak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/226). Justeru, kucing termasuk dalam haiwan yang suci dan bangkainya pula tergolong dalam kategori najis sederhana.

Selain itu, kucing dianggap sebagai haiwan yang suci (bukan najis) kerana ia selalu berkeliaran di sekeliling manusia. Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik ada melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.”  Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68); Ibn Majah (367)

Maka, kita ketahui bahawa di sana ada kelonggaran dan hukum khas yang diberikan kepada kucing kerana ia termasuk dalam haiwan yang biasanya berkeliaran di tempat tinggal manusia atau dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Al-San‘ani menyebutkan dalam kitabnya bahawa Allah SWT telah memberi keringanan kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan kepada manusia, dan hadith ini merupakan dalil bahawa kucing itu adalah suci, begitu juga bekas minumannya (air yang telah diminum). (Lihat Subul al-Salam, 1/33).

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2910: Adakah Kucing Najis?[1]

#3 Bulu Kucing yang Tertanggal[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan secara asasnya menurut mazhab Syafi‘i, bulu kucing yang tercabut semasa ia masih hidup dianggap sebagai najis kerana kucing termasuk dalam kategori haiwan yang tidak halal dimakan. Walaupun begitu, ia adalah dimaafkan jika sedikit. Begitu juga dimaafkan bagi mereka yang bekerja sebagai doktor haiwan, penjaga zoo dan lain-lain kerjaya yang tidak dapat mengelakkan diri daripada kucing — termasuklah mereka yang memeliharanya. Hal ini dinyatakan oleh Syeikh Ibrahim al-Bajuri sebagaimana berikut:

وَخَرَجَ بِالـمَأْكُولِ غَيْرُهُ كَالحِمَارِ وَالـهِرَّةِ فَشَعْرُهُ نَجِسٌ لَكِن يُعْفَى عَن قَلِيلِهِ بل وعَن كَثِيرِهِ فِي حَقٍّ مَن ابتلى به كالقصاصين

Maksudnya:Dikecualikan dengan hukum haiwan yang halal dimakan (halal bulunya) iaitu selainnya seperti keldai dan kucing. Maka bulunya adalah najis namun dimaafkan jika sedikit. Bahkan (turut dimaafkan) dalam jumlah banyak (bulunya) bagi individu yang ada kesulitan dengannya seperti pemotong bulu.” (Lihat Hasyiyah al-Baijuri ‘ala Ibn Qasim al-Ghazi, 2/290).

Oleh itu, dalam isu ini bulu kucing tersebut termasuk dalam kategori najis yang dimaafkan jika sedikit. Maka, memadai dengan membasuh tangan dan menghilangkan bulu kucing di seluar saudari. Kami juga menasihati agar dipastikan pakaian itu benar-benar bersih daripada bulu kucing sebelum menunaikan solat. Adapun sekiranya kucing datang menggeselkan badannya ketika kita sedang solat dan meninggalkan bulunya, ia dimaafkan mengikut pandangan sebahagian ulama’ Syafi‘iyyah kerana tidak dapat dielakkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

Surah al-Kahfi (10)

[1] https://maktabahalbakri.com/2910-adakah-kucing-najis/

[2] https://maktabahalbakri.com/bulu-kucing-yang-tertanggal/

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445