#3465: Membatalkan Habuan Yang Dijanjikan Kerana Tidak Mencapai Apa Yang Dikehendaki

Soalan:

Assalamualaikum Dato’, saya pernah berjanji untuk memberikan habuan/hadiah kepada pembantu rumah saya sekiranya beliau menjaga keperluan seperti makan & minum burung peliharaan saya ketika saya menetap di asrama. Beliau telah menjaganya dengan baik. Namun, suatu ketika kemudiannya, burung saya hilang terbang keluar rumah semasa di dalam pemerhatian pembantu rumah saya, dan tidak dapat dijejaki hingga ke hari ini. Perkara itu menyebabkan saya tidak jadi untuk memberi habuan yang dijanjikan. Apakah betul keputusan yang saya buat Dato’? Atau saya sudah dikira memungkiri janji? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Ini adalah perintah dari Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beriman agar memenuhi perjanjian, iaitu menyempurnakan akad perjanjian yang dilakukan dan  tidak melanggar atau mengurangkan hak-hak yang telah disepakati. Ini merangkumi perjanjian antara hamba dan Tuhannya, yang melibatkan ketaatan kepada-Nya dan melaksanakan hak-hakNya tanpa menguranginya. Ini juga melibatkan perjanjian antara umat dengan Rasulnya iaitu dengan mengikuti dan mentaatinya. Selain itu juga ia termasuk dalam  perjanjian antara seseorang dengan ibu bapa dan saudara-mara mereka iaitu dengan berbuat baik kepada mereka dan menjaga hubungan keluarga. Ini juga melibatkan perjanjian antara seseorang dengan teman-temannya dengan melaksanakan hak-hak persahabatan baik yang kaya mahupun miskin, yang senang mahupun susah. Begitu juga ia mencakupi perjanjian dalam urusan muamalat seperti jual beli, sewa dan seumpamanya, serta perjanjian derma seperti hadiah dan sebagainya. Bahkan, ini juga termasuk kewajipan untuk memenuhi hak-hak sesama Muslim yang telah diatur oleh Allah di antara mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.218)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”

(Surah al-Isra’: 34)

Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa janji adalah kehormatan dan persetujuan, dan kontrak adalah kewajiban dan keterikatan. Menyalahi janji adalah satu sifat khianat dan munafiq, meleraikan perjanjian yang telah dibuat merupakan sikap yang boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan. Maka wajib untuk menepati janji berdasarkan syara‘. Sesiapa yang menyalahi dan tidak menepati janji yang telah dilakukan, dia telah melakukan maksiat dan dosa. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/73)

Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap janji-janji yang dibuat antara manusia dan kontrak-kontrak yang disepakati antara mereka akan dipersoalkan tentangnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/68)

Diriwayatkan daripada  Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ، ولاَ دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

Maksudnya: Tidaklah sempurna iman seseorang bagi sesiapa yang tidak beramanah dan tidak sempurnalah agama seseorang bagi sesiapa yang tidak menunaikan janjinya

Riwayat Ahmad (13199) dan al-Bazzar (7196)

Al-Imam al-Zahabi dalam al-Kaba’ir berkata: “Khianat merupakan perkara yang amat buruk dalam semua keadaan dan sebahagian daripadanya lebih teruk daripada yang lain. (Lihat al-Kaba’ir,hlm. 149)

Menjawab persoalan di atas, kami ingin nyatakan bahawa sekiranya dalam akad yang dilakukan itu ada menyebut kadar tertentu yang dipersetujui bersama yang perlu dibayar oleh pemilik atau pemberi sagu hati maka akad tersebut lebih kepada akad jua’lah iaitu mewajibkan gantian yang diketahui untuk kerja tertentu. Namun sekiranya tidak menyebut kadar yang perlu dibayar maka akad ju’alah tersebut dikira  tidak sah. Ini kerana sagu hati merupakan salah satu rukun dalam akad ju’alah dan hendaklah disebut kadar yang tertentu dalam akad tersebut.

Telah dinyatakan dalam Fiqh al-Manhaji bahawa, bayaran sagu hati iaitu bayaran yang wajib dibayar oleh pemilik kerja kepada pekerja. Bayaran ini disyaratkan mestilah berupa kadar yang dimaklumi kerana ia dikategorikan sebagai kontrak pertukaran. Pembayaran yang tidak ditetapkan kadarnya tidak dibenarkan dalam kontrak ini. Jika kadar bayaran sagu hati tidak ditetapkan, kontrak tersebut adalah tidak sah. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 6/163)

Justeru dalam isu ini  kami melihat ia lebih kepada pemberian  hadiah. Kami berpendapat bahawa janji tersebut tidak perlu dipenuhi kerana situasi tidak memungkinkan untuk melaksanakannya seperti yang asalnya diinginkan. Yang demikian disebabkan burung peliharaan tersebut telah hilang. Hal ini bersesuaian dengan kaedah fiqh yang menyebut:

مَقَاطِعُ الْحُقُوقِ عِنْدَ الشُّرُوطِ

Maksudnya: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan. (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 3/90)

Oleh itu, sebagai  ihsan dan tanda penghargaan, adalah lebih baik untuk memberikan ganjaran kecil kepada pembantu tersebut yang telah menjaga burung tersebut sepanjang tempoh yang sempat dijaganya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445