#3471: Perpindahan Najis Melalui Sentuhan daripada Seseorang kepada Orang Lain

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada pergi ke klinik haiwan untuk rawatan luka burung peliharaan saya. Semasa di klinik, saya melihat doktor telah memegang seekor anjing yang saya tidak pasti dalam keadaan kering atau basah. Tiba giliran burung saya pula dirawat oleh doktor yang sama yang dalam pengamatan saya, pada awalnya tangan doktor tersebut berada dalam keadaan kering. Namun, saya melihat spray yang beliau gunakan kepada burung saya, seakan-akan spray yang sama beliau pegang semasa bersama anjing tersebut. Perlukah saya sertu diri saya dan burung saya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan di atas, suka untuk kami kembali menyebutkan bahawa anjing termasuk dalam kategori najis mughallazah (najis berat). Sesiapa yang menyentuhnya dengan sengaja atau tidak sengaja, maka dia perlu membersihkannya dengan 7 kali basuhan, dan basuhan yang pertama daripada 7 itu perlu dicampur dengan tanah.

Ini sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.”

Riwayat al-Bukhari (172) dan Muslim (279)

Imam al-Nawawi menyebutkan, tidak ada perbezaan di sisi kami — yakni ulama mazhab Syafi‘i — antara jilatan anjing dengan selainnya yang terdiri daripada anggota-anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota daripada anggota badannya yang bersih ketika dalam keadaan basah (atau lembap) salah satunya, maka wajib membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satu daripada basuhan itu dengan tanah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/185)

Berdasarkan dalil di atas, dapat difahami bahawa seseorang hanya wajib sertu apabila menyentuh anjing dalam keadaan salah satu (yang menyentuh dan yang disentuh) atau kedua-duanya basah sahaja. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebut:

النَّجِسُ إذَا لَاقَى شَيْئًا طَاهِرًا، وَهُمَا جَافَّانِ، لَا يُنَجِّسُهُ

Maksudnya: “Najis yang bersentuhan dengan sesuatu yang suci, dalam keadaan kedua-duanya kering, ia (najis) tidak menyebabkan sesuatu itu menjadi najis” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 432)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, masalah yang dinyatakan adalah perpindahan najis melalui sentuhan daripada seseorang kepada orang lain.

Kami katakan, najis itu tidak dikira telah berpindah melainkan jika diyakini atau kuat sangkaannya bahawa doktor tersebut menyentuh anjing tersebut dalam keadaan tangan yang basah. Maka tidak perlu sertu tangan atau badan burung yang disentuh itu.

Adapun, jika yakin atau mempunyai sangkaan yang kuat bahawa salah satu daripada doktor atau anjing tersebut basah, dengan melihat sendiri di hadapan mata bahawa doktor tersebut tidak membersihkan terlebih dahulu tangan yang menyentuh anjing tersebut, maka ketika ini perlu sertu.

Imam al-Qarafi menyebutkan satu kaedah:

الْأَصْلُ أَلَّا يُعْتَبَرَ فِي الشَّرْعِ إِلَّا الْعِلْمُ

Maksudnya: “Hukum asal adalah tidak dikira sesuatu itu menurut syara‘ melainkan dengan ilmu pengetahuan.”

Ini berbetulan dengan firman Allah SWT:

 وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.”

(Surah al-Isra’: 36)

Lalu Imam al-Qarafi menyebut lagi bahawa, pada kebanyakan waktu itu agak sukar untuk mengetahui sesuatu secara yakin, maka syara‘ membenarkan untuk mengikut sangkaan yang kuat kerana kebiasaannya ianya benar berlaku. Adapun syak wasangka, ia kekal mengikut hukum asal sesuatu itu. Maka semua yang hanya atas syak sahaja tidak dikira, dan wajib mengikut hukum asal yang sebelumnya (jika hukum asal suci, kekal suci dan tidak berubah menjadi najis). (Lihat al-Zakhirah, 1/218)

Sekiranya hanya syak dan was-was sahaja, maka najis itu dikira tidak berpindah dengan sentuhan tersebut. Ini diqiaskan dengan riwayat Abdullah bin Zaid R.A, ketika mana seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW tentang dirinya yang diganggu khayalan bahawa ada sesuatu (yakni, hadas seperti kentut) di dalam solatnya. Maka jawab Baginda SAW menjawab:

لاَ يَنْفَتِلْ – أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ – حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

Maksudnya: “Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (daripada solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau.”

Riwayat al-Bukhari (137) dan Muslim (361)

Imam al-Nawawi berkata, hadith ini merupakan salah satu kaedah asas dalam Islam, dan ia merupakan kaedah yang agung dalam kaedah-kaedah fiqh. Maksud kaedah ini, setiap perkara itu hukumnya kekal mengikut asal sehinggalah diyakini bahawa ia telah berubah. Dan syak wasangka yang mendatang tidak memberikan sebarang kesan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/49)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan, jika ada syak wasangka, maka hukum asal bagi sesuatu itu adalah suci, dan langkah berhati-hati yang diambil hanya kerana syak tersebut dinamakan sebagai was-was. Maka, jika seseorang lelaki itu ditimpa sesuatu yang boleh jadi ianya suci atau boleh jadi ianya najis, tidak harus baginya untuk menjauhi perkara tersebut dan mengambil langkah berhati-hati berdasarkan pendapat yang sahih.

Sedangkan telah datang sebuah athar Saidina ‘Umar bin al-Khattab R.A ketika dia sedang berjalan dengan seorang sahabatnya di satu saliran air (di suatu kawasan). Lalu terpercik sedikit air dari saliran tersebut pada sahabat Saidina ‘Umar, maka dia pun bertanya: “Wahai pemilik saliran (orang kawasan tersebut)! Air kamu ini suci atau najis?”. ‘Umar pun berkata:

يَا صَاحِبَ المِيزَابِ، لَا تُخْبِرْهُ، فَإِنَّ هَذَا لَيْسَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Wahai pemilik saliran, jangan kamu beritahu dia. Sesungguhnya ini tidak ada apa-apa atas sahabatku.”

Dan para imam-imam mazhab seperti Imam Ahmad dan selainnya telah menyebutkan, sekiranya ada air atau seumpamanya yang terkena pada seseorang, sedangkan tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa ianya bernajis, maka tidak perlu bertanya tentangnya. Bahkan makruh hukumnya. (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 1/225)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan di atas, sesuatu yang asalnya suci tidak dikira telah berpindah padanya najis melainkan seseorang itu yakin atau mempunyai sangkaan yang kuat bahawa memang ada najis yang terkena pada sesuatu yang suci itu. Ketika itu, dia wajib menyucikan najis tersebut berdasarkan ketetapan yang telah disebutkan oleh syara‘. Jika najis tersebut najis mughallazah, maka perlu dibasuh dengan 1 kali air tanah dan 6 kali air biasa.

Dan sekiranya hanya timbul syak wasangka sahaja, maka tidak dikira telah berpindah pada sesuatu yang asalnya suci, dan tidak perlu membersihkan tempat tersebut. Ini bertepatan dengan kaedah yang dimasyhurkan:

نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّوَاهِرِ وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kami hanya  menetapkan hukum berdasar yang zahir dan Allah yang menangani perkara yang tersembunyi.” (Lihat Talkhis al-Habir fi Ahadith al-Rafi‘i al-Kabir, 4/192)

Oleh yang demikian, jika saudara yang bertanya yakin atau kuat sangkaan bahawa tangan doktor tersebut basah ketika memegang anjing tersebut, kemudian memegang pula burung peliharaan saudara, maka bersihkanlah burung tersebut. Jika sekadar bersangka-sangka sahaja, tidak perlu bertanya kepada doktor tersebut supaya tidak menjadi beban kepada saudara kemudiannya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 101)

Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan kita info baharu dan kefahaman yang baik tentang hukum-hakam syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ انْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَعَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا إِلَى عِلْمِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah kami manfaat dari apa-apa yang kami pelajari, dan ajarkanlah apa yang bermanfaat untuk kami, dan tambahkanlah ilmu kepada pengetahuan kami.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445