Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah kita berdoa untuk memasuki syurga Allah SWT dan menjauhkan kita daripada neraka?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Boleh untuk kita berdoa seperti yang dinyatakan di atas. Sesungguhnya, nas al-Quran al-karim dan hadith Rasulullah SAW banyak menunjukkan agar kita berdoa untuk menuju ke syurga Allah SWT dan menjarakkan dari neraka Allah SWT.
Antara perkara penting jika berdoa adalah dengan meminta keampunan dari Allah SWT dan apa yang berkaitan dengannya seperti memohon diselamatkan dari azab api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Rasulullah SAW pernah menanyakan seorang lelaki
apakah yang dibacanya di dalam solat? Jawab lelaki tersebut:
أَتَشَهَّدُ وَأَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ. أَمَا إِنِّي لاَ أُحْسِنُ دَنْدَنَتَكَ وَلاَ دَنْدَنَةَ مُعَاذٍ. فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: حَوْلَهَا نُدَنْدِنُ
Maksudnya: “Aku bertasyahhud kemudian aku katakan, “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon syurga-Mu dan aku berlindung dari neraka-Mu.” Adapun aku, tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang kamu ucapkan dan apa yang Mu’az ucapkan. Maka jawab Nabi SAW: “Kami pun mengucapkan apa yang kamu katakan (memohon syurga Allah dan berlindung dari neraka Allah).”
Riwayat Abu Daud (792)
Antara doa yang Rasulullah SAW ajarkan kepada kita:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ،وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَأَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لِي خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang aku ketahui mahupun tidak aku ketahui. Aku berlindung kepada-Mu dari semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, yang aku ketahui mahupun yang tidak aku ketahui. Ya Allah, sungguh aku memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan aku berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan aku berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan aku memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untukku.”
Riwayat Ibn Majah (3846), Ahmad (25180), al-Tabarani (2/252) dan Ibn Hibban (458)
Doa ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha, di mana beliau berkata bahawa Rasulullah SAW mengajarkan kepada beliau doa ini.
Imam al-Munawi dalam menjelaskan hadith tersebut, telah menukilkan bahawa al-Hulaimi berkata: “Ini termasuk kata-kata yang ringkas dan padat, di mana Syari’ menganjurkan untuk berdoa dengannya. Ini kerana ketika dia berdoa dengannya, maka dia telah memohon kepada Allah semua kebaikan dan dia berlindung kepada-Nya daripada segala kejahatan.” (Lihat Faidh al-Qadir, 2/162)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”
Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445