Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW pernah mendoakan kepada sahabatnya agar dimurahkan rezeki, harta, anak-anak dan diberkati?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Benar. Doa ini berdasarkan hadith yang antaranya diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik R.A bahawa Nabi SAW pernah datang menemui Ummu Sulaim (ibu Anas). Ketika itu, Ummu Sulaim mengatakan bahawa Anas (anaknya) sedia untuk menjadi pembantu Nabi SAW. Lalu Baginda mendoakan Anas dalam urusan akhirat dan dunianya. Antara doa Baginda kepada Anas ialah:
اللَّهُمَّ ارْزُقْهُ مَالًا، وَوَلَدًا، وَبَارِكْ لَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, tambahkanlah rezeki padanya berupa harta dan anak serta berkatilah dia dengan nikmat tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (1982) dan Muslim (660)
Dalam riwayat lain, disebut bahawa Nabi SAW mendoakan Anas dengan doa:
اللَّهُمَّ أَكْثِرْ مَالَهُ وَوَلَدَهُ ، وَبَارِكْ لَهُ فِيمَا أَعْطَيْتَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, perbanyakkanlah harta dan anaknya, serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (6334) dan Muslim (2480)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Hadith tersebut menunjukkan bolehnya berdoa meminta banyak harta dan banyak anak kepada Allah. Dan hal ini sama sekali tidak menafikan kebaikan akhirat.” (Lihat Fath al-Bari, 4/229)
Imam al-Nawawi berkata: Terdapat beberapa pelajaran yang dapat dipetik daripada hadith ini. Antaranya:
- Kemestian terkabulnya doa Rasulullah SAW. Hal ini merupakan tanda kenabian Baginda, di mana pada akhirnya Anas R.A seorang yang kaya harta dan banyak anak cucu serta memperoleh keberkatan.
- Keistimewaan-keistimewaan yang dimiliki oleh Anas bin Malik R.A seperti usia panjang, dimuliakan oleh pemerintah Umawi.
- Dalil yang menguatkan pendapat sebahagian kalangan yang lebih mengutamakan orang yang kaya daripada orang yang fakir. Manakala pihak yang lebih mengutamakan fakir menjawab dalil ini bahawa Anas tidak hanya didoakan menjadi kaya, tetapi disertakan doa memperoleh keberkatan dalam kekayaannya. Dengan itu, apabila kekayaan itu disertakan dengan keberkatan, maka ia tidak dikhuatiri akan menjadi bencana, fitnah, menjadikan seseorang sombong dan terkena penyakit harta yang lain, yang biasanya terjadi kepada orang-orang kaya.
- Panduan tatacara berdoa yang baik daripada Rasulullah SAW di mana jika berdoa untuk urusan yang berunsurkan duniawi, maka hendaklah menggandingkannya dengan doa keberkatan di dalamnnya. Sehingga akhirnya, Anas dan anak-anaknya menjadi orang-orang terbaik dan individu-individu yang berguna kerana memperoleh doa keberkatan daripada Rasulullah SAW. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 11/404)
Manakala lafaz terakhir berkenaan doa panjang umur adalah menurut riwayat Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Adab al-Mufrad, daripada Anas, katanya: “Nabi SAW pernah masuk menemui keluarga kami dan Baginda mendoakan kami.” (Ketika itu), Ummu Sulaim (ibunya) berkata: “Ini (Anas), pembantu kecilmu. Doakanlah kepada Allah untuknya.” Kemudian Rasulullah SAW berdoa:
اللَّهُمَّ أَكْثِرْ مَالَهُ وَوَلَدَهُ، وَأَطِلْ حَيَاتَهُ، وَاغْفِرْ لَهُ.
Maksudnya: “Ya Allah, banyakkanlah harta dan anaknya. Panjangkanlah umurnya dan ampunilah dia.”
Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (653), Ibn Sa’ad dalam al-Tabaqat al-Kubra (8451) dan Abu Ya’la (4236).
Hal ini juga sejajar dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abi Bakrah RA, katanya: Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang terbaik?” Rasulullah SAW menjawab:
مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang panjang usianya dan baik amalannya.”
Riwayat al-Tirmizi (2330). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أكْثِرْ مَالِي، وَوَلَدِي، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أعْطَيْتَنِي، وَأطِلْ حَيَاتِي عَلَى طَاعَتِكَ، وَأحْسِنْ عَمَلِي، وَاغْفِرْ لِي
Maksudnya: “Ya Allah, perbanyaklah harta dan anakku serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan padaku. Panjangkanlah umurku dalam ketaatan pada-Mu dan baikkanlah amalku serta ampunilah dosa-dosaku.”
Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445