#3479: Percikan Air Basuhan ketika Membasuh Tangan dari Najis

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Ketika membasuh tangan di sinki, saya perasan air selalu terpercik balik ke muka saya, anggota badan lain atau pakaian saya. Saya selalu bimbang jika saya membasuh tangan kerana tersentuh najis, jadi air yang terpercik itu, merupakan air yang bernajis (tidak suci) juga. Jadi saya kerap membasuh balik tempat yang terkena air percikan itu. Tolong berikan pencerahan sama ada air percikan daripada membasuh tangan yang bernajis itu, tidak suci atau ia merupakan air mustakmal atau selain daripada itu? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, berkenaan sisa air basuhan. Secara umumnya, ia ditentukan berdasarkan perubahan sifatnya. Sekiranya sisa air berubah pada rasa, warna dan bau, ia dianggap sebagai mutanajjis dan tidak boleh digunakan lagi. Akan tetapi jika didapati tiada sebarang perubahan, ia masih dianggap sebagai bersih dan telah menjadi air musta‘mal.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, ulama Malikiyyah menyatakan bahawa air sisa basuhan yang tidak berubah (dari segi rasa, warna atau bau) adalah dihukumkan sebagai tahir (الطَّاهِرُ).[1] Al-Dardir menyebutkan, sekiranya dibasuh titisan air kencing misalnya pada badan atau pakaian lalu air itu mengalir ke bahagian lain dalam keadaan tidak berubah dan tidak berpisah daripadanya, maka air itu adalah tahir.

Manakala di sisi ulama Syafi‘iyyah pula, air sisa basuhan yang tidak berubah (dari segi rasa, warna atau bau), jika ia adalah dua qullah, maka ia adalah suci. Jika ia kurang dari dua qullah, maka terdapat tiga pendapat dalam kalangan al-Syafi‘iyyah dan pendapat yang azhar (kuat) ialah hukumnya adalah mengikut hukum tempat yang dibasuh selepas dibasuh. Jika tempat basuhan masih lagi bernajis selepasnya, maka air sisa basuhan juga adalah najis. Sekiranya tidak, maka ia adalah suci (pada dirinya) tetapi tidak menyucikan (yang lain). Ini adalah mazhab al-Syafi‘i al-Jadid. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/100-101).

Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menyebutkan, mengikut pendapat yang azhar, dihukumkan sebagai bersih air sisa basuhan sedikit yang terpisah daripada (pakaian/tempat yang dibasuh) jika tiada perubahan padanya dan tempat yang dibasuh telah bersih. Ini kerana sisa-sisa lembapan tempat yang dibasuh adalah sebahagian sisa air yang terpisah. Jika sisa air yang terpisah itu bernajis pasti tempat yang dibasuh itu demikian juga keadaannya (yakni masih bernajis). Oleh itu, sisa basuhan tersebut adalah bersih (tahir) tetapi tidak lagi membersihkan (untuk kegunaan seterusnya) kerana telah digunakan bagi menghilangkan kotoran (khabath). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/242).

Begitu juga al-Dimyati turut menyatakan dengan menyimpulkan bahawa apabila air mendatangi pada tempat yang bernajis dan ia belum berpisah/bercerai daripadanya maka air itu kekal dihukumkan sebagai suci lagi menyucikan. Namun, jika air itu terpisah/bercerai daripadanya dan tidak mengalami perubahan (dari segi bau, warna atau rasa) dan begitu juga tidak bertambah beratnya selepas menghilangkan najis dari tempat yang dibasuh dan tempat itu menjadi suci (bersih), maka air sisa itu kekal suci (tahir) tetapi tidak lagi menyucikan. (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/43).

Bahkan Dr. Wahbah al-Zuhaili juga ketika menjelaskan mengenai air tahir (الطَّاهِرُ) atau musta‘mal turut menyatakan bahawa ia dianggap sedemikian kerana jumlahnya sedikit, dan tidak ada perubahan pada sifat-sifatnya dengan najis dan tidak ada najis yang mengenainya. Akan tetapi, air tersebut telah digunakan dalam kewajipan bersuci atau sunat bersuci seperti berkumur-kumur, memperbaharui wuduk, mandi sunat, atau menghilangkan najis. Jika air tidak mengalami perubahan atau penambahan berat, maka ia tetap dianggap tahir (الطَّاهِرُ). Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Allah SWT telah menciptakan air yang suci lagi menyucikan (air tahur), tidak ada yang menjadikannya najis kecuali yang mengubah rasanya, baunya atau warnanya.” (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/81).

Keduanya, perlu diingat bahawa dalam hal ini, syaitan boleh mencampakkan perasaan waswas dalam diri seseorang sehingga dia menjadi berlebihan dalam soal menjaga/membersihkan sehingga melampaui batas dan menyalahi syarak. Oleh itu, tidak sepatutnya seseorang itu timbul rasa syak atau ragu terhadap percikan air semasa menunaikan hajat (qadha’ hajat), melainkan dia benar-benar yakin dan pasti bahawa ada najis bersama percikan air tersebut. Hal itu dapat dikenal pasti atau diketahui melalui perubahan warna air atau bau yang terhasil disebabkan oleh najis tersebut. Ketika dalam situasi itu, barulah seseorang itu mesti membersihkan bahagian badan atau pakaiannya yang terkenanya.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, pada asalnya berkenaan dengan air, ia pada dirinya sendiri adalah tahur (suci lagi menyucikan). Akan tetapi apabila ia bercampur dengan najis dan najis itu pula kelihatan jelas padanya, maka menggunakannya dianggap sebagai menggunakan najis itu. Sesungguhnya yang dilarang adalah menggunakannya apabila najis telah bercampur dengannya, bukan kerana air itu sendiri menjadi najis. Jika tidak ada tanda yang jelas bahawa najis telah bercampur dengannya, maka timbulnya keraguan (anggapan) dan kemungkinan atau kebarangkalian pada air tersebut, dalam keadaan ia baik dan tidak ada perubahan (dari segi bau, rasa atau warna) padanya, termasuk dalam bab (perkara) meletakkan diri melalui kesusahan yang tidak perlu, yang telah dinyatakan oleh Allah sebagai tidak sesuai dalam syariat kita, dan ia adalah sekatan/batasan yang Allah SWT telah menyelamatkan kita daripadanya.

Sesungguhnya telah sabit bahawa Umar bin al-Khattab R.A berwuduk menggunakan air dari bejana seorang Nasrani, sekalipun adanya kemungkinan terhadap air itu (dari segi kesuciannya). Umar bin al-Khattab R.A dan seorang sahabatnya telah melalui satu terusan/pancur air (mizab), lalu sahabatnya itu bertanya kepada pemiliknya: “Wahai pemilik terusan/pancur air, air kamu suci atau najis?” Lantas Umar berkata: “Wahai pemilik terusan/pancur air, janganlah kamu memberitahunya, kerana dia tidak perlu tahu.”

Imam Ahmad dan ulama lainnya menyatakan, dalam isu ini, bahawa jika air jatuh ke atas seseorang dari terusan/pancur air dan seumpamanya, dan tiada tanda yang menunjukkan bahawa ia bernajis, maka dia tidak perlu bertanya tentangnya. Bahkan, berbuat demikian adalah makruh. (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 1/225-226).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa air yang terpercik ketika membasuh tangan daripada najis atau seumpamanya adalah suci selagi mana tidak ada perubahan pada sifat-sifatnya dengan najis dari segi bau, rasa atau warna, serta ia dianggap sebagai air musta‘mal. Selain itu, dalam hal ini juga cukuplah bagi kita untuk mengambil hukum zahir berdasarkan apa yang berlaku. Kaedah mengatakan:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).

Justeru, selagi mana tidak jelas atau terzahir tanda-tanda kenajisan percikan air itu (dari segi perubahannya pada bau, rasa atau warna) maka ia kekal sebagaimana hukum asalnya, iaitu suci. Kaedah menyebutkan:

الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya:Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).

Tambahan lagi, keadaan seperti ini juga (iaitu percikan air ketika membasuh) termasuk dalam ‘umum al-balwa.[2] Sementelahan, untuk mengawalnya adalah sangat susah. Pada masa yang sama, kita tidak mahu perkara ini membawa kepada timbulnya syak atau ragu-ragu sehingga menyusahkan ramai orang. Hal ini bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Air tahir atau dipanggil juga sebagai musta‘mal ialah air yang suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan yang lain. Jumlahnya sedikit, kerana tidak ada perubahan pada sifat-sifatnya dengan najis dan tidak ada najis yang mengenainya. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/81)

[2] Iaitu sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku serta sukar dielakkan.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445