#3481: Siapakah Urwah bin Mas’ud al-Thaqafi?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kami ada mendengar Dato’ menyebut nama beliau di dalam ceramah baru-bari ini. Boleh terangkan sirah kehidupannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perundingan Urwah dan Nabi Muhammad SAW dalam Perjanjian Hudaibiyah

Ketika dalam perjalanan melaksanakan ibadah umrah dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah, Urwah bin Mas’ud al-Thaqafi telah dihantar oleh pihak Quraisy sebagai utusan untuk berunding dengan rombongan Rasulullah SAW.

Urwah bin Mas’ud berasal dari Taif dan beliau telah dilantik sebagai utusan kaum kafir Quraish untuk mencegah rombongan Rasulullah SAW dari melaksanakan ibadah umrah dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah.

Ketika Rasulullah SAW memerintahkan rombongannya untuk beristirahat di Tsaniyyatul Marar, datanglah Urwah bin Mas’ud lalu duduk di hadapan baginda dan berkata, “Ya Muhammad, kamu mengumpulkan semua suku sebagai umatmu. Kamu datang kepada suku Quraisy untuk menakut-nakutkan mereka. Suku yang banyak menakutkan pemimpin yang gagah berani. Mereka bersumpah atas nama Allah, agar tidak sejengkal pun yang dapat dimasuki. Demi Allah, mungkin esok kami akan mengizinkanmu untuk memasuki tanah kelahiranmu.”

Seperti kebiasaan bangsa Arab, Urwah berbicara dengan Rasulullah SAW sambil berusaha mengusap janggut Baginda SAW. Namun usahanya itu telah dihalang oleh al-Mughirah sambil berkata, “Lepaskan tanganmu dari Rasulullah. Jika tidak, tanganmu akan aku potong dan tidak akan bersambung lagi,” katanya.

Rasulullah SAW hanya tersenyum. Kemudian Urwah bertanya, “Siapa dia ini, ya Muhammad?” Rasulullah SAW menjawab, “Ini adalah putera saudaramu, al-Mughirah bin Syu’bah.”

Urwah berkata, “Jenaka apakah ini Muhammad? Hei, kau! Bukankah aku telah membelamu atas pengkhianatanmu itu?” ujar Urwah merujuk kepada tragedi pembunuhan yang dilakukan al-Mughirah di Busaq. ‘Urwah adalah bapa saudara al-Mughirah yang turut membelanya ketika tragedi tersebut.

Rasulullah SAW kemudian menjawab, “Aku telah menerima keislamannya. Sedang urus harta yang kau bicarakan itu.” Mendengar pembelaan Rasulullah SAW tersebut, Urwah pun berhenti mengadili Al-Mughirah.

Urwah lantas menyaksikan betapa setianya para sahabat kepada baginda. Jika Rasulullah berwudhu, mereka segera ikut berwudhu. Ketika Rasulullah meludah, mereka segera membersihkannya. Tidak ada sehelai rambut baginda yang jatuh melainkan mereka pasti memungutnya.

Lalu Urwah pun kembali kepada kaum Quraisy lalu berkata, “Wahai orang-orang Quraisy, sesungguhnya aku telah berkunjung kepada Kisra, Parsi, dan al-Najasyi di istana-istana mereka, tapi tak aku dapati seorang raja pun yang sayangnya melebihi sayangnya Muhammad terhadap pengikutnya, sehingga pengikutnya menyerahkan apa saja yang diminta olehnya. Buanglah prasangka buruk kalian.”

Urwah menyebut demikian kerana kaum kafir Quraisy menyangka kedatangan Rasulullah SAW adalah untuk berperang, tetapi setelah melihat bagaimana para sahabat melayan Nabi SAW, dia tahu Baginda SAW adalah seorang yang berakhlak mulia. Urwah telah menyaksikan betapa hormat dan setianya para sahabat terhadap Nabi SAW. Kata Urwah:

 فَوَاللَّهِ مَا تَنَخَّمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نُخَامَةً إِلاَّ وَقَعَتْ فِي كَفِّ رَجُلٍ مِنْهُمْ فَدَلَكَ بِهَا وَجْهَهُ وَجِلْدَهُ، وَإِذَا أَمَرَهُمُ ابْتَدَرُوا أَمْرَهُ، وَإِذَا تَوَضَّأَ كَادُوا يَقْتَتِلُونَ عَلَى وَضُوئِهِ، وَإِذَا تَكَلَّمَ خَفَضُوا أَصْوَاتَهُمْ عِنْدَهُ، وَمَا يُحِدُّونَ إِلَيْهِ النَّظَرَ تَعْظِيمًا لَهُ

Maksudnya: “Demi Allah, tidaklah Rasulullah SAW meludah kecuali jatuh pada telapak tangan salah seorang di antara mereka, maka ia mengusapkannya ke wajah dan kulitnya sendiri. Jika Rasulullah SAW memerintahkan mereka, maka mereka bersegera melakukannya. Jika ia berwudhu, maka mereka hampir-hampir berkelahi kerana berebut bekas air wudhunya. Jika ia berbicara, maka mereka merendahkan suara mereka dan mereka tidak berani menatap wajahnya secara langsung kerana begitu hormat kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (1255)

Urwah bin Mas’ud pernah mengunjungi banyak kerajaan besar masa itu tetapi dia tidak pernah melihat penghormatan yang begitu hebat sekali seperti yang diberikan oleh para sahabat kepada Rasulullah SAW. Urwah begitu kagum sekali dengan penampilan dan akhlak baginda SAW sehingga dia percaya kedatangan Nabi SAW ke Makkah bukanlah berniat untuk perang. Oleh itu, dia pun menyuruh kaum kafir Quraisy untuk buang prasangka mereka.

Dipendekkan cerita, setelah kaum Muslimin memenangi peperangan Hunain (berlaku pada 3 Syawal tahun kelapan Hijrah), Urwah bin Mas’ud telah diberi hidayah oleh Allah SWT untuk memeluk agama Islam. Maka dia pun meninggalkan Makkah dan menuju ke Madinah untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW.

Setelah berjumpa dengan baginda SAW, dia pun berba’iah memeluk agama Islam dan kemudian, meminta izin Nabi SAW untuk pulang ke Taif untuk berdakwah dan menyampaikan seruan Islam kepada kaumnya. Walaupun Rasulullah SAW telah melarang Urwah dari pulang ke Taif, akan tetapi Urwah begitu nekad untuk pulang dan menyampaikan dakwah kepada kaumnya.

Oleh kerana Urwah telah merasa kemanisan iman ketika bersama Rasulullah SAW, maka dia pun berkata: “Wahai Rasulullah, izinkanlah saya untuk kembali kepada kaumku, nescaya aku akan mengajak mereka untuk masuk Islam. Demi Allah, menurutku tidak layak seorang pun tertinggal dari (memeluk) agama ini. Aku akan datang kepada para kawanku dengan sebaik-baik ‘seruan’. Utusan sesungguhnya yang datang kepada suatu kaum hanyalah orang yang datang membawa apa yang engkau ajarkan. Engkau, wahai Rasulullah, sungguh telah mendahului dalam banyak kesempatan.”

Urwah tidak sabar lagi untuk segera pulang untuk berdakwah kepada kaumnya. Akhirnya Nabi SAW pun mengizinkan Urwah untuk pulang ke Taif untuk berdakwah kepada kaumnya. Maka Urwah pun segera pulang ke Taif dan sampai ke rumahnya pada waktu Isyak. Ketika sampai ke rumahnya, dia telah disambut oleh kaumnya dan diberi salam jahilia yang biasa dilafaz oleh kaum Thaqif. Urwah dengan segera menyuruh mereka, “Hendaklah kalian mengucapkan salam dengan ucapan Assalamualaikum…”

Sahabat Urwah sangat terperanjat mendengar kata-kata itu lalu mereka pun mengherdik dan memarahinya tetapi Urwah tetap melayan mereka dengan lembut dan terhormat. Urwah berkata:

“Wahai kaumku, apakah kalian menuduhku yang bukan-bukan? Bukankah kalian mengetahui bahawa di antara kalian, akulah orang yang paling baik nasabnya, paling banyak hartanya, dan paling kuat anggota keluarganya? Tidak ada yang mendorongku masuk Islam selain aku melihat suatu perkara baik yang tidak selayaknya seorang pun tertinggal dari mengikutinya. Terimalah nasihatku! Janganlah membangkang! Demi Allah, tiada suatu utusan yang datang kepada suatu kaum yang lebih utama daripada utusan yang aku bawa kepada kalian ini.”

Dengan itu, beberapa tokoh bani Tsaqif pun berkumpul untuk menentukan tindakan selanjutnya terhadap Urwah yang dianggapnya telah murtad.

Ketika subuh menjelang, Urwah pun naik ke bahagian atas rumahnya dan melaungkan azan. Maka orang ramai pun keluar menuju ke rumahnya dan melempar batu dan memanah Urwah yang sedang azan itu. Salah satu daripada anak panah bani Malik telah terkena dan mencederakan Urwah. Melihat keadaan ini, beberapa kerabat Urwah menyiapkan senjata untuk serang balas bani Malik, tetapi Urwah melarang mereka berbuat begitu dan berkata:

“Janganlah kalian saling berperang kerana nyawaku! Aku telah sedekahkan darahku kepada orang yang cederakanku, agar kalian tetap berdamai. Sesungguhnya, ini adalah kemulian yang Allah kurniakan kepadaku, iaitu mati syahid. Aku bersaksi bahwa Muhammad adalah Rasulullah. Beliau telah beritahu aku bahawa kalian akan membunuhku. Maka kuburkanlah aku bersama para syuhada’ yang gugur saat berperang bersama Rasulullah.” Kata Urwah pada detik-detik terakhir sebelum kematiannya.

Diriwayatkan daripada ‘Urwah bin al-Zubair R.A, katanya:

لَمَّا أَنْشَأَ النَّاسُ الْحَجَّ سَنَةَ تِسْعٍ قَدِمَ عُرْوَةُ بْنُ مَسْعُودٍ عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْه وَسَلَّمَ مُسْلِمًا فاسْتَأْذَنَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْه وَسَلَّمَ أَنْ يَرْجِعَ إِلَى قَوْمِهِ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْه وَسَلَّمَ: «إنِّي أَخَافُ أَنْ يَقْتُلوكَ» ، فَقَالَ: لَو وَجَدُوني نَائِمًا مَا أَيْقَظُونِي، فَأَذِنَ لَه رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْه وَسَلَّمَ فَرَجَعَ إِلَى قَوْمِهِ مُسْلِمًا فَقَدَّمَ عَشَاءً فَجَاءَتْهُ ثَقِيفٌ يُحَيِّونَهُ فَدَعَاهُمْ إِلَى الْإِسْلَامِ فَاتَّهَمُوهُ وَأَغْضَبُوهُ وَأَسْمَعُوهُ مَا لَمْ يَكُنْ يَحْتَسِبُ، ثُمّ خَرَجُوا مِن عِنْدِهِ حَتَّى إِذَا اسَّحَّرُوا وَطَلَعَ الْفَجْرُ قَامَ عَلَى غُرْفَةٍ فِي دَارِهِ فَأَذَّنَ بِالصَّلَاةِ وَتَشَهَّدَ، فَرَمَاهُ رَجُلٌ مِن ثَقِيفٍ بِسَهْمٍ فَقَتَلَهُ

Maksudnya: “Apabila orang ramai mula bertolak untuk menunaikan haji pada tahun kesembilan hijrah, Urwah Bin Mas’ud pergi bertemu Rasulullah SAW dalam keadaan sudah muslim. Lantas Rasulullah SAW memberikan keizinan kepada beliau untuk kembali kepada kaumnya. Rasulullah SAW bersabda: Aku takut mereka akan membunuh kamu. Urwah berkata: Jika mereka menemui aku dalam keadaan tidur, mereka tidak akan membangunkan aku. Rasulullah SAW lantas memberikan keizinan.

Kemudian, Urwah kembali kepada kaumnya dalam keadaan sudah memeluk Islam. Beliau sampai pada waktu malam. Ada sekumpulan orang dari bani Thaqif yang menyambut beliau. Lantas beliau menyeru mereka kepada Islam. Mereka mencela beliau, marah kepada beliau dan memperkatakan kepada beliau sesuatu yang tidak beliau sangka. Kemudian mereka pulang dari tempat beliau sehinggalah tiba waktu pagi. Urwah bangun di salah satu bilik rumahnya. Beliau azan dan bertasyahud. Kemudian ada seorang lelaki dari Bani Thaqif melepaskan anak panah lalu menyebabkan beliau terbunuh.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (374), al-Hakim dalam al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain (6744), al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (5/299) dan Abu Nu’aim dalam Ma’rifah al-Sahabah (4/188). Hadith ini dinilai sebagai dha’if dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah (1642)

Diriwayatkan dalam Sahih Muslim, bahawa Rasulullah SAW pernah menyebut bahawa Urwah bin Mas’ud adalah orang yang paling mirip Nabi Isa AS. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika peristiwa Isra’ dan Mi’raj:

وَإِذَا عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ – عَلَيْهِ السَّلاَمُ – قَائِمٌ يُصَلِّي أَقْرَبُ النَّاسِ بِهِ شَبَهًا عُرْوَةُ بْنُ مَسْعُودٍ الثَّقَفِيُّ

Maksudnya: “…juga aku melihat Isa bin Maryam AS juga sedang solat, wajahnya seperti Urwah bin Mas’ud al-Thaqafi…”

Riwayat Muslim (172)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda sepertimana disebutkan:

مَثَلُ عُرْوَةَ مَثَلُ صَاحِبِ يَاسِينَ دَعَا قَوْمَهُ إِلَى اللهِ فَقَتَلُوهُ

Maksudnya: “Urwah iaitu Ibn Mas’ud adalah seperti individu dalam surah Yasin. Beliau menyeru kaumnya menyembah Allah, lantas mereka membunuhnya.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (374), al-Hakim dalam al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain (6744), al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (5/299) dan Abu Nu’aim dalam Ma’rifah al-Sahabah (4/188). Hadith ini dinilai sebagai dha’if dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah (1642)

Inilah kisah Urwah bin Mas’ud, seorang musuh Islam pada awalnya tetapi berjaya mati syahid pada akhir hayatnya. Kisah Urwah telah memberi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman untuk terus berdakwah dengan hikmah dan sabar walaupun terpaksa mengharungi kesulitan.

 

Iktibar

Antara iktibar dan pengajaran yang dapat diambil ialah:

  • Firman Allah SWT:

وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَىٰ قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ

Maksudnya: “Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:” Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu.

(Surah Yasin: 20)

Kisah Urwah ibn Mas’ud seakan-akan sama dengan kisah Sahib al-Yasin di mana kedua-duanya ingin kaumnya mendapat hidayat akan tetapi mereka membunuhnya. Balasannya besar di sisi Allah SWT sehingga Allah SWT menyebut pada ayat 26 dan 27 surah Yasin:

قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ ۖ قَالَ يَا لَيْتَ قَوْمِي يَعْلَمُونَ ‎﴿٢٦﴾‏ بِمَا غَفَرَ لِي رَبِّي وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُكْرَمِينَ

Maksudnya: “(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam Syurga”. Ia berkata; “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui – “Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan.

(Surah Yasin: 26-27)

  • Diambil nasihat daripada orang yang hidup yang terbaik dan kadang-kadang diambil nasihat serta pengajaran dari keadaan seseorang yang telah mati.
  • Syiar orang beriman adalah memberi nasihat kepada semua makhluk Allah SWT serta menjarakkan diri dari penipuan atau mengenakan kesusahan dan kezaliman kepada yang lain.
  • Ramai di kalangan muslih yang ikhlas mengorbankan kehidupan mereka untuk orang lain supaya dia dapat hidup selepas mereka dalam keadaan bahagia.
  • Mempelajari perbuatan yang boleh mendatangkan manfaat kepada orang ramai sama ada ketika perdamaian dan peperangan adalah digalakkan. Bahkan, mulia dan penting bagi meninggikan martabat ummah.
  • Kebaikan seseorang akan diperolehi dengan mendapat cahaya hidayah daripada Allah SWT. Benarlah firman Allah SWT:

فَمَن يُرِدِ اللَّهُ أَن يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ ۖ

Maksudnya: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam;

(Surah al-An’am: 125)

  • Di antara tanda cintanya sahabat kepada Rasulullah SAW ialah dengan mengikut segala titah perintahnya. Sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِذَا كَانُوا مَعَهُ عَلَىٰ أَمْرٍ جَامِعٍ لَّمْ يَذْهَبُوا حَتَّىٰ يَسْتَأْذِنُوهُ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَأْذِنُونَكَ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ۚ فَإِذَا اسْتَأْذَنُوكَ لِبَعْضِ شَأْنِهِمْ فَأْذَن لِّمَن شِئْتَ مِنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمُ اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman ialah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka turut bersama-sama dengan Rasulullah dalam sesuatu perkara yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah mereka meninggalkan majlis perhimpunan itu sebelum mereka meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (wahai Muhammad) itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Maka apabila meminta izin kepadamu untuk pergi menjalankan sesuatu urusan mereka, maka izinkanlah bagi sesiapa yang engkau kehendaki di antara mereka, dan mintalah ampun kepada Allah untuk mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Nur: 62)

  • Rasulullah SAW memberi peringatan kepada Urwah tentang tipu daya kaumnya di mana mereka akan membunuhnya tetapi oleh kerana kasihnya kepada kaumnya, maka dia sanggup menjual dirinya kerana Allah SWT. Akhirnya, Allah SWT memuliakannya dengan syurga. Firman Allah SWT:

 إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.

(Surah al-Taubah: 111)

Semoga Allah SWT kurniakan kepada sahabat yang mulia ini Urwah ibn Mas’ud al-Thaqafi termasuk di kalangan syuhada yang soleh. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445