#3490: Mengambil Wuduk Dalam Keadaan Tangan Masih Bernajis

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum mengambil wuduk dalam keadaan anggota wuduk masih bernajis? Contohnya, tangan yang terkena tahi ayam masih ada bau dan terus mengambil wuduk. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).

Pertamanya, kami nyatakan bahawa berdasarkan nas ayat di atas,[1] menunjukkan bahawa apabila seseorang itu hendak bersolat, maka berwuduklah dengan membasuh anggota-anggota wuduk seperti muka, kedua belah tangan kamu meliputi siku dan kedua belah kaki kamu meliputi buku lali,  serta menyapu sebahagian daripada kepala. Begitu juga apabila kita melihat dalam kitab-kitab feqah kebanyakannya dimulakan dengan kitab taharah. Jadi, secara umumnya ia menunjukkan kepada kepentingan untuk membersihkan terlebih dahulu najis di badan.

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82).

Seterusnya, kami nyatakan terlebih dahulu bahawa di antara syarat sah wuduk ialah tidak terdapat perkara yang menghalang air daripada terkena pada anggota wuduk dan mengalirkan air pada anggota yang dibasuh. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i,1/70). Begitu juga dinukilkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji bahawa wajib meratakan basuhan kesemua bulu dan kulit. Sekiranya terdapat kotoran di bawah kuku atau memakai cincin yang menghalang air sampai ke kulit maka wuduknya tidak sah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/55).

Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:

رَجَعْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مَكَّةَ إِلَى الْمَدِينَةِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِمَاءٍ بِالطَّرِيقِ تَعَجَّلَ قَوْمٌ عِنْدَ الْعَصْرِ فَتَوَضَّئُوا وَهُمْ عِجَالٌ فَانْتَهَيْنَا إِلَيْهِمْ وَأَعْقَابُهُمْ تَلُوحُ لَمْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ أَسْبِغُوا الْوُضُوءَ

Maksudnya:Kami pulang bersama-sama Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Apabila kami sampai ke kawasan air di pertengahan jalan, sekumpulan orang bergegas untuk mendirikan solat Asar. Lalu mereka berwuduk dengan tergesa-gesa. Kami pun menghampiri mereka dan dapati buku lali mereka tidak dibasahi air. Lantas Rasulullah SAW bersabda: ‘Celakalah bagi tumit-tumit (yang tidak tersentuh air wuduk) kerana termasuk (yang dibakar) dalam api neraka. Oleh itu, berwuduklah kamu dengan sempurna.’

Riwayat Muslim (241)

Oleh itu, jelaslah bahawa wuduk seseorang itu dikira tidak sah sekiranya terdapat bahagian anggota yang wajib dibasuh tetapi tidak berbasuh kerana adanya halangan atau sebagainya, sekalipun sedikit.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya menyebutkan bahawa jika terdapat pada sebahagian anggota (yakni anggota wajib wuduk) lilin, tepung, inai atau seumpama dengannya, yang mana ia menghalang air untuk sampai ke anggota, maka tidak sah taharahnya (yakni wuduk atau mandi wajib) tidak kira ia banyak atau sedikit. Jika berbaki pada tangan dan selainnya kesan inai dan warnanya tanpa ‘ainnya (zatnya) atau kesan lemak cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota dan air juga mengalir di atasnya, tetapi ia tidak melekat — yakni air tidak melekat pada kesan minyak di atas tangan. Maka sah taharahnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/467-468).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa sekiranya seseorang itu berwuduk dalam keadaan tangannya mahupun anggotanya yang lain masih lagi bernajis kerana membersihkan diri atau beristinja’ tidak termasuk dalam syarat sah wuduk kerana istinja’ itu tujuannya adalah untuk membersihkan atau menghilangkan najis. Apatah lagi perbuatan menghilangkan najis itu misalnya yang terdapat pada tangannya dapat dicapai ketika dia mula membasuh anggota tangannya dengan air mutlak ketika berwuduk.

Begitu juga jika najis itu berada pada bahagian badannya yang lain yang bukan anggota wajib wuduk seperti dubur dan qubul, wuduknya tetap dikira sah. Akan tetapi najis itu akan menghalang kesahan solatnya. Maka, ia mesti dibersihkan dan dihilangkan supaya solat yang didirikan dikira sah dan bukannya untuk kesahan wuduk.

Sekalipun begitu, kami juga berpendapat bahawa adalah lebih baik untuknya membersihkan najis yang terdapat pada badannya terlebih dahulu sebelum berwuduk. Sebagai contoh membasuh tahi ayam yang terkena pada tangan atau kaki, kemudian barulah berniat untuk memulakan wuduk. Inilah yang terbaik menurut kami.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut atau maklumat tambahan berkenaan cara-cara membersihkan najis ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang berikut:

  • #713 Cara Membersihkan Najis Mutawassitah.[2]
  • #820: Cara Membersihkan Jilatan Anjing — Najis Mughallazah.[3]
  • #700 Cara Membersihkan Najis Mukhaffafah.[4]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

[1] Iaitu Surah al-Ma’idah ayat 6.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/713-cara-membersihkan-najis-mutawassitah/. Diakses pada 9 Oktober 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/820-cara-membersihkan-jilatan-anjing-najis-mughallazah/. Diakses pada 9 Oktober 2023.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/700-cara-membersihkan-najis-mukhaffafah/. Diakses pada 9 Oktober 2023

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445