Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Platform shopee ada buat satu sesi yang dipanggil nama ‘Shopee Shake’. Setiap kali sesi ni, pengguna dikehendaki menggoncangkan handphone sekuatnya dan seterusnya pihak shopee akan memberi ganjaran dalam bentuk coins. Setiap individu akan mendapat ganjaran yang berbeza untuk setiap kali sesi. Coins tersebut seterusnya boleh digunakan untuk membeli barang-barang di platform tersebut. Soalan saya, adakah coins tersebut halal untuk digunakan dan adakah cara ini sama dengan judi? Mohon pencerahan daripada Dato’ Seri. Sekian terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Shopee Shake adalah salah satu ciri dalam aplikasi Shopee yang membolehkan pengguna mengambil bahagian dalam permainan dengan matlamat mengumpulkan mata wang koin atau ganjaran. Dalam permainan Shopee Shake, pengguna biasanya dijemput untuk menggoncangkan telefon mereka dengan aktif selama beberapa saat ketika sesi atau acara Shopee Shake sedang berlangsung.
Cara permainan Shoppe Shake adalah seperti berikut:
- Pengguna membuka aplikasi Shopee semasa sesi Shopee Shake sedang berjalan.
- Masuk permainan Shopee Shake yang sedang berlangsung dan mengikuti arahan untuk menggoncangkan telefon mereka dengan pantas.
- Semasa penggoncangan, mata wang koin maya atau ganjaran lain akan dipaparkan di skrin.
- Pengguna yang berjaya menggoncangkan telefon mereka mengikut arahan dan dalam jangka masa yang ditentukan akan mendapai koin dan hadiah tersebut
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa judi adalah setiap permainan yang mensyaratkan peserta yang kalah memberikan sesuatu (seperti duit) kepada peserta yang menang.” (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 179). Begitu juga Syeikh Ali al-Sabuni beliau menyebutkan bahawa: judi adalah setiap permainan yang memberikan keuntungan bagi satu pihak dan kerugian bagi pihak yang lain. (Lihat Rawa’i al-Bayan fi Tafsir Ayat al-ahkam min al-Quran, 1/279)
Perbuatan ini dilarang di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”
(Surah al-Baqarah: 219)
Imam al-Tabari dalam tafsirnya ayat ini menyatakan orang yang bertaruh juga dipanggil orang yang berjudi. (Lihat Jami’ al-Bayan, 4/322).
Dalam isu permainan Shoppe Shake dalam aplikasi Shopee, kami nyatakan bahawa permainan ini tidak bersifat judi yang diharamkan, kerana peserta tidak dikenakan sebarang bayaran untuk bermain dalam aplikasi tersebut. Sebaliknya, Shopee memberikan ganjaran berupa koin kepada sesiapa yang menggoncangkan peranti mereka melalui permainan ini.
Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa permainan Shoppe Shake termasuk dalam kategori hukum al-sibaq atau perlumbaan dalam mengumpul hadiah yang diberikan oleh Shopee. Ia adalah suatu bentuk aktiviti di mana peserta berpeluang untuk memenangi ganjaran tanpa perlu membayar sebarang yuran atau taruhan. Hal ini bersesuain dengan satu kaedah fiqh yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)
Selain itu, perlu diketahui juga bahawa permainan ini juga dianjurkan oleh Shopee dengan tujuan menarik pelanggan dan mendorong mereka untuk terus aktif menggunakan aplikasi tersebut. Ia merupakan strategi pemasaran yang digunakan dalam industri e-dagang untuk menjaga keaktifan pelanggan. Oleh itu, permainan Shoppe Shake adalah salah satu contoh yang positif dalam menarik pengguna dan tidak melibatkan unsur perjudian yang dilarang.
Justeru, kami nyatakan bahawa permainan Shoppe Shake yang dianjurkan oleh Shoppe dalam aplikasinya adalah dibolehkan, dan koin yang diperolehi daripada permainan tersebut boleh digunakan dalam apa-apa pembelian dalam aplikasi tersebut. Hal ini berasaskan prinsip bahawa hadiah adalah halal untuk diambil dalam Islam.
Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْبَلُ الْهَدِيَّةَ وَيُثِيْبُ عَلَيْهَا.
Maksudnya: “Rasulullah SAW menerima hadiah dan Baginda membalasnya.”
Riwayat Abu Daud (3536). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan isnadnya hasan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهمَّ إنِّي أسألُكَ عِلمًا نافعًا ورزقًا طيِّبًا وعملًا متقبَّلًا
Maksudnya: “Ya Tuhan, aku memohon daripada-Mu ilmu yang bemanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.”
Riwayat Ibn Majah (762) dan Ahmad (26731)
Wallahua’lam
Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445