#3499: Perbezaan Dhabt (الضبط) Antara Imam al-Nawawi dan al-Qadhi ‘Iyadh

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada membaca beberapa hadith dalam kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi. Saya dapati, terdapat beberapa khilaf yang dinukilkan oleh beliau dalam perbahasan dhabt yang disebutkan dalam oleh al-Qadhi ‘Iyadh. Boleh Dato’ Seri terangkan serba sedikit masalah ini?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Berkenaan dengan permasalahan yang diajukan, kami menukilkan jawaban menerusi kajian ‘ilmiyyah yang telah diusahakan oleh Sahib al-Fadhilah Dr. Muhyiddin Muhammad ‘Awwamah di dalam kitabnya yang bertajuk Manhaj al-Qadhi ‘Iyadh fi al-Dhabt wa Ikhtilaf al-Riwayat min Khilal Kitabihi: Masyariq al-Anwar, atau Manhaj al-Qadhi ‘Iyadh pada Dhabt dan Perbezaan Riwayat Menerusi Kitabnya: Masyariq al-Anwar.

Kitab ini pada asalnya merupakan kajian tesis beliau bagi memperolehi Ijazah Kedoktoran dalam pengkhususan hadith dan cabang-cabang ilmunya. Ia dibentangkan oleh beliau di Universiti al-Quran al-Karim di Ummu Durman – Sudan, dan mendapat pangkat al-Syaraf al-Ula (الشَرَفُ الأُولَى) serta layak untuk diterbitkan.

Dr. Muhyiddin Muhammad ‘Awwamah telah meletakkan satu fasal yang khusus membicarakan tentang kajian perbandingan antara kitab Masyariq al-Anwar dengan beberapa kitab yang menitik beratkan tentang dhabt (penentuan baris perkataan) dan huraian-huraian hadith.

Beliau menyebutkan bahawa terdapat 2 perbezaan dhabt (penentuan baris perkataan) yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim:

  • Perkataan pertama: (الفروج)

Imam al-Nawawi menyebutkan: “Perkataan (الفَرُّوجُ) dibaca dengan huruf Fa’ berbaris atas, huruf Ra’ berbaris depan berserta tanda sabdu. Inilah pandangan yang benar dan masyhur tentang barisnya, dan majoriti ulama’ tidak menyebutkan selain dengan baris begini. Ada juga yang meriwayatkan bahawa huruf Fa’ berbaris depan. al-Qadhi ‘Iyadh pula menyebutkan di dalam kitabnya Syarh al-Syifa dan Masyariq al-Anwar: ‘Dibaca dengan huruf Ra’ yang bertanda sabdu atau tidak, dan bacaan dengan tanpa sabdu itu ganjil serta lemah’.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/52)

Komentar Dr. Muhyiddin Muhammad ‘Awwamah:

al-Qadhi ‘Iyadh di dalam kitabnya Syarh al-Syifa hanya menyebutkan riwayat dengan huruf Ra’ ringan – yakni tanpa sabdu -, dan tidak menyebutkannya dengan huruf Ra’ yang bertanda sabdu.

Manakala di dalam kitabnya Masyariq al-Anwar, beliau menyebutkan: “Barisnya dengan huruf Fa’ berbaris depan dan Ra’ (berbaris depan dan) bertanda sabdu. Dan dibaca juga dengan Ra’ ringan.” (Lihat Masyariq al-Anwar, 2/150)

Apa yang disebutkan oleh al-Qadhi ‘Iyadh, iaitu dibaca dengan huruf Ra’ ringan tanpa sabdu, tidak lain hanya sekadar menyebut satu pandangan yang lemah sahaja. Beliau mengisyaratkan perkara ini dengan menyebut “dan dibaca juga”. Dr ‘Awwamah juga tidak menjumpai para Imam dalam ilmu bahasa atau para ulama’ yang menghuraikan hadith menyebutkan pandangan ini kecuali dua orang imam muta’akhirin; Imam al-Suyuti di dalam kitabnya al-Dibaj ‘ala Muslim dan Abu al-Hasan al-Sindi di dalam kitabnya Hasyiah ‘ala al-Nasa’ie. Dan al-Sindi mengatakan bahawa boleh dibaca dengan wajah ini (yakni dengan huruf Fa’ berbaris atas, dan huruf Ra’ berbaris depan tanpa tanda sabdu).

  • Perkataan Kedua: (لقية)

Imam al-Nawawi menyebutkan: “Rasulullah SAW bersabda: (فَلَقِيتُهُ لَقْيَةً أُخْرَى), al-Qadhi ‘Iyadh mengatakan di dalam Masyariq al-Anwar: ‘Kami meriwayatkan (لُقْيَةً) dengan huruf Lam berbaris depan. Tha‘lab dan selainnya pula membaca dengan huruf Lam berbaris atas’. Beginilah yang disebutkan oleh al-Qadhi, sedangkan yang diketahui dari sudut bahasa dan berdasarkan apa yang diriwayatkan di tempat kami adalah dengan baris atas.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 18/57)

Komentar Dr. Muhyiddin Muhammad ‘Awwamah:

Al-Qadhi ‘Iyadh sebenarnya tidaklah menyebutkan secara jelas dengan Lam berbaris depan sepertimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi. Bahkan apa yang al-Qadhi sebutkan: “Rasulullah SAW bersabda: (فَلَقِيتُهُ لقْيَةً أُخْرَى), beginilah yang kami riwayatkan, dan Tha‘lab mengatakan (لَقْيَةً) dengan baris atas, sebagaimana yang selainnya katakan.” (Lihat Masyariq al-Anwar, 1/362)

Dr. ‘Awwamah menimbulkan persoalan ini kerana al-Qadhi ‘Iyadh tidak menyebutkan (لقْيَةً) dengan Lam berbaris depan sebagaimana yang didakwa. Adapun perkataan beliau terdapat kebarangkalian mengisyaratkan kepada baris depan, ini berdasarkan apa yang al-Qadhi perjelaskan dengan mengatakan: “beginilah yang kami riwayatkan.” (Lihat Manhaj al-Qadhi ‘Iyadh fi al-Dhabt wa Ikhtilaf al-Riwayat min Khilal Kitabihi: Masyariq al-Anwar, hlm. 212-213)

Beginilah serba sedikit yang dapat kami kongsikan tentang khilaf atau perbezaan yang jelas disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam perbahasan dhabt (penentuan baris perkataan).

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445