#3504: Doa Menghancurkan Musuh Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah boleh berdoa untuk hancurkan musuh  atau musuh islam dan umat islam ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya : “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Surah al-Ghafir: 60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Al-Sa’di menyatakan : Ini adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, dan kurniaan-Nya yang agung  di mana ALLah SWT menyeru hambaNYA kepada apa yang dapat memberi manfaat bagi agama dan dunia mereka, serta memerintahkan mereka untuk berdoa kepadaNYA baik doa  tersebut adalah doa untuk beribadah mahupun doa permohonan dan Dia menjanjikan untuk mengabulkan doa mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, Hlm.740)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan : Ini adalah dari anugerah-Nya yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Dengan kemurahan-Nya Dia memanggil hamba-hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya dan Dia menjawab doa-doa mereka. Seperti yang dikatakan oleh Sufyan al-Thauri:  orang yang paling dicintai-Nya oleh hamba-hamba-Nya adalah orang yang paling banyak memohon kepada-Nya, dan orang yang paling dibenci-Nya adalah orang yang tidak memohon kepada-Nya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/153)

Menjawab persoalan di atas, setiap Muslim seharusnya bergantung harap hanya kepada Allah SWT dalam semua keadaan dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Dalam konteks ini, kami nyatakan bahawa adalah dianjurkan  untuk berdoa kepada Allah SWT agar Allah menghancurkan musuh-musuh islam dan melindungi kita  dari kejahatan mereka.

Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Abi Aufa beliau berkata Rasulullah SAW mendoakan kebinasaan tentera al-Ahzab dengan bersabda:

اللَّهمَّ مُنزِلَ الْكِتَابِ سَرِيْعَ الحِسَابِ اهْزِمْهُمْ وَزَلْزِلْهُمْ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan yang menurunkan al-Kitab dan sangat cepat perhitungan-Nya, hancurkanlah pasukan al-Ahzab. Ya Allah! Hancurkanlah dan goncangkanlah mereka!”

Riwayat al-Bukhari (4115)

Telah dinyatakan dalam ‘Umdah al-Qari bahawa: Nabi SAW selalu berdoa terhadap orang-orang musyrik berdasarkan dosa-dosa dan kejahatan yang telah dilakukan oleh mereka. Beliau berdoa terhadap mereka yang menyakiti orang-orang Muslim. Apakah kamu tidak tahu bahawa ketika beliau merasa putus asa dengan kaumnya, Beliau berdoa, ‘Ya Allah, turunkanlah azab-Mu terhadap Musuh-Musuh-Mu.’ Beliau juga berdoa untuk membinasakan Abu Jahal. Beliau juga berdoa melawan kelompok-kelompok yang berkumpul pada Hari Khandaq dengan  kekalahan mereka. Allah SWT memperkenankan doa-Nya terhadap mereka. (Lihat ‘Umdah al-Qari,23/17)

Imam al-Nawawi ketika menerangkan makna  اهزِمْهم وزلزِلْهم beliau menyatakan bahawa:  Ia membuat mereka terganggu dan bergerak dengan kesulitan. (Lihat Syarh al-Nawawi ala Muslim,12/47)

Ibn Battal menyatakan bahawa: Baginda SAW berdoa untuk Abu Jahal dengan kebinasaan, dan berdoa agar kelompok-kelompok musuh itu dikalahkan. Allah SWT mengabulkan doa Baginda SAW terhadap mereka. Baginda SAW juga berdoa terhadap  orang-orang yang membunuh para pembaca Al-Quran selama sebulan dalam qunut dan Baginda berdoa agar Allah membakar mereka di dalam rumah-rumah dan kubur mereka. Baginda sangat keras dalam berdoa terhadap mereka disebabkan kejahatan yang dilakukan. (Lihat Syarh Sahih Bukhari, 10/127)

Begitu juga al-Qastalani menukilkan bahawa: Jadikanlah urusan mereka bercelaru, gelisah, dan tidak stabil, maka Allah Yang Maha Tinggi menjawab doa terhadap mereka, dan Dia mengirimkan kepada mereka angin dan tentera yang mereka tidak melihat, lalu mereka dikalahkan.(Lihat Irsyad al-Sari,9/222)

Justeru, kami katakan dibolehkan mendoakan kehancuran terhadap  musuh-musuh islam bahkan ia dianjurkan dalam islam.  Yang demikian, menunjukkan kepercayaan yang mendalam kepada Allah SWT sebagai Penolong dan Pelindung utama umat Islam, dan juga sebagai ungkapan ketakwaan kita kepada-Nya. Dengan berdoa kepada Allah, kita memperkuat lagi ikatan hubungan dan keimanan kita kepada Allah SWT serta mengharapkan pertolongan-Nya dalam menjaga dan memelihara agama serta umat Islam.

Semoga Allah SWT senantiasa memberkati dan melindungi umat Islam dari segala ancaman dan bahaya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي ، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي ، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي ، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di hatiku. Ya Allah, jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku. Aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawahku.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445