#3506: Dugaan Ayah Gangguan Mental

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mempunyai ibu dan bapa tetapi sudah berpisah sejak 25 tahun lalu. Bapa saya sejak berpisah dengan ibu saya sudah dimasukkan ke Tanjung Rambutan, setahun di sana, lalu saya keluarkan ayah dan menjaganya. Kemudian dia bernikah kali ke-2 dan berpisah, dia sekali lagi menjadi gila dan adik beradik ayah masukkan lagi sekali ke Tanjung Rambutan kerana ayah saya mempunyai sifat panas baran yang melampau. Saya pindah mengikut suami ke Singapura kerana tidak boleh lagi berdekatan dengan ayah saya yang panas baran, gila malah suka menonton filem lucah. Usianya sudah mencecah 74 tahun. Bagaimanakah pendapat Dato’ Seri, adakah ayah ini ditimpakan bala kepadanya. Saya kesal dan menyesal, Allah takdirkan mempunyai bapa yang sebegini teruk kelakuannya. Malah, seluruh adik beradik ayah telah memulaukan kami adik beradik kerana sikap buruk ayah kami.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ

Maksudnya: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar).”

(Surah al-Taghabun: 11)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya mengatakan bahawa tidak akan menimpa seseorang hamba sebarang ujian melainkan dengan izin Allah SWT, qadha’ dan qadar-Nya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah SWT pasti akan tahu bahawa tiada siapa yang mampu menimpakan ujian pada dirinya kecuali dengan izin Allah SWT, lalu hatinya redha dengan ketentuan Ilahi. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 23/421)

Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan kalam Abu al-Darda’ berkenaan ayat di atas, katanya: “Sesungguhnya Allah SWT apabila mentaqdirkan suatu ketentuan, dia suka apabila ketentuan-Nya itu diredhai (oleh hamba-hambanya).” (Lihat Rawai‘ al-Tafsir, 2/477)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan pertamanya kami bersimpati atas apa yang berlaku kepada saudari sekeluarga. Namun, percayalah setiap yang berlaku meskipun ia secara zahirnya ia suatu buruk, pasti ada hikmahnya. Allah tidak akan menguji seseorang itu melainkan Allah tahu hambanya itu mampu melalui ujiannya. Sepertimana firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Keduanya, kami memahami dugaan yang dilalui oleh saudari satu dugaan yang berat dan besar kerana ia melibatkan ahli keluarga sendiri. Akan tetapi, meskipun perbuatan dan sikap ayah saudari sebegitu, nasihat kami janganlah sampai sehingga membencinya kerana dia tetap ayah saudari yang membesarkan saudari sehingga dewasa. Banyakkan bersabar dan berdoa kepada Allah SWT. Boleh jadi waktu ini, Allah sedang mengujinya dengan gangguan di akal.

Ketiganya, saudara dan kaum keluarga hendaklah sentiasa melazimi doa seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Doa ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A. Beliau berkata:

كَانَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: Nabi SAW berdoa: ‘اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ’ (“Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk).”

Riwayat Abu Daud (1554). Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’ut, sanad hadith ini adalah sahih.

Imam al-Khattabi menyatakan kita dituntut untuk memohon perlindungan daripada penyakit-penyakit ini kerana ia mencacatkan badan dan kekal kesannya serta sebahagiannya memberi kesan kepada akal. Penyakit-penyakit ini tidak sama dengan penyakit-penyakit lain yang mana ia tidak kekal seperti demam, pening dan seumpamanya yang mana ia adalah kaffarat (penghapus dosa) dan bukannya hukuman. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 1/297)

Tambahan pula, penyakit gila adalah suatu penyakit yang menyebabkan hilangnya akal di mana akal adalah permulaan kepada kebaikan ilmu dan amal sehingga dikatakan ia (akal) lebih utama daripada ilmu.

Adapun penyakit kusta pula adalah penyakit yang menyebabkan badan menjadi hitam, lalu ia akan merosakkan anggota dan kemungkinan ia akan memakan anggota tersebut sehingga menyebabkan ia terputus daripada badan. Justeru, kita dituntut untuk memohon perlindungan dengan Allah daripada apa-apa yang boleh merosakkan batin kita seperti hilangnya akal serta apa-apa yang boleh mencacatkan zahir kita seperti penyakit kusta ini.

Maka dengan sebab itu, diumumkan (pada akhir doa) daripada setiap penyakit yang membinasakan diri atau badan dengan menyebut penyakit-penyakit yang buruk. (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 7/217-218)

Al-Tibi pula dalam menjelaskan hadith ini menyebut bahawa Nabi SAW tidak meminta berlindung secara mutlak daripada segala penyakit kerana sebahagian penyakit ada yang tidak terlalu parah dan mengandungi banyak pahala jika dihadapi dengan sabar. Ini seperti demam, pening, sakit mata dan sebagainya. Baginda SAW hanya minta berlindung daripada penyakit-penyakit yang kronik, yang berpanjangan, di mana menjadikan manusia menjauhkan diri darinya seperti sopak, gila, kusta dan seumpamanya. (Lihat Syarh al-Tibi ‘ala Misykat al-Masabih, 6/1918)

Kami pernah bertanya kepada Syeikh Muhamad ‘Awwamah berkenaan makna “penyakit-penyakit yang buruk”. Menurutnya, ia adalah apa-apa sahaja penyakit teruk yang berbahaya seperti selsema burung, kanser dan sebagainya. (Berdasarkan pertemuan di kediaman beliau di Istanbul, Turki pada 27/1/2020. Lihat juga Irsyad al-Hadith Siri ke-465 untuk bacaan lanjut)

Keempatnya, sentiasalah memohon keampunan kepada Allah untuk ibu bapa dan mungkin satu masa nanti dia bertaubat kepada Allah. Jangan putus asa daripada rahmat-Nya.

Akhir kalam, semoga Allah mempermudahkan segala urusan saudari, melapangkan hati dan melimpahkan rezeki saudari kelak. Ingatlah bahawa setiap ujian di dunia merupakan jalan untuk kita ke syurga Allah SWT. Firman Allah SWT:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

Maksudnya: Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

(Surah al-Baqarah: 214)

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445