#3509: Bersedekah dan Menabung, Apakah yang Lebih Dianjurkan?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah benar kita lebih dianjurkan bersedekah berbanding menabung kerana Allah SWT akan mencukupkan keperluan hamba-Nya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Bersedekah merupakan antara amal soleh yang amat besar fadhilat dan ganjaran bagi pelakunya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّـهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiramnya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 265)

Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan firman Allah SWT (كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ), maksudnya seperti sebuah kebun di dataran tinggi. Demikian menurut jumhur ulama’. Rabwah bermaksud tanah tinggi. Ibn Abbas dan al-Dahhak menambah, padanya mengalir sungai-sungai. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/328)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, gambaran infaq mereka ini sama ada yang banyak mahupun sedikit adalah bagaikan kebun yang memiliki tanah yang baik dan subur. Pepohondan tumbuhannya berkembang dengan baik. Kebun ini terletak di dataran yang tinggi, yang memperoleh sinar matahari dan pengudaraan yang baik serta disirami oleh hujan yang lebat sehingga tumbuh-tumbuhannya menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding yang lain. Jika kebun itu disirami oleh hujan gerimis, maka hal itu pun sudah mencukupi dan mampu menjadikan pohon-pohonnya tumbuh dengan baik dan tetap menghasilkan buah yang melimpah. Hal ini disebabkan tanahnya yang subur dan kedudukannya yang strategik. Manakala sebab kenapa kebun yang dijadikan perumpamaan di sini adalah kebun yang berada di rabwah (dataran tinggi), kerana pohon dan tumbuhan yang ada di kawasan tinggi lebih baik dan buah yang dihasilkannya juga lebih baik.

Allah SWT dengan kemurahan-Nya mengembangkan infaq yang dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas dan memberi mereka balasan yang lebih banyak seperti sebuah kebun yang menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding buah yang dihasilkan kebun-kebun yang lain. Hal ini bertujuan memujuk hati dan fikiran kita. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/80)

Orang yang pemurah dan suka bersedekah juga akan didoakan oleh malaikat, sepertimana yang thabit  dalam hadith Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ العِبَادُ فِيهِ، إِلَّا مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ، فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الآخَرُ: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Tiada satu hari pun, para hamba memasuki waktu paginya kecuali dua malaikat akan turun, lalu salah satunya berdoa: ‘Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang menyedekahkan hartanya!’ Malaikat satu lagi pula berdoa: ‘Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya daripada bersedekah!’.”

Riwayat al-Bukhari (1442) dan Muslim (1010)

Adakah Sedekah Lebih Dianjurkan daripada Menabung?

Melihat kepada dalil dan nas di atas, tidak syak lagi bahawa sedekah itu antara amalan yang paling afdhal dan disukai oleh Allah SWT, dan antara asbab pembersihan hati dan penyucian jiwa.

Akan tetapi, ini tidaklah menafikan bahawa manusia itu berhajat kepada harta bagi meneruskan kehidupannya sehari-hari. Maka dalam keadaan tertentu, sekiranya seseorang itu memerlukan kepada sejumlah harta yang tertentu, lebih awla untuk dia mendahulukan simpanan dan menabung bagi menjamin maslahah dirinya berbanding bersedekah. Ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلأَهْلِكَ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ، فَهَكَذَا وَهَكَذَا. يقولُ: فَبيْنَ يَدَيْكَ وَعَنْ يَمِينِكَ وَعَنْ شِمالِكَ

Maksudnya: “Mulakanlah dari dirimu sendiri dan bersedekahlah (menabung) untuk dirimu. Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk keluargamu (anak dan isterimu). Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk kerabat dekatmu. Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk tujuan ini dan itu, yang ada di hadapanmu, di kanan dan di kirimu.”

Riwayat Muslim (997) dan al-Nasa’ie (2546)

Imam al-Nawawi menyebutkan, antara faedah yang dapat diperoleh dari hadith ini adalah, apabila terdapat beberapa hak yang perlu ditunaikan maka perlu diutamakan yang paling penting kemudian yang terpenting seterusnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/83)

Dalam keadaan lain, ketika mana seseorang itu sudah cukup hartanya untuk maslahah dirinya, maka yang lebih afdhal baginya adalah bersedekah kepada mereka yang memerlukan pula. Dan sebaik-baik mereka yang menerima sedekah itu adalah keluarga dan kaum kerabat terdekat. Dalam hadith riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَفْضَلُ الصَّدَقَةِ مَا تَرَكَ غِنًى، وَالْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى، وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Maksudnya: “Sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya), dan tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah, dan mulailah untuk orang-orang yang menjadi tanggunganmu.”

Riwayat al-Bukhari (5355) dan Muslim (1034)

Sekiranya seseorang itu mampu untuk melakukan kedua-duanya sekali, yakni memberi sedekah kepada mereka yang memerlukan dan menabung untuk keperluannya pada masa akan datang, maka itu adalah yang paling baik. Jika seseorang itu berhajat kepada harta bagi menjamin maslahah dirinya, tetapi dia mampu bersabar dalam serba kekurangan tersebut dan tetap melaksanakan amalan bersedekah, maka itu merupakan amalan yang mulia dan terpuji. Ini berdasarkan riwayat Abu Hurairah R.A, katanya:

قِيلَ يَا رَسُولَ اَللَّهِ: أَيُّ اَلصَّدَقَةِ أَفْضَلُ؟ قَالَ: جُهْدُ اَلْمُقِلِّ، وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah ditanya: ‘Wahai Rasulullah SAW, sedekah apakah yang paling mulia?’ Beliau menjawab: ‘Sedekah orang yang sedikit hartanya, dan mulailah untuk orang-orang yang menjadi tanggunganmu’.”

Riwayat Abu Dawud (1677) dan Ahmad (8702)

Apabila diteliti dalam kedua-dua riwayat Abu Hurairah R.A di atas, seakan terdapat kontradik padanya; di mana  hadith yang pertama mengatakan bahawa sedekah yang paling afdhal adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya), manakala hadith yang kedua pula mengatakan bahawa sedekah yang paling afdhal adalah dari orang yang sedikit hartanya.

‘Allamah al-‘Azim Abadi mengatakan, sebaik-baik sedekah adalah sekadar kemampuan seseorang tersebut meskipun sedikit hartanya. Dan cara mengharmonikannya dengan hadith yang menyebut “Sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya)”, dengan maksud bahawa fadhilat itu ada banyak peringkat, bergantung kepada keadaan orang yang bersedekah itu dan kekuatan dia dalam bertawakkal atau lemahnya keyakinannya. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 4/227)

Imam al-San‘ani menyebutkan, wajah untuk mengharmonikan kedua-dua hadith ini adalah sepertimana yang disebutkan oleh al-Baihaqi dengan lafaznya: “untuk mengharmonikan antara sabda Baginda: ‘Sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya)’ dan sabda Baginda: ‘Sedekah orang yang sedikit hartanya’, iaitu berbeza kedua-duanya kerana berbezanya keadaan setiap orang dari sudut kesabaran terhadap kemiskinan, tekanan, merasa cukup dengan kelengkapan yang sedikit. Dan konteks hadith tersebut merujuk kepada wajah pengharmonian ini.” (Lihat Subul al-Salam, 2/541)

Kesimpulan

Perbincangan yang kami kemukakan di atas membawa kepada natijah, bahawa keutamaan antara bersedekah dan menabung untuk diri sendiri itu bergantung kepada 2 perkara utama:

  • Keperluan seseorang itu kepada harta bagi maslahah diri.
  • Tahap kesabarannya terhadap kekurangan harta.

Sekiranya seseorang itu memerlukan kepada harta bagi maslahah diri, dan dia pula tidak mampu bersabar terhadap kekurangan harta jika dia bersedekah dengan apa yang padanya, maka dia lebih dianjurkan untuk menabung dan menggunakan duit tersebut untuk maslahah dirinya.

Dan sekiranya seseorang itu memerlukan kepada harta bagi maslahah diri, dan dia pula mampu bersabar terhadap kekurangan harta jika dia bersedekah dengan apa yang padanya, maka sedekah yang dikeluarkannya merupakan suatu amalan yang mulia dan terpuji.

Adapun, sekiranya harta seseorang itu sudah cukup untuk keperluan dirinya, dan dia mempunyai lebihan untuk melakukan amalan bersedekah, maka yang lebih dianjurkan baginya bersedekah kepada mereka yang memerlukan.

Kami berharap penerangan ringkas ini membantu kita untuk terus mensyukuri segala rezeki kurniaan Allah SWT kepada kita dengan cara memupuk diri untuk bersabar dan terus bersedekah sekalipun dalam keadaan serba kekurangan. Semoga dengannya, Allah SWT akan melipat gandakan lagi rezeki kita. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445