Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ikut imam yang sedang solat zohor. Selepas baca tahiyat pertama imam memberi salam, baru saya sedar mereka solat qasar dan saya terus menyambung dua rakaat lagi. Bolehkah begitu? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sesungguhnya setiap solat yang diimamkan dalam solat berjemaah wajib diikuti pergerakan dan rukunnya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ ـ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا
Maksudnya: Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti. Apabila imam bertakbir, hendaklah kamu bertakbir. Apabila imam ruku’ hendaklah kamu ruku’ dan apabila imam bangun, hendaklah kamu bangun.
Riwayat Al-Bukhari (733)
Dalam hal berkenaan solat orang mukim berimamkan orang yang musafir, terdapat sebuah riwayat yang dapat dijadikan panduan dan rujukan kepada kita. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imran bin Husain R.A, katanya:
غَزَوْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَشَهِدْتُ مَعَهُ الْفَتْحَ فَأَقَامَ بِمَكَّةَ ثَمَانِيَ عَشْرَةَ لَيْلَةً لاَ يُصَلِّي إِلاَّ رَكْعَتَيْنِ وَيَقُولُ يَا أَهْلَ الْبَلَدِ صَلُّوا أَرْبَعًا فَإِنَّا قَوْمٌ سَفْرٌ
Maksudnya: Aku pergi berperang bersama dengan Rasulullah SAW dan aku turut serta bersama baginda dalam Fathu Makkah (pembukaan kota Makkah). Baginda menetap di Makkah selama 18 hari dan tidak menunaikan solat melainkan secara dua rakaat. Lalu baginda berkata penduduk negeri tersebut: “Wahai penduduk negeri (Makkah) solatlah kamu sebanyak empat rakaat, sesungguhnya kami kaum yang bermusafir’’.
Riwayat Abu Dawud (1229). Hadith ini dinilai dhaif berdasarkan kitab Dhaif Abu Dawud (1229)
Berdasarkan fiqh hadith di atas, dapatlah difahami bahawa seseorang yang tidak bermusafir boleh untuk mengikut imam yang bermusafir. Namun hendaklah dia tetap menunaikan solat sebanyak empat rakaat, iaitu dengan menyempurnakan baki rakaat sesudah sahaja imam yang bermusafir itu selesai solatnya sebanyak dua rakaat (kerana melakukan qasar).
Bahkan perkara ini dianggap sebagai ijma’ oleh para ulama. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn al-Munzir: “Para ulama telah bersepakat (ijma’) bahawa seseorang yang bermukim apabila menjadi makmum kepada imam yang musafir, dan apabila imam selesai memberi salam pada rakaat yang kedua, maka makmum yang mukim itu perlu bangun menyempurnakan solat.” (Lihat al-Ijma’, 1/41)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, hukum orang musafir menjadi imam kepada orang mukim adalah dibolehkan. Justeru, sekiranya seseorang itu mengikut imam dan baru menyedari bahawa imam itu melakukan solat qasar setelah tahiyat pertama dan imam memberi salam, maka makmum perlu bangun untuk menyempurnakan baki rakaatnya yang tertinggal.
Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A berkenaan penyempurnaan rakaat dalam solat, daripada Nabi SAW:
فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا
Maksudnya: “Apa yang kamu sempat, maka solatlah. Apa yang terlepas, maka sempurnakanlah.”
Riwayat al-Bukhari (908) dan Muslim (602)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445