#3521: Manipulasi Pemberitaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Selepas berlakunya serangan Hamas terhadap Israel, saya dapati banyak media barat pro-Israel telah menggambarkan kezaliman jahat tentera Palestin. Adakah ini cara yang sebenarnya dan bagaimana kita menjawabnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang. Naratif kuasa besar Barat dan sekutunya, termasuk media mereka adalah hipokrit, taksub dan amat ekstrem. Mereka tidak henti-henti mencanang ke seluruh dunia meletakkan umat Palestin sebagai pengganas dan menjadi pencetus kepada konflik ini.

Naratif palsu ini menjalar di kalangan komuniti Barat dan tidak terkecuali segelintir yang berada di Malaysia termakan dakyah jahat ini. Perasaan takut kepada Islam atau islamiphobia disemai dengan baik oleh media Barat dengan mengatakan serangan yang dilakukan oleh Hamas ke atas Israel adalah serangan yang dilakukan oleh pengganas.

Pucuk dicita, ulam mendatang. Hal ini yang ditunggu-tunggu oleh Amerika Syarikat yang merupakan sekutu sekian lama Israel untuk menghalalkan bantuan yang akan dihantar secara berskala besar kepada Israel atas alasan serangan.

Dalam menjawab persoalan ini, kami katakan tabayyun dalam pemberitaan amat penting. Begitu juga kesahihan berita tanpa ditokok tambah perlu ditapis terlebih dahulu. Ini kerana kita bimbang termasuk dalam nas Ilahi. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

(Surah al-Hujurat: 6)

Al-Sabuni menyebutkan, jika datang kepada kamu seorang lelaki fasik yang mana ia tidak boleh dipercayai dengan kebenaran dan keadilannya, dengan apa yang diberitakan, maka hendaklah kamu menyemak akan kesahihan berita. Ini supaya kamu tidak mengenakan hukuman atau musibah kepada satu-satu kaum sedangkan kamu jahil tentang hakikat sebenar. Ketika itu, jadilah kamu menyesal tak sudah atas perbuatan kamu. (Lihat Safwah al-Tafasir, 3/216)

Keduanya, kita hendaklah mengetahui niat dan matlamat sesuatu tindakan diambil. Bak kata kaedah:

الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara itu dinilai berdasarkan niat.”

Maknanya ialah segala percakapan dan perbuatan seseorang itu adalah bergantung kepada niat dan tujuannya. (Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 1/63).

Jelas kenyataan pihak Palestin, tujuannya adalah kerana sudah berdekad penjarahan Masjidil Aqsa, rampasan tanah-tanah penduduk Palestin, menjadikan penduduk Palestin pelarian, mengebom, menyerang bumi Gaza, membahagikan dan memisahkan antara Gaza dan tebing Barat, menjadikan seolah-olah Gaza penjara terbuka yang terbesar di dunia, menafikan hak kehidupan mereka, menyekat bantuan daripada sampai kepada mereka, memenjarakan rakyat Palestin dan pelbagai lagi jenis jenayah.

Benarlah firman Allah SWT:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi,’ mereka menjawab: ‘Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.’

(Surah al-Baqarah: 11)

Al-Maraghi menyatakan, beginilah keadaan kaum yang melakukan kerosakan pada setiap masa. Mereka menganggap perbuatan mereka itu sebagai perbuatan baik meskipun kerosakan dan kesesatan mereka sudah nyata dan jelas.

Mereka mengaku berbuat baik itu hanyalah sebagai cara untuk lepas tangan daripada tingkah laku (kejahatan) mereka secara penipuan dan cerdik. Meskipun tindakan kejahatan yang dilakukan oleh mereka itu berdasarkan taqlid kepada pemimpin tetapi sebenarnya, mereka melakukannya berdasarkan keyakinan. Mereka masih mengaku melakukan perbuatan baik walaupun pada realitinya tipu daya mereka itu menimbulkan kerosakan kepada umat, kerana mereka merosakkan perkara yang baik dan buruk. Pada masa yang sama, mereka tidak mahu mengikut ajaran Islam yang mengajak mereka untuk bersatu, malah mereka menyeru kepada perpecahan. Apakah timbulnya kerosakan yang lebih besar sehingga menimbulkan kesan kepada manusia di bumi ini (selain) mereka bersikap menolak kebenaran dan membela kebatilan?

Sehubungan itu sebenarnya, mereka sendirilah yang melakukan kerosakan, bukannya orang lain seperti dakwaan mereka. Ini disebabkan mereka (orang mukmin) terdiri daripada keturunan orang yang soleh, yang menunjukan teladan yang baik kepada mereka. Pemakaian kata seru dalam ayat ini, menunjukkan penolakan keras terhadap pembohongan mereka (orang munafik) serta rasa kemarahan yang amat sangat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/43).

Ketiganya, seperti mana yang kami katakan, mereka akan membina naratif. Mereka yang serang kita, kita yang salah. Apabila kita melakukan serangan balas terhadap mereka, kita juga yang tetap salah. Apa yang terkena kepada mereka dibesar-besarkan. Manakala apa yang terkena kepada kita, dijadikan seolah-olah tidak nampak dan tidak ada apa-apa.

Al-quran telah merakamkan sekian lama kisah Nabi Musa A.S yang menumbuk seorang lelaki lalu menyebabkan kematian lelaki tersebut secara tidak sengaja. Sedangkan firaun telah membunuh ribuan Bani Israil secara sengaja, kemudian tergamak firaun berkata kepada Nabi Musa A.S:

وَفَعَلْتَ فَعْلَتَكَ الَّتِي فَعَلْتَ وَأَنتَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (jenayah) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dari orang-orang yang tidak mengenang budi?

(Surah al-Syu‘ara’: 19)

Dia telah melupakan hakikat yang dia telah melakukan penjarahan dan pembunuhan terhadap Bani Israil. Lebih malang lagi, dia menukar hakikat-hakikat sebenar itu dan dia menggunakan pelbagai bentuk kekejaman untuk menidakkan Nabi Musa A.S, di samping menggambarkan seolah-olah Nabi Musa A.S ialah seorang penjenayah yang terbesar kepada seluruh khalayak ramai berdasarkan sejarah yang panjang.

Justeru, sebagai seorang Islam, kita hendaklah menapis berita-berita dan sentiasa membawa bukti jika ingin membuat sebarang dakwaan. Benarlah kata pujangga:

إِنْ كُنْتَ نَاقَلاً فَعَلَيْكَ بِالتَصْحِيحِ، وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ بِالدَّلِيلِ

Maksudnya: “Jika kamu ingin menukilkan sesuatu, maka pastikan kesahihannya terlebih dahulu dan jika kamu ingin membuat dakwaan, maka hendaklah dengan mengemukakan bukti.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama berdoa kpd Allah SWT agar Allah menutup segala keaiban kita dan rasa ketakutan kita.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445