#3524: Nikah dengan Saudara Perempuan Bekas Isteri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya telah berkahwin dengan seorang perempuan, kemudian saya mencerainya dengan talak satu. Adakah boleh saya berkahwin dengan adiknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ

Maksudnya: “Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Imam al-Suyuti berkata: Dimaksudkan dengan dua saudara perempuan di sini sebagaimana datang dalam Sunnah iaitu termasuk larangan menghimpun seorang perempuan dengan mak sudaranya sbelah bapanya atau sebelah ibunya.

Al-Wazir berkata: telah ijma’ bahawa tidak harus seseorang berkahwin dengan kedua-duanya serentak. Yang mana diharamkan untuk menghimpunkan keduanya. Sama ada dalam iddah secara raj’i atau ba’in.

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadith daripada al-Dahhak bin Fairuz al-Dailami, daripada bapanya R.A, katanya:

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أَسْلَمْتُ وَتَحْتِي أُخْتَانِ ‏.‏ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ـ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ـ لِي ‏:‏ طَلِّقْ أَيَّتَهُمَا شِئْتَ.

Maksudnya: “Aku berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya aku telah Islam dan aku mempunyai dua orang saudara perempuan (yang menjadi isterinya kedua-duanya). Maka sabda Rasulullah SAW: “Ceraikanlah salah seorang daripada keduanya mengikut kehendakmu.”

Riwayat Ahmad (18040), Abu Dawud (2243), al-Tirmizi (1129, Ibn Majah (1951), Ibn Hibban (1373), al-Daraqutni (3273) dan al-Baihaqi (7/184)

Para ulama telah khilaf jika dia suami menceraikannya dengan talak yang dia miliki untuk merujuk kembali kepada dua:

Pertama: Suami tersebut tidak berhak untuk mengahwini saudara perempuan bekas isterinya sehingga selesai iddah. Inilah mazhab Abu Hanifah, Ahmad dan jemaah daripada salaf.

Kedua: Suaminya berhak berkahwin dengan saudara perempuan isterinya,. Ini adalah mazhab Syafi’i, Maliki dan jemaah daripada salaf

Kata Syeikh Taqiyuddin: “Jika talak raj’i, tiadalah berhak bagi dia (suami) mengahwini perempuan yang lain di sisi kebanyakan ulama termasuklah imam yang empat. Yang menjadi khilaf hanyalah jika talak itu talak ba’in. Maka harus di sisi Imam Malik dan Syafi’i, dan haram di sisi Abu Hanifah dan Ahmad.” (Lihat Majmu’ah al-Fatwa, 12/50)

Semoga Allah beri kefahaman kepada kita berkenaan dengan agama kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445