#3526: Cara Mengira Tempoh Haid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah diterangkan tentang cara mengira haid dengan betul? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat.’ Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

(Surah al-Baqarah: 222)

Para ulama menafsirkan ayat di atas dengan menyebutkan bahawa orang-orang beriman bertanya kepada Rasulullah SAW tentang berjimak dengan isteri ketika sedang haid. Lalu Allah SWT memerintahkan agar Baginda menjawab kepada mereka dengan memberitahu bahawa berjimak dengan isteri pada waktu haid adalah sesuatu yang menjijikkan, membahayakan di dunia dan akhirat. Perbuatan ini tidak boleh dilakukan, maka jauhilah perbuatan berjimak dengan isteri pada waktu haid sehingga haid mereka selesai. Jika telah selesai dan mereka telah mandi, maka barulah mereka boleh berjimak dengan isteri-isteri mereka pada tempat (faraj) yang telah dihalalkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang banyak beristighfar kepada-Nya dan menjauhi perbuatan keji dan kotor. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 142).

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, haid dari segi bahasa bermaksud mengalir. Dikatakan bahawa, “حَاضَ الوَادِي” apabila lembah mengalir.  Manakala dari segi syarak pula haid diertikan sebagai:

دَمُ جِبِلَّةٍ يَخْرُجُ مِنْ أَقْصَى رَحِمِ الْمَرْأَةِ عَلَى سَبِيلِ الصِّحَّةِ

Maksudnya: “Darah kebiasaan yang keluar dari bahagian paling hujung di dalam rahim seorang perempuan secara sihat.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 161).

Keduanya, kita hendaklah mengetahui tempoh masa haid dari segi minimumnya dan juga maksimumnya. Begitu juga tempoh suci dari segi minimumnya dan juga maksimumnya.

Tempoh minimum atau sekurang-kurangnya haid ialah sehari semalam (24 jam). Manakala tempoh maksimum atau sebanyak-banyaknya haid ialah 15 hari 15 malam, dan tempoh kebiasaan haid ialah 6 hari 6 malam atau 7 hari 7 malam.

Seterusnya, tempoh minimum atau sekurang-kurang tempoh suci ialah 15 hari 15 malam, dan tempoh maksimum atau sebanyak-banyak tempoh suci ialah tiada had. Manakala tempoh kebiasaan suci ialah 23 hari 23 malam atau 24 hari 24 malam.

Kebiasaannya dalam tempoh sebulan bagi seorang wanita, dia tidak akan sunyi daripada haid dan suci. Sekiranya tempoh haidnya adalah selama 6 hari, maka tempoh sucinya adalah selama 24 hari. Begitulah juga jika tempoh haidnya adalah selama 7 hari, maka tempoh sucinya adalah selama 23 hari.

Berikut disertakan jadual gambaran haid dan suci dalam tempoh dua bulan supaya lebih jelas:

Justeru, 18 hari tempoh suci dalam bulan pertama ditambahkan dengan 5 hari tempoh suci dalam bulan kedua menjadikan jumlahnya sebanyak 23 hari suci di antara dua kali haid. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 161-162).

Ketiganya, dalam mengira tempoh minimum atau sekurang-kurang tempoh haid iaitu 24 jam. Umumnya, terdapat dua gambaran bagi sekurang-kurang tempoh haid:

  1. Darah keluar secara berterusan atau tetap ada darah pada kemaluan sekalipun ia tidak mengalir keluar, cukup sehari semalam atau selama 24 jam. Contohnya, darah seseorang wanita itu mula keluar pada jam 9.00 pagi hari Ahad sehingga jam 9.00 pagi hari Isnin.
  2. Darah keluar secara terputus-putus atau bercerai-cerai (yakni tidak berterusan) tetapi jika digabungkan kesemua tempoh darah tersebut dalam tempoh 15 hari 15 malam atau ke bawah, maka cukup sehari semalam (24 jam). Contohnya, hari pertama 1 jam, hari kedua 2 jam, hari ketiga 5 jam, hari keempat 6 jam, hari kelima 4 jam, hari keenam 4 jam, hari ketujuh 2, menjadikan jumlahnya setelah digabungkan cukup 24 jam (1+2+5+6+4+4+2 = 24jam). Jadi, kesemua darah ini dikira darah haid.

Kenyataan di atas adalah sebagaimana difahami melalui kenyataan al-Bujairimi dalam hasyiahnya. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala-al-Khatib, 1/344).

Begitu juga Imam al-Haramain al-Juwaini turut menyebutkan, apabila keseluruhan darah-darah yang dalam tempoh 15 (hari dan malam) itu sampai kepada tempoh sekurang-kurang haid (iaitu 24 jam), sedangkan setiap satu darah itu secara bersendirian tidak sampai sekurang-kurang tempoh haid, maka menurut pendapat (mazhab) yang sahih, darah-darah tersebut dikira sebagai darah haid. (Lihat Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab, 1/420).

Manakala darah yang tidak mencukupi tempoh sehari semalam atau 24 jam setelah digabungkan dalam tempoh 15 hari 15 malam, maka darah-darah itu dikira sebagai darah fasad (darah istihadhah/penyakit) dan tidak boleh dihukumkan sebagai darah haid. Ini sebagaimana dinyatakan oleh al-Bakri al-Dimyati bahawa sehari semalam itu adalah tempohnya jika haid keluar secara berterusan iaitu cukup tempoh selama 24 jam atau selama 15 hari 15 malam jika darah tersebut tidak keluar secara berterusan dengan syarat tempoh waktu darah-darah itu apabila dihimpunkan bersama cukup 24 jam. Sekiranya jumlah tempoh tersebut tidak cukup atau tidak mencapai jangka masa yang disebutkan (iaitu 24 jam), maka ia adalah seperti darah fasad (yakni bukan darah haid). (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/88).

**Sebagai perhatian juga, kami datangkan di sini contoh berkenaan cara pengiraan tempoh maksimum atau sebanyak-banyak haid (15 hari 15 malam) agar ia lebih dapat difahami. Misalnya, darah keluar pada jam 9 pagi 1 Oktober, maka cukup 15 hari 15 malam adalah pada jam 9 pagi 16 Oktober dan bukannya pada 15 Oktober.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa kiraan haid itu adalah berdasarkan kepada tempoh minimumnya (sekurang-kurangnya) iaitu 24 jam dan tempoh sebanyak-banyaknya iaitu 15 hari 15 malam. Tempoh sekurang-kurang atau minimum haid itu pula, terdapat dua gambaran sebagaimana yang kami telah jelaskan di atas, dan mana-mana darah yang kurang daripada tempoh minimumnya sekalipun selepas dihimpunkan kesemuanya selama 15 hari 15 malam itu, tidak dikira sebagai darah haid, sebaliknya ia dihukumkan sebagai darah rosak (fasad). Begitu juga darah yang keluar melebih tempoh maksimumnya, dikira sebagai darah istihadhah.

Begitu juga kaedah kiraan tempoh suci antara dua haid sangat penting bagi membezakan darah yang keluar itu dihukumkan sebagai darah haid mahupun dikira sebagai darah istihadhah yang keluar pada tempoh suci. Umumnya, mana-mana darah yang keluar dalam keadaan tempoh minimum suci masih belum cukup 15 hari 15 malam atau masih lagi berbaki tempoh sekurang-kurang suci itu, maka ia dikira sebagai darah istihadhah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445