#3528: Solat Witir Selepas Masuk Waktu Subuh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bukanlah orang yang selalu solat witir, tetapi saya ingin solat witir, sedangkan waktu subuh telah masuk, bolehkah saya solat witir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat witir adalah solat yang amat dituntut, maka menjadi hak dan kewajipan mengikut sebahagian ulama’. Hukum solat witir adalah sunat muakkad. Ia dinamakan dengan witir kerana ia ditamatkan dengan satu rakaat, dan ia berbeza dengan solat yang lain. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW, sabda baginda:

يَا أَهْلَ الْقُرْآنِ أَوْتِرُوا فَإِنَّ اللَّهَ وِتْرٌ يُحِبُّ الْوِتْرَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beramal dengan al-Quran! Hendaklah kamu melakukan solat Witir, sesungguhnya Allah itu bersifat witir dan dia menyukainya.”

Riwayat Abu Dawud (1416)

Imam al-Nawawi menyebutkan, solat witir adalah sunat di sisi ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i tanpa khilaf. Bilangan rakaatnya yang paling sedikit ialah sebanyak satu rakaat. Manakala tahap kesempurnaannya yang paling rendah adalah dengan melakukannya sebanyak tiga rakaat, dan tahap yang lebih sempurna daripada itu pula adalah dengan mendirikannya sebanyak lima rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak tujuh rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak sembilan rakaat, kemudian dengan mendirikannya sebanyak sebelas rakaat. Inilah bilangan rakaatnya yang paling banyak menurut pendapat masyhur dalam mazhab Syafi‘i dan pendapat yang diputuskan oleh pengarang al-Muhazzab serta ramai ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/12.)

Waktu solat witir ialah antara solat Isyak dan terbit fajar. Hal ini berdasarkan hadith, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ أَمَدَّكُمْ بِصَلاَةٍ وَهِىَ خَيْرٌ لَكُمْ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ وَهِىَ الْوِتْرُ فَجَعَلَهَا لَكُمْ فِيمَا بَيْنَ الْعِشَاءِ إِلَى طُلُوعِ الْفَجْرِ

Maksudnya: “Allah ‘Azza wa Jalla mengurniakan kamu solat yang lebih baik daripada unta merah. Solat itu ialah solat witir yang ditentukan waktunya di antara solat Isyak sehingga terbit fajar.”

Riwayat Abu Dawud (1418)

Berkenaan waktu akhir solat witir, Imam al-Nawawi berkata: Bagi waktu akhirnya pula, pendapat yang sahih yang diputuskan oleh pengarang al-Muhazzab dan jumhur ulama adalah sehingga terbitnya fajar dan terkeluar waktunya — yakni tamat — dengan terbitnya fajar itu. Namun, al-Mutawalli ada menukilkan satu pendapat daripada Imam al-Syafi‘i bahawa waktunya adalah sehingga seseorang itu mendirikan solat fardhu Subuh. Adapun waktu yang digalakkan untuk mendirikannya, pengarang al-Muhazzab dan jumhur ulama memutuskan bahawa waktu yang afdhalnya adalah melakukannya pada akhir solat malam. Sekiranya dia tidak mahu solat tahajjud, maka digalakkan untuk berwitir selepas solat fardhu Isyak dan solat sunatnya di awal malam. Namun, jika dia mahu mendirikan solat tahajjud, maka afdhalnya adalah untuk dia mengakhirkan solat witir dan melakukannya selepas solat tahajjud yakni witirnya itu di akhir solat malam. Walau bagaimanapun, Imam al-Haramain dan al-Ghazali berpendapat mengawalkan solat witir di awal malam adalah lebih baik (afdhal). Kemudian, Imam al-Nawawi menyebutkan, khilaf ini hanya disebutkan oleh mereka berdua. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/14)

Solat Witir Selepas Masuk Waktu Subuh?

Dalam menjawab persoalan diatas, kami nyatakan bahawa solat witir selepas masuk waktu subuh adalah tidak dibolehkan kerana waktu witir adalah sebelum masuknya waktu subuh. Hal ini dikuatkan dengan dua nas:

Pertama: Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَوْتِرُوا قَبْلَ أَنْ تُصْبِحُوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu berwitir sebelum masuk waktu subuh”

Riwayat Muslim (754)

Kedua: Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A juga, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ الصُّبْحَ وَلَمْ يُوتِرْ فَلَا وِتْرَ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendapati subuh, sedangkan dia belum berwitir, maka tiada solat witir baginya.”

Riwayat Ibn Hibban (2408)

Situasi ini bagi orang yang kebiasaannya tidak menjadi rutin baginya melakukan solat witir dan hanya kadang-kadang sahaja melakukannya. Namun sekiranya dia seorang yang selalu berwitir setiap malam dan beristiqamah dengannya, tiba- tiba dia tidur sehingga tidak terjaga melainkan setelah masuk waktu subuh, maka dia boleh berwitir selepas pada masuk waktu subuh. Hal ini berdasarkan hadith riwayat Abu Sa’id al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَامَ عَنِ الْوِتْرِ أَوْ نَسِيَهُ فَلْيُصَلِّ إِذَا أَصْبَحَ أَوْ ذَكَرَ

Maksudnya: “Sesiapa yang tertidur daripada mengerjakan witir atau dia terlupa maka hendaklah soalt tatkala waktu subuh atau ketika dia teringat”

Riwayat Abu Dawud (1341), al-Tirmizi (465), Ibn Majah (1188) dan Ahmad (3/44)

Justeru, bagi mereka yang melaziminya, bolehlah mengqadha’ solat witir itu pada waktu subuh, jadi janganlah meninggalkan solat witir kerana fadhilatnya sangat besar. Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445