Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya amat memerlukan pandangan Dato. Saya disahkan oleh doktor perubatan di Hospital Serdang sebagai menghidap penyakit schizophrenia (salah satu masalah mental). Saya masih meneruskan rawatan dengan Hospital Serdang iaitu perlu memakan ubat setiap hari dan perlu mengambil suntikan setiap bulan. Kini penyakit saya tidak seteruk dahulu tetapi sehingga kini saya mendengar banyak suara dalam hati/telinga saya. Masalah saya paling utama, saya cuba solat tetapi apabila saya solat saya bertambah sakit dan apabila saya bertambah sakit saya berhenti solat. Iman saya lemah Dato, saya tidak tahan disakiti oleh makhluk halus ketika solat. Saya baca di internet pesakit mental tidak wajib solat, dalam keadaan saya yang masih berhalusinasi dan berdelusi, malah disakiti secara mental dan fizikal oleh makhluk-makhluk halus, adakah saya wajib solat? Atau ada keringanan buat saya untuk sembuh dahulu kemudian baru solat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Definisi Schizophrenia
Schizophrenia merupakan penyakit mental yang diakibatkan oleh ketidakseimbangan satu sel kimia dalam otak (dopamine). Ia adalah suatu gangguan psikosis fungsional berupa gangguan mental secara berulang dengan gejala-gejala psikotik seperti kemunduran fungsi sosial, fungsi kerja dan perawatan diri. Kesan penyakit ini akan mempengaruhi proses pemikiran pesakit. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Schizophrenia seperti faktor genetik atau keturunan, biokimia dan psikososial. (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia)[1]
Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:
#2783: Apakah Dihukum Sama Orang Gila dengan Depresi dan Sindrom Down?[2]
Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan solat itu hukumnya wajib dan perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah SWT. Namun begitu, terdapat beberapa golongan yang tidak dihukum berdosa sebagaimana sabda Nabi SAW:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنْ الْغُلَامِ حَتَّى يَحْتَلِمَ وَعَنْ الْمَجْنُونِ حَتَّى يُفِيقَ
Maksudnya: Telah diangkat pena dari tiga golongan: dari orang yang tidur sehingga dia terjaga, dari seorang kanak-kanak sehingga dia baligh dan daripada orang yang gila sehingga dia sedar.
Riwayat Abu Daud (4403) dan Ibn Hibban (142)
Maksud ‘telah diangkat pena’ di dalam hadith di atas adalah tidak dibebankan dengan taklif dan tidak dikenakan hukuman atau dosa terhadap apa yang dilakukan oleh mereka. (Lihat Faidh al-Qadir Syarh Jami’ al-Saghir, 4/46)
Justeru, kami nyatakan sekiranya saudara dalam keadaan sedar (tidak alami penyakit mental), maka wajib hukumnya ke atas saudara untuk solat kerana dikira masih mukallaf. Namun, sekiranya saudara dalam keadaan tidak sedar, maka hukumnya tidak berdosa jika meninggalkan solat kerana ketika itu saudara tidak dikira mukallaf. Begitu juga, saudara tidak perlu menggantikan solat kerana saudara tidak dikira mukallaf ketika itu. Adapun, meninggalkan solat sehingga sembuh, kami berpendapat hukumnya tidak dibolehkan oleh syarak. Kami memahami saudara sedang diuji dengan ujian yang berat, namun kami menasihati agar saudara meneruskan solat (ketika saudara sedar) dan bersabar dengan sedaya upaya kerana Allah sedang menguji saudara dengan penyakit berkenaan. Ingatlah bahawa setiap ujian di dunia merupakan jalan untuk kita ke syurga Allah SWT. Firman Allah SWT:
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ
Maksudnya: Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
(Surah al-Baqarah: 214)
Akhir kalam, semoga Allah menyembuhkan saudara seperti sediakala, dijauhkan dari segala bentuk gangguan dan dimurahkan rezeki. Amin
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: “Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk).”
Riwayat Abu Daud (1554). Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’uth, sanad hadith ini adalah sahih.
[1] http://www.myhealth.gov.my/schizophrenia-3/
[2] https://maktabahalbakri.com/2783-apakah-dihukum-sama-orang-gila-dengan-depresi-dan-sindrom-down-28/
Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445