#3534: Hukum Menggunakan Perisian (Software) Cetak Rompak

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya merupakan seorang graduan senibina dan bekerja di firma senibina, dan dalam usaha untuk memperbaiki kemahiran dan mencari kerja baru, saya perlu menggunakan perisian (software) tertentu seperti AutoCad, Revit, SketchUp, Lumion dan seumpamanya. Semuanya menelan belanja (annual subscription) lebih ribuan ringgit untuk satu perisian saja, yang mana saya tidak mampu untuk membayarnya melainkan menggunakan versi cetak rompak. Apakah hukum menggunakan perisian versi cetak rompak untuk memperbaiki kemahiran saya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami datangkan terlebih dahulu definisi ‘perisian’ sepertimana yang disebutkan di dalam Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, bahawa ia merujuk kepada program atau atur cara komputer yang dapat digunakan dengan sistem komputer tertentu.

Dalam meniti arus kemodenan ini, cerdik pandai dalam bidang sains komputer telah berjaya mencipta banyak perisian atau bahasa Inggerisnya disebutkan sebagai software, yang berfungsi sebagai pemudah cara bagi seseorang individu itu melaksanakan kerjanya dengan lebih efisien, yakni  cekap, tanpa pembaziran waktu dan tenaga.

Kami katakan bahawa masalah ini perlu dilihat terlebih dahulu kepada perisian (software) tersebut, sama ada ianya boleh digunakan secara percuma untuk semua orang tanpa diikat dengan sebarang syarat, atau ianya perisian berbayar yang memerlukan seseorang itu untuk melanggan khidmat mereka pada suatu tempoh yang tertentu.

Persoalan yang diajukan oleh saudara sebenarnya telah lama menjadi persoalan sesetengah pihak, dan jawabannya juga pada hakikatnya sudah jelas ekoran ianya melibatkan hak cipta pihak tertentu, yang mana ia merupakan barang milik syarikat yang mencipta perisian tersebut dan kemudiannya dijadikan dagangan. Sekiranya telah jelas bahawa perisian tersebut adalah berbayar, maka wajib ke atas sesiapa sahaja yang ingin menggunakannya untuk bayar dengan nilai yang telah ditetapkan.

Konsep yang kebiasaannya dilakukan oleh pemilik-pemilik perisian ini adalah muamalat dengan akad al-ijarah (الإِجَارَةُ) atau sewaan. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, sewaan merujuk kepada penggunaan atau peminjaman sesuatu dengan membayar sejumlah wang. Manakala takrif sewa menurut istilah syara‘ pula ialah sebuah akad perjanjian bagi mendapatkan manfaat (khidmat) tertentu yang boleh dibayar dan dihalalkan dengan barangan tertentu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/438)

Pensyari‘atan akad al-ijarah ini adalah jelas berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

Maksudnya: “Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.”

(Surah al-Talaq: 6)

Akad sewa secara asasnya mempunyai 4 rukun:

  • Pihak yang melakukan akad, iaitu penyewa dan yang memberi khidmat sewa.
  • Lafaz akad, iaitu lafaz ijab dan lafaz terima.
  • Manfaat yang ditawarkan.
  • Bayaran sewa atau upah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/139-148)

Bagi memudahkan lagi gambaran akad yang digunakan untuk sewaan perisian (software) ini, kami ringkaskan seperti berikut:

  • Pihak yang melakukan akad: Syarikat yang menyediakan khidmat perisian (software) dan orang yang melanggan khidmat tersebut.
  • Lafaz akad: Berlaku secara bertulis, sepertimana kebiasaan kita melanggan sesuatu yang memerlukan kita untuk mengisi borang-borang tertentu dan bersetuju dengan terma serta syarat yang telah ditetapkan.
  • Manfaat yang ditawarkan: Perisian (software) tersebut.
  • Bayaran sewa atau upah: Bayaran yang telah ditetapkan dan dipersetujui oleh syarikat dan orang yang melanggan ketika mengisi borang.

Kami katakan, sekiranya saudara perlu menggunakan perisian yang berbayar tersebut, usahalah dengan cara yang halal bagi membolehkan saudara membayar hak yang sepatutnya diberikan kepada pemilik asal perisian. Sifir mudah yang boleh kita jadikan pedoman, jika kita tidak suka orang lain mengambil hak kita tanpa imbal balas, maka kita juga tidak sewajarnya melakukan perkara tersebut pada orang lain. Tidaklah suatu muamalat itu dibenarkan oleh Islam melainkan untuk membolehkan seseorang memiliki sesuatu barang atau manfaat yang pada asalnya adalah milik orang lain.

Ingatlah, antara sifat orang muslim itu adalah menepati syarat atau apa jua terma yang diletakkan. Diriwayatkan daripada ‘Amru bin ‘Auf al-Muzani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 وَالْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا

Maksudnya: “Dan kaum muslimin itu harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati, kecuali syarat yang mengharamkan perkara yang halal atau menghalalkan perkara yang haram.”

Riwayat al-Tirmizi (1352) dan Ibn Majah (2353)

Kami juga menyeru saudara untuk merenung kembali ancaman syara‘ bagi mereka yang mengambil hak orang lain secara zalim. Diriwayatkan darpada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ، فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ، قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ، إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ، وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki kezaliman terhadap saudaranya, hendaklah ia segera minta dihalalkan. Sebab dinar dan dirham (di hari kiamat kelak) tidak akan memberinya manfaat. Kezaliman seseorang akan dibalas dengan cara kebaikannya yang diberikan kepada saudaranya (yang terzalimi), sehingga bilamana ia tidak memiliki kebaikan lagi, keburukan saudaranya (yang terzalimi) akan diambil dan dipikulkan kepadanya.”

Riwayat Bukhari (2449)

Adapun, jika saudara sudah terlanjur menggunakan mana-mana perisian secara cetak rompak sebelum mengetahui hukumnya, maka kami berharap agar kemahiran yang diperoleh itu tidaklah dihukumkan sebagai haram sekiranya diaplikasikan dan dimanfaatkan. Ini berbetulan dengan riwayat Abu Zar al-Ghifari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan bagi umatku daripada perbuatan disebabkan oleh tersilap, juga terlupa, dan perbuatan yang dipaksakan untuk mereka melakukannya”

Riwayat Ibn Majah (2043)

Dan sewajarnya juga saudara bersegera memohon keampunan dari Allah SWT atas kesilapan yang lalu. Moga-moga permohonan ampun yang disegerakan setelah melakukan kesilapan, dan disertai dengan penyesalan ini diterima oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ فَأُولَٰئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ ۗ

Maksudnya: “Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya.”

(Surah al-Nisa’: 17)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445