Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Secara ringkasnya, baru-baru ini saya ada melihat satu potongan video menceritakan berkenaan kisah seseorang yang sangat kasih dan mencintai seorang ulama/habib sehinggalah apabila dia meninggal dunia, ketika di dalam kuburnya datang malaikat Munkar dan Nakir bertanya kepadanya berkenaan siapakah tuhannya, siapakah nabinya dan apakah kiblatnya? Kemudian, ketiga-tiga soalan itu, dikatakan dia menjawabnya dengan menyebut nama ulama/habib tersebut, maka dia mendapat syafaat daripada orang yang dikasihinya itu. Soalan saya, bolehkah perkara seperti ini berlaku? Saya rasa macam pelik sangat. Tidakkah itu seperti sudah mensyirikkan Allah SWT? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, berkenaan ujian serta soal jawab di dalam kubur termasuk dalam perkara ghaibiyyat. Oleh itu, bagi menjawabnya kami bawakan beberapa riwayat mengenainya.
Di antaranya riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa beliau berkata: Saya menyaksikan bersama Rasulullah SAW jenazah, lalu Rasulullah SAW bersabda:
أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ هَذِهِ الْأُمَّةَ تُبْتَلَى فِي قُبُورِهَا، فَإِذَا الْإِنْسَانُ دُفِنَ فَتَفَرَّقَ عَنْهُ أَصْحَابُهُ، جَاءَهُ مَلَكٌ فِي يَدِهِ مِطْرَاقٌ فَأَقْعَدَهُ، قَالَ: مَا تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ؟ فَإِنْ كَانَ مُؤْمِنًا قَالَ: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، فَيَقُولُ: صَدَقْتَ ثُمَّ يُفْتَحُ لَهُ بَابٌ إِلَى النَّارِ، فَيَقُولُ: هَذَا كَانَ مَنْزِلُكَ لَوْ كَفَرْتَ بِرَبِّكَ، فَأَمَّا إِذْ آمَنْتَ فَهَذَا مَنْزِلُكَ، فَيُفْتَحُ لَهُ بَابٌ إِلَى الْجَنَّةِ، فَيُرِيدُ أَنْ يَنْهَضَ إِلَيْهِ فَيَقُولُ لَهُ: اسْكُنْ وَيُفْسَحُ لَهُ فِي قَبْرِهِ، وَإِنْ كَانَ كَافِرًا أَوْ مُنَافِقًا يَقُولُ لَهُ: مَا تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ؟ فَيَقُولَ: لَا أَدْرِي سَمِعْتُ النَّاسَ يَقُولُونَ شَيْئًا، فَيَقُولُ: لَا دَرَيْتَ، وَلَا تَلَيْتَ، وَلَا اهْتَدَيْتَ، ثُمَّ يُفْتَحُ لَهُ بَابٌ إِلَى الْجَنَّةِ فَيَقُولُ: هَذَا مَنْزِلُكَ لَوْ آمَنْتَ بِرَبِّكَ، فَأَمَّا إِذْ كَفَرْتَ بِهِ فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَبْدَلَكَ بِهِ هَذَا، وَيُفْتَحُ لَهُ بَابٌ إِلَى النَّارِ، ثُمَّ يَقْمَعُهُ قَمْعَةً بِالْمِطْرَاقِ يَسْمَعُهَا خَلْقُ اللهِ كُلُّهُمْ غَيْرَ الثَّقَلَيْنِ. فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ: يَا رَسُولَ اللهِ، مَا أَحَدٌ يَقُومُ عَلَيْهِ مَلَكٌ فِي يَدِهِ مِطْرَاقٌ إِلَّا هِيِلَ عِنْدَ ذَلِكَ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يُثَبِّتُ اللهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ. [إبراهيم:٢٧]
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya umat ini akan diuji di dalam kuburnya. Apabila seseorang dikebumikan dan sahabat-sahabatnya pergi meninggalkannya, maka malaikat datang kepadanya dengan membawa alat pemukul di tangannya. Lalu ia mendudukkannya dan bertanya: ‘Apakah pendapatmu mengenai seorang lelaki ini?’ Sekiranya dia seorang Mukmin, dia akan menjawab: ‘Saya bersaksi bahawasanya tiada tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan hanya Allah dan bahawasanya Muhammad hamba-Nya dan utusan-Nya.’ Maka malaikat itu berkata: ‘Kamu benar.’ Kemudian dibukakan buatnya pintu ke neraka, lalu malaikat itu berkata: ‘Inilah tempat tinggalmu jika kamu mengkufuri Tuhanmu. Adapun jika kamu beriman, maka inilah tempatmu.’ Lalu dibukakan untuknya pintu ke syurga dan diapun ingin bangkit menuju ke syurga. Akan tetapi malaikat itu berkata kepadanya: ‘Tinggallah.’ Dan dilapangkan buatnya dalam kuburnya. Sekiranya dia seorang kafir atau munafik, malaikat itu bertanya kepadanya: ‘Apakah pendapatmu mengenai seorang lelaki ini?’ Dia menjawab: ‘Saya tidak tahu, saya mendengar orang ramai mengatakan sesuatu mengenainya (maka saya pun turut mengatakan hal yang sama).’ Maka malaikat itu berkata: ‘Kamu tidak tahu, kamu tidak mahu membaca dan tidak mendapat petunjuk.’ Kemudian dibukakan buatnya pintu ke syurga, lalu malaikat itu berkata: ‘Inilah tempat tinggalmu jika kamu beriman kepada Tuhanmu. Adapun jika kamu mengkufurinya, sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menggantikan tempat tinggalmu itu dengan ini,’ dan dibukakan buatnya pintu ke neraka. Kemudian malaikat itu memukulnya satu pukulan dengan alat pemukul yang dapat didengari oleh makhluk Allah kesemuanya kecuali jin dan manusia.” Sebahagian sahabat berkata: Wahai Rasulullah, tidaklah seseorang yang malaikat berdiri di hadapannya dengan membawa alat pemukul di tangannya, kecuali dia akan hilang akalnya seketika itu? Maka Rasulullah SAW bersabda (dengan membaca firman Allah SWT yang bermaksud): ‘Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh. (surah Ibrahim: 27).’”
Riwayat Ahmad (11000)[1]
Begitu juga terdapat riwayat daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A, katanya:
خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي جَنَازَةِ رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ، فَانْتَهَيْنَا إِلَى الْقَبْرِ وَلَمَّا يُلْحَدْ، فَجَلَسَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَجَلَسْنَا حَوْلَهُ كَأَنَّمَا عَلَى رُءُوسِنَا الطَّيْرُ، وَفِي يَدِهِ عُودٌ يَنْكُتُ بِهِ فِي الأَرْضِ، فَرَفَعَ رَأْسَهُ فَقَالَ: اسْتَعِيذُوا بِاللَّهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ. مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا – زَادَ فِي حَدِيثِ جَرِيرٍ هَا هُنَا – وَقَالَ : وَإِنَّهُ لَيَسْمَعُ خَفْقَ نِعَالِهِمْ إِذَا وَلَّوْا مُدْبِرِينَ حِينَ يُقَالُ لَهُ: يَا هَذَا مَنْ رَبُّكَ وَمَا دِينُكَ وَمَنْ نَبِيُّكَ
Maksudnya: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW mengiringi jenazah seorang lelaki Ansar. Apabila kami sampai ke kuburnya, ia belum lagi digali. Maka Rasulullah SAW duduk dan kami pun duduk di sekelilingnya seolah-olah burung berada di atas kepala kami. Di tangan Baginda ada sebatang kayu yang digunakan untuk mencakar tanah. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya dan bersabda: ‘Mohonlah perlindungan kepada Allah daripada azab kubur.’ Baginda mengucapkannya sebanyak dua atau tiga kali. Terdapat lafaz tambahan dalam hadis Jabir di sini, Baginda bersabda: ‘Dia mendengar hentakan selipar mereka apabila mereka pulang, dan pada saat itu dia ditanya: Wahai fulan! Siapakah Tuhan kamu, apakah agama kamu, dan siapakah nabi kamu?’”
Riwayat Abu Daud (4753)[2]
Selain itu, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW membaca ayat: “يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ” (Surah Ibrahim: 27). Baginda bersabda:
ذَلِكَ إِذَا قِيلَ لَهُ فِي الْقَبْرِ: مَنْ رَبُّكَ؟ وَمَا دِينُكَ؟ وَمَنْ نَبِيُّكَ؟ فَيَقُولُ: اللَّهُ رَبِّي، وَالْإِسْلَامُ دِينِي، وَمُحَمَّدٌ نَبِيِّي جَاءَنَا بِالْبَيِّنَاتِ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ فَآمَنْتُ بِهِ، وَصَدَقْتُهُ فَيُقَالُ: صَدَقْتَ عَلَى هَذَا حُيِيتَ، وَعَلَيْهِ تُبْعَثُ إنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: “Perkara tersebut apabila ditanyakan kepadanya dalam kubur: ‘Siapakah Tuhanmu? Apakah agamamu? Siapakah nabimu?’ Lalu dia menjawab: ‘Allah Tuhanku, Islam agamaku, dan Muhammad Nabiku yang datang kepada kami dengan membawa penjelasan (bukti-bukti) dari sisi Allah. Lalu saya beriman dengannya dan membenarkannya.’ Kemudian dikatakan: ‘Kamu membenarkan perkara ini selama hidupmu, dan di atasnya kamu akan dibangkitkan, Insya-Allah.’”
Riwayat al-Baihaqi dalam Ithbat ‘Azab al-Qabr (8)[3]
Demikianlah juga riwayat daripada al-Bara’ R.A bahawa beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda dan menyebut tentang orang kafir ketika rohnya dicabut. Baginda bersabda:
فَيَأْتِيهِ مَلَكَانِ شَدِيدُ الِانْتِهَارِ فَيَجْلِسَانِهِ فَيَتَّهِرَانِهِ، فَيَقُولَانِ لَهُ: مَنْ رَبُّكَ؟ فَيَقُولُ: لَا أَدْرِي، قَالَ: فَيَقُولَانِ لَهُ: مَا دِينُكَ؟ فَيَقُولُ: لَا أَدْرِي، قَالَ: فَيُقَالُ لَهُ: مَا هَذَا النَّبِيُّ الَّذِي بُعِثَ فِيك؟ قَالَ: فَيَقُولُ: سَمِعْتُ النَّاسَ يَقُولُونَ ذَلِكَ، لَا أَدْرِي قَالَ: فَيَقُولَانِ: لَا دَرَيْتَ قَالَ: وَذَلِكَ قَوْلُ اللَّهِ: {وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ}
Maksudnya: “Kemudian rohnya dikembalikan ke dalam jasadnya.” Baginda bersabda: “Lalu dua malaikat yang keras lagi tegas datang kepadanya, lalu mendudukkannya dan menyuarakannya. Kedua malaikat itu bertanya kepadanya: ‘Siapakah Tuhanmu?’ Maka dia menjawab: ‘Saya tidak tahu.’ Kedua malaikat itu bertanya lagi kepadanya: ‘Apakah agamamu?’ Dia menjawab: ‘Saya tidak tahu.’” Baginda bersabda: “Maka ditanyakan kepadanya: ‘Siapakah nabi ini yang diutuskan kepada kamu?’ Lalu dia menjawab: ‘Saya mendengar orang ramai mengatakan hal itu, saya tidak tahu.’” Baginda bersabda: “Kemudian kedua malaikat itu berkata: ‘Kamu tidak tahu.’” Baginda bersabda: “Itulah yang dimaksudkan oleh firman Allah SWT (yang bermaksud): ‘Dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya. (Surah Ibrahim: 27).’”
Riwayat al-Tabari dalam tafsirnya (13/218).[4]
Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad ketika mensyarahkan berkenaan tiga perkara yang akan ditanya kepada penghuni kubur — iaitu Siapakah Tuhan kamu, apakah agama kamu, dan siapakah nabi kamu? — Beliau menyebutkan, inilah tiga soalan yang akan diajukan kepada penghuninya di dalam kubur iaitu soalan mengenai tuhan, nabi dan agama.
Seterusnya, apabila mayat itu ditanya soalan-soalan ini dan dia dapat menjawabnya dengan jawapan yang tepat, maka akan ditanyakan pula kepadanya: “Bagaimanakah engkau tahu semua ini?” Dia akan menjawab: “Aku mengetahuinya dengan membaca Kitab Allah, di samping beriman dan membenarkan apa yang terkandung di dalamnya.” Oleh sebab itu, pintu syurga akan dibuka untuknya, lalu sebahagian kenikmatan dan keharumannya sampai kepadanya. Kuburnya akan diperluaskan sehingga ia menjadi luas sejauh pandangan matanya. Semua ini adalah perkara-perkara ghaib yang wajib kita percayai dan membenarkannya (sebagaimana yang disampaikan kepada kita), serta beriman bahawasanya semua perkara tersebut adalah benar. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud oleh al-‘Abbad, 539/11).
Keduanya, berkenaan perkara-perkara ghaib, pada asasnya tidak ada yang mengetahuinya melainkan hanya Allah SWT. Ini sebagaimana firman-Nya:
وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ
Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja.”
(Surah al-An‘am: 59)
Ibn Kathir dalam tafsirnya, Tafsir Ibn Kathir, (3/264) mendatangkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
مَفَاتِيحُ الغَيْبِ خَمْسٌ لاَ يَعْلَمُهَا إِلَّا اللَّهُ: لاَ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَا تَغِيضُ الأَرْحَامُ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي المـَطَرُ أَحَدٌ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا اللَّهُ
Maksudnya: “Kunci-kunci perkara ghaib ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah. Tidak ada yang mengetahui apa yang berlaku pada esok hari kecuali Allah, tidak ada yang mengetahui apa yang dikurangi pada rahim kecuali Allah, tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah akan turunnya hujan kecuali Allah. Setiap jiwa tidak mengetahui di negeri mana dia akan mati, dan tidak ada yang mengetahui bilakah akan berlakunya kiamat kecuali Allah.”
Riwayat al-Bukhari (4697)
Pengetahuan kita mengenai hal-hal ghaib sangat terbatas, di mana kita hanya mengetahui sebahagiannya melalui perkhabaran daripada Allah SWT melalui wahyu yang disampaikan kepada Baginda SAW. Jika perkara tersebut termasuk yang dikhabarkan maka hal tersebut ada ruang untuk digambarkannya, namun ia tetap terbatas dan sama sekali tidak akan menggambarkan hakikat yang sebenarnya. Tetapi jika tidak, maka ia termasuk perkara ghaib yang tidak diketahui kecuali Allah.
Hal ini termasuklah mengenai ujian dan soal jawab kepada penghuni kubur di dalam kubur-kubur mereka. Kita mengetahui sebahagian gambarannya, di samping soalan-soalan yang akan ditanyakan kepada mereka berserta jawapannya. Dalam erti kata lain, bagaimana jawapan seorang Mukmin yang akhirnya menjadikan dirinya selamat dan digolongkan sebagai ahli syurga. Begitu juga bagaimana jawapan seorang kafir dan munafik yang akhirnya menjadikan dirinya termasuk dalam kalangan orang yang binasa dan mendapat azab Allah SWT. Kesemua ini wajib ke atas kita untuk mengimaninya sebagaimana yang telah diceritakan kepada kita oleh Rasulullah SAW kerana ia termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui oleh sesiapapun melainkan hanya Allah SWT sahaja.
Tegasnya, tiada siapa pun yang tahu mengenai tentang perkara ghaib itu, sama ada malaikat, jin mahupun manusia termasuklah Baginda SAW sendiri (melainkan apa yang disampaikan kepada Baginda oleh Allah SWT). Ini jelas melalui firman Allah SWT:
قُل لَّا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ ۚ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ ۚ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Katakanlah: ‘Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudharat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.’”
(Surah al-A‘raf: 188)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa ujian serta soal jawab kepada penghuni kubur di dalam kubur-kubur mereka termasuk dalam perkara ghaibiyyat, dan kita wajib beriman dan membenarkan mengenainya sebagaimana nas hadith yang disampaikan tanpa mereka-reka mahupun menokok tambah. Hal ini kerana apabila ia melibatkan perkara-perkara ghaib, maka tidak ada sesiapapun mengetahui hakikat sebenarnya melainkan hanya Allah SWT.
Justeru, berdasarkan kepada hadith-hadih yang sahih mahupun hasan, tiga soalan yang diajukan kepada penghuni kubur sebagai suatu bentuk ujian ke atas mereka, iaitu soalan mengenai, “Siapakah tuhanmu, siapakah nabimu dan apakah agamamu?” Ia hendaklah dijawab sebagaimana yang telah disebutkan dalam nas dan bukannya dengan jawapan yang lain daripada itu bagi menggolongkan mereka dalam kalangan orang yang Mukmin yang selamat. Maka, apabila ditanya mengenai siapakah tuhanmu? Jawapannya ialah Allah. Apabila ditanya mengenai siapakah nabimu? Jawapannya ialah Nabi Muhammad. Dan apabila ditanya mengenai apakah agamamu? Jawapannya ialah agama Islam. Begitu juga difahami daripada nas-nas hadith yang ada menceritakan mengenainya bahawa jawapan selain daripada jawapan-jawapan ini, bukanlah suatu jawapan yang selamat atau jawapan seorang Mukmin.
Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan dan mengingatkan agar kita berhati-hati daripada perkara-perkara seumpama ini kerana dikhuatiri terjerumus ke dalam lembah kesesatan kerana telah menyirikkan Allah SWT atau menghina Allah dan Rasul-Nya, atau seumpamanya tanpa disedari. Apatah lagi, ia melibatkan perkara-perkara ghaib yang sepatutnya kita imani dan terima sebagaimana diceritakan, apabila terbukti ia sabit daripada Nabi SAW. Manakala apa yang selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT kerana sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui mengenai hakikat sebenarnya suatu perkara itu.
Semoga Allah SWT memelihara iman dan akidah kita daripada terpesong ke jalan yang batil. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”
(Surah Ali ‘Imran: 8)
Ibn Kathir menyebutkan, pengertian doa ini adalah: Wahai Tuhan kami, janganlah engkau palingkan hati kami daripada petunjuk setelah Engkau berikan kami petunjuk dan Engkau tetapkan kami di atas jalan petunjuk. Dan janganlah jadikan kami seperti orang yang hatinya sesat di mana mereka sengaja mengikuti ayat-ayat musyabih dalam al-Quran dengan tujuan mencipta fitnah dan membuat pentakwilan yang batil. Tetapkanlah kami pada jalan Engkau yang lurus dan agama-Mu yang kukuh. Kurniakanlah kepada kami dari sisi-Mu rahmat yang dapat meneguhkan hati kami, menyatukan diri-diri kami dan menambah keimanan serta keyakinan dalam jiwa kami. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/11).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
[1] Syeikh al-A‘zami menilainya sebagai hasan dalam al-Jami‘ al-Kamil (3872).
[2] Syeikh al-A‘zami menilainya sebagai hasan dalam al-Jami‘ al-Kamil (3826).
[3] Syeikh al-A‘zami menilainya sebagai hasan dalam al-Jami‘ al-Kamil (3873).
[4] Syeikh al-A‘zami menilainya sebagai hasan dalam al-Jami‘ al-Kamil (3874).
Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445