Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya hukum memindahkan daging hadyu atau adahi. Saya terdengar kisah orang palestin yang sekarang ini diserang oleh zionis israel dan kebetulan saya melakukan umrah dan boleh ke tidak saya sembelih binatang di palestin sebagai menolong fakir miskin di sana ?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ ۚ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِّن رَّأْسِهِ فَفِدْيَةٌ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ ۚ فَإِذَا أَمِنتُمْ فَمَن تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۚ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ ۗ تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ ۗ ذَٰلِكَ لِمَن لَّمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadah Haji dan Umrah kerana Allah, maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati, dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadah Haji, (bolehlah dia melakukannya kemudian wajiblah dia) menyembelih dam yang mudah didapati. Kalau dia tidak dapat (mengadakan dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kembali (ke tempat masing-masing). Semuanya itu adalah sepuluh (hari) yang cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid al-Haram (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksa-Nya (terhadap orang-orang yang melanggar perintah-Nya).”
(Surah al-Baqarah: 196)
Ibn Kathir berkata: “Ayat ini bermaksud jika kamu mampu untuk menunaikan ibadah haji, maka bagi mereka yang di antara kamu yang melakukan haji tamattu’ dengan melakukan umrah terlebih dahulu kemudian melakukan haji, termasuk di dalamnya orang yang berniat ihram untuk keduanya pada masa yang sama, atau yang pertama kali berniat ihram untuk umrah dan kemudian setelah selesai melakukan umrah, dia berniat ihram untuk haji. Ini disebut dengan haji tamattu’ secara khusus, dan ia maaruf dalam kalangan para fuqaha’. Maka hendaklah dia menyembelih haiwan hadyu berdasarkan apa yang dia mampu, dan yang paling sedikit adalah seekor kambing. Namun, boleh juga menyembelih lembu kerana Rasulullah SAW telah menyembelih lembu untuk isteri-isterinya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/399)
Dam ialah apa yang menjadi tebusan bagi dirinya dari dosa yang dilakukan, sama ada disebabkan oleh melakukan perkara yang dilarang atau meninggalkan apa yang wajib dilakukan. Seseorang itu boleh membersihkan dirinya dangan membayar dam disebabkan maksiat yang telah dilakukan yang mengundang azab Allah SWT. Dia perlu membayar tebusan tersebut sehingga dosa yang dilakukan diampuni oleh Allah SWT. Jika dia terpaksa melakukan perkara yang dilarang, maka dia dikehendaki membayar denda tersebut sehingga dosa tersebut dihapuskan. (Lihat Syarh ‘Umdah al-Fiqh,23/2)
Dam terbahagi kepada dua jenis iaitu:
- Dam berbentuk pilihan seperti berpuasa atau bersedekah atau menyembelih bintang.
Firman Allah SWT:
فَفِدْيَةٌ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ
Maksudnya: Hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam.
(Surah al-Baqarah: 196)
- Dam berbentuk turutan seperti berpuasa
Firman Allah SWT:
فَمَن تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۚ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ ۗ تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ
Maksudnya: Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadah Haji, (bolehlah dia melakukannya kemudian wajiblah dia) menyembelih dam yang mudah didapati. Kalau dia tidak dapat (mengadakan dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kembali (ke tempat masing-masing). Semuanya itu adalah sepuluh (hari) yang cukup sempurna
(Surah al-Baqarah:196)
Dalam menjawab masalah ini kami katakan dam hendaklah dibayar namun dalam isu ini ia bergantung kepada jenis dam. Kami katakan sekiranya dam tersebut disebabkan kerana melakukan haji tamattu’ atau qiran maka dibolehkan untuk memindahkan haiwan sembelihan itu ke luar Tanah Haram. Namun sekiranya dam itu disebabkan kerana melakukan pantang larang dalam ihram kami berpandangan tidak dibolehkan memindahkan haiwan sembelihan tersebut melainkan dalam Tanah Haram.
Yang demikian sebagaimana Keputusan Haiah Kibar Ulama bernombor 77 pada tarikh 21 Syawal 1400H. Keputusannya adalah seperti berikut:
- Binatang sembilah bagi haji tamattu’ atau qiran, adalah dibenarkan membawa keluar dari Tanah Haram. Para Sahabat pernah memindahkan haiwan sembelihan mereka ke Madinah. Diriwayatkan daripada Jabir Bin Abdullah R.Anhuma beliau berkata: Kami memakan sebahagian daging unta (korban) kami setelah tiga hari (Tasyriq) di Mina. Lantas Nabi SAW memberikan rukhsah kepada kami dengan bersabda:
«كُلُوا وَتَزَوَّدُوا»، فَأَكَلْنَا وَتَزَوَّدْنَا قُلْتُ لِعَطَاءٍ: أَقَالَ: حَتَّى جِئْنَا الْمَدِينَةَ؟ قَالَ: لاَ
Maksudnya: “Makan dan berbekallah kamu!” Maka kami pun memakannya dan memanfaatkannya sebagai bekal. Aku berkata kepada ‘Ata’: “Adakah beliau mengatakan, “Hingga kami tiba di Madinah?” Dia menjawab: “Tidak.”
Riwayat Bukhari (1719)
- Binatang yang disembelih oleh seorang yang melakukan haji di dalam Tanah Haram sebagai penebusan denda melakukan perburuan di Tanah Haran, atau menghilangkan sesuatu yang menyikiti di kepala, atau melakukan suatu yang ditegah dalam ihram atau meninggalkan sesuatu yang wajib maka, tidak dibolehkan untuk memindahkan haiwan sembelihan tersebut dari Tanah Haram. Yang demikian kerana haiwan sembelihan tersebut hanya dikhususkan oleh fakir miskin di Tanah Haram.
- Binatang yang disembelih di luar Tanah Haram sebagai dam kerana melakukan perburuan atau disebabkan oleh apa-apa halangan yang menyebabkan tidak dapat menyempurnakan haji atau umrah atau selain dari kedua-duanya maka,dibolehkan untuk melakukan sembelihan di luar Tanah Haram. Ia boleh di agih dan tidak ada halangan untuk memindahnya dari tempat sembelihan ke tempat yang lain.(Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh Al-Maram,4/92-93)
Sebagai kesimpulannya kami ingin menegaskan di sini bahawa daging sembelihan hanya boleh diberikan kepada fakir miskin di luar Tanah Haram apabila sembelihan tersebut dari dam tamattu’ dan qiran atau dam Ihsar. Namun, jika dam tersebut berkaitan dengan pantang larang ihram, maka tidak dibenarkan untuk mengeluarkannya dari Tanah Haram.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua’lam.
Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445