#3540: Ibu Uzur Solat dalam Kereta Dihadapan R&R

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya ada satu soalan. Mak saya berusia 77 tahun. Fizikal diri dia pada pandangan mata kami sudah tidak kuat sangat. Jalan pun guna tongkat empat. Bila keluar untuk berjalan-jalan perlu bantuan kerusi roda. Tetapi ibu saya, jenis yang suka ikut anak-anak melancong. Dia sanggup ikut walaupun kita lihat dia sebenarnya tidak lah berdaya sangat. Kadamg-kadang ibu rasa dia seperti tidak mahu menyusahkan anak-anak. Sebab memang agak menyusahkan ibu apabila kami berhenti untuk solat. Oleh kerana ibu beranggapan dia akan menyusahkan anak-anak, jadi ibu melakukan solat di dalam kereta sahaja. Dalam perjalanan ibu mengangkat takbir dan solat. Dalam kemudahan RnR dan ada masjid yang boleh kita berhenti untuk solat, adakah boleh kami membiarkan atau membolehkan ibu solat di dalam kereta sahaja? Jika boleh, perlukah ibu mengqadha solat yang dikerjakan semasa perjalanan di dalam kereta itu?

 Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pentingnya solat kerana ia adalah tiang agama.  Begitu juga,  solat itu ada waktunya tersendiri yang mana wajib ditunaikan mengikut waktu yang telah ditetapkan. Firman Allah SWT:

 إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Surah an-Nisa’ (103)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seseorang itu lebih tahu tentang dirinya. Sekiranya dia mampu untuk menjalankan segala rukun seperti qiam, rukuk dan sujud dengan sempurna, maka wajib ke atasnya berbuat demikian. Alternatif lain yang boleh dilakukan adalah dengan membentangkan sejadah di sebelah kereta dengan menghadap kearah kiblat. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya:  Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.

Riwayat Al-Bukhari (1066)

Imam Al-Nawawi menyatakan jika sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu berasa khuatir (kesusahan yang kuat) atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan khuatir akan tenggelam (jika melakukan solat secara berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala yang kuat, maka dibolehkan untuknya solat secara duduk, serta tidak perlu untuk mengulanginya. (Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/310).

Sikap anda membawa ibu untuk menghiburkan hati adalah baik, cumanya jika boleh meletakkan kenderaan berhampiran tempat solat. Jika tidak mampu sediakan kerusi seperti kerusi lipat bagi memudahkan ibu anda solat. Kami yakin prihatin dan kecaknaan anda bukan semata-mata untuk diri sendiri tetapi untuk ibu, adalah salah satu sifat yang mulia yang sebenarnya dianjurkan oleh islam firman

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ

Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.”

Surah Taha (132)

Akhir kalam, semoga dengan penjelasan yang diberikan ini, mampu memberikan kepada kita kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Wallahua`lam.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445