#3542: Solat dengan Pakaian yang Terkena Darah Akibat Eczema

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan berkenaan eczema isteri saya. Isteri saya kena eczema seluruh badan sejak mengandungkan anak sulung kami pada 2017. Sehingga selepas kelahiran anak kedua pada 2019 dan sekarang ni, eczema dia masih belum baik bahkan ada bahagian yang sentiasa bernanah dan berdarah bila pecah. Jadi keadaan ini sangat mengganggunya terutamanya semasa hendak solat. Kadang kala baru sahaja lepas ambil wuduk, eczema tu berdarah. Semasa dia bekerja pula, darah daripada eczema tu akan terkena pada pakaiannya. Soalan saya, bolehkah dia tunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk selepas eczema tu berdarah? Dan bagaimana pula dengan pakaian yang terkena sedikit darah daripada eczema itu? Sahkah solat yang ditunaikan dengan sedikit darah tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikannya kepada beberapa perbahasan. Pertamanya, para fuqaha telah bersepakat mengenai pengharaman darah (yang mengalir) dan juga kenajisannya.  (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/557; al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi, 1/34-35; Mawahib al-Jalil, 3/234; Mughni al-Muhtaj, 1/112; al-Mughni, 11/65; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/220-221).

Di antara dalil yang menunjukkan kepada kenajisan darah (yang mengalir) ialah kita diperintahkan untuk mencucinya. Ini sebagaimana riwayat daripada daripada Asma’, katanya:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا تَحِيضُ فِي الثَّوْبِ، كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: تَحُتُّهُ، ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالمَاءِ، وَتَنْضَحُهُ، وَتُصَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Bagaimanakah pendapat tuan jika salah seorang daripada kami, kainnya terkena darah haid, apakah yang harus dia lakukan?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Hendaklah dia menyental (kain yang terkena darah itu), kemudian menggores dengan kukunya dengan air, dan merenjisnya dengan air, setelah itu bolehlah dia menunaikan solat dengannya.’

Riwayat al-Bukhari (227)

Keduanya, meskipun darah merah dihukumkan sebagai najis, akan tetapi wuduk seseorang itu tidak terbatal disebabkan keluarnya darah dari badan sekalipun banyak selain melalui dua saluran; qubul dan dubur. Inilah pendapat yang sahih. Hal ini kerana ia tidak memberi kesan terhadap kesahan wuduk seseorang mahupun membatalkan kesahannya.

Di antara dalil yang dijadikan dasar bahawa keluarnya darah, tidak termasuk perkara membatalkan wuduk adalah hadith yang disebutkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya. Imam al-Bukhari menyatakan, disebutkan daripada Jabir R.A bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي غَزْوَةِ ذَاتِ الرِّقَاعِ فَرُمِيَ رَجُلٌ بِسَهْمٍ، فَنَزَفَهُ الدَّمُ، فَرَكَعَ، وَسَجَدَ وَمَضَى فِي صَلاَتِهِ

Maksudnya: “Ketika Nabi SAW dalam peperangan Zat al-Riqa‘, pernah berlaku seorang lelaki (sahabat Nabi SAW) dipanah musuh ketika beliau sedang solat dan anak panah yang mengenainya itu menyebabkan darah mengalir dengan banyak dari tubuhnya. Akan tetapi beliau tetap rukuk, sujud dan meneruskan solatnya.”

Kemudian, Imam al-Bukhari menukilkan pula daripada al-Hasan yang menjelaskan bahawa orang-orang Islam tetap melaksanakan solat dengan luka-luka yang ada pada tubuh mereka. Begitu juga Tawus, Muhammad bin Ali, ‘Ata’ dan ulama Hijaz berpendapat, tidak perlu berwuduk kerana keluar darah. Selain itu, Ibn Umar pernah memicit jerawatnya  lalu keluar darah, tetapi beliau tidak mengulangi wuduk kerananya. Tambahan lagi, Ibn Abi Aufa juga pernah meludahkan darah, namun beliau terus menyempurnakan solatnya. Begitu juga Ibn Umar dan al-Hasan berkata mengenai orang yang berbekam: “Tidak perlu dia melakukan apa-apa selain membasuh tempat-tempat yang dibekam itu.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/76).

Perbahasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Keluarnya Darah Tidak Membatalkan Wuduk.

Ketiganya, sebagaimana yang kita ketahui bahawa di antara syarat sah solat ialah suci anggota badan daripada hadas dan juga najis. Begitu juga suci pakaian dan tempat bersolat daripada najis. Tempat bersolat bermaksud ruang yang digunakan oleh orang yang bersolat termasuk tempat berpijak hingga ke tempat sujud yang bersentuhan dengan badannya ketika bersolat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/121-123).

Manakala darah pula sebagaimana yang kita telah jelaskan sebelum ini adalah najis. Ini bermakna darah jika terkena pada badan, pakaian atau tempat solat maka solat itu tidak sah kerana dikira sebagai menanggung najis. Sekalipun begitu, dalam hal darah tersebut, para ulama membezakan di antara jumlah atau kuantiti darah yang terkena pada badan/pakaian dalam menentukan kesahan solatnya.

Justeru, darah yang sedikit yang terkena pada pakaian, tidak kira ia darah manusia mahupun darah haiwan, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Menurut Imam Nawawi, apabila seseorang itu membunuh nyamuk dan kutu dan darahnya terkena pada pakaian atau melekat pada celah-celah jari, hukumnya adalah najis jika ia dalam jumlah yang banyak. Adapun jika sedikit, maka terdapat perselisihan ulama mengenainya, dan pendapat yang paling sahih, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan. (Lihat  al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/135).

Begitu juga al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara contoh darah yang dimaafkan dan termasuk di bawah kategori ‘umum al-balwa yang sukar disucikan adalah seperti darah nyamuk, lalat, kutu dan lain-lain darah yang tidak mampu dilihat oleh mata. (Lihat al-Iqna‘ fi Halli Alfaz Abi Syuja‘, 1/90). Malah al-Kasani juga ada menyatakan, najis yang sedikit tidak mungkin atau teramat sukar untuk dielakkan dan dibuang. Jika najis yang sedikit itu tidak dimaafkan, manusia akan ditimpa dengan kesulitan dan kesukaran. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 1/79-80).

Tambahan lagi, hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Nawawi al-Jawi al-Bantani dalam kitabnya, bahagian najis yang dimaafkan pada pakaian tetapi tidak dimaafkan pada air iaitu darah yang sedikit. Hal ini kerana mudah untuk mengelakkan air dari terkena darah, berbeza halnya dengan pakaian (yang sukar untuk dielakkan daripada terkena darah). Termasuklah juga dalam bahagian ini kesan istinja’ dengan batu, ia juga dimaafkan pada pakaian dan badan sekalipun jika sebahagiannya mengalir dengan peluh lalu terkena pada pakaian di tempat berhampiran kemaluan ia turut dimaafkan. Namun, tidak dimaafkan dalam hal beristinja’ dengan air. (Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 44).

Selain daripada itu, pengarang al-Fiqh al-Manhaji juga ada menyebutkan sebahagian najis-najis yang dimaafkan. Di antaranya, darah luka atau nanah walaupun banyak dengan syarat ia terjadi pada dirinya sendiri, bukan daripada perbuatannya dan tidak disengajakannya, serta tidak terkena ke tempat lain. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/43).

Begitu juga al-Bakri al-Dimyati juga ada menyatakan, darah bisul, luka, jerawat, tempat-tempat fasdu (flebotomi) dan bekam selepas ditutup atau ditampal dengan kapas misalnya, maka ia dimaafkan pada kadar/kuantiti darah yang banyak sebagaimana ia dimaafkan pada kuantiti yang sedikit, sekalipun ia tersebar disebabkan berbekam selagimana bukan daripada hasil perbuatannya sendiri dan tidak melampaui tempatnya (yakni tidak terkena tempat lain). Sekiranya tidak, maka ia dimaafkan pada kadar/kuantiti yang sedikit. (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/120).

Oleh itu, dapat difahami daripada kenyataan di atas, jika darah seseorang keluar disebabkan luka sekalipun banyak bukan kerana perbuatannya sendiri, lalu tempat luka itu dibalut dengan kain atau seumpamanya, maka ia termasuk dalam najis yang dimaafkan dengan syarat ia tidak berpindah ke tempat lain, meskipun jelas pada balutan tersebut kesan merah disebabkan banyaknya darah yang keluar.

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami menyimpulkan jawapan kami sebagaimana berikut:

  • Kami berpendapat bahawa seseorang itu boleh menunaikan solat tanpa perlu memperbaharui wuduknya sekalipun eczemanya berdarah kerana keluarnya darah itu tidak memberi kesan terhadap kesahan wuduk seseorang mahupun membatalkan kesahan wuduknya.
  • Namun, sekiranya dia ingin menunaikan solat, maka hendaklah dilihat, jika kuantiti darah daripada eczema itu sedikit lalu terkena pada pakaiannya tanpa disengajakan, maka ia dimaafkan dan sah solat dengannya. Akan tetapi jika kuantiti darah yang terkena pada pakaiannya itu banyak, maka tidak sah solat dengannya kerana dikira menanggung najis. Oleh itu, dia hendaklah membersihkannya terlebih dahulu sebelum solat atau solat dengan pakaian yang lain.
  • Walau bagaimanapun, jika kuantiti darah yang keluar itu banyak lalu ia dibalut dengan kain, plaster atau seumpamanya, tetapi darah tetap keluar dengan banyaknya dan ia tidak merebak ke tempat lain, maka ia juga termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Hal ini adalah disebabkan oleh kesukaran untuk dielakkan. Begitu juga berkenaan kayu ukur untuk menentukan najis itu banyak atau sedikit kembali semula kepada ‘uruf dan kebiasaan setempat.

Tambahan lagi, kami juga ingin mengambil kesempatan di sini menyatakan, kelonggaran atau rukhsah yang diberikan disebabkan terdapatnya kesukaran atau masyaqqah yang tidak dapat dielakkan sebagaimana yang telah dijelaskan di atas adalah bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445