#3545: Memburu Babi Liar untuk Dijual kepada Bukan Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seseorang itu memburu babi liar untuk dijual kepada orang bukan Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, syarak membenarkan kita memburu haiwan yang halal dagingnya bagi tujuan mendapatkan manfaat daripada haiwan buruan tersebut, sama ada untuk dimakan, dijual, disedekahkan kepada mereka yang memerlukan, diberikan sebagai hadiah kepada rakan-rakan dan kaum kerabat atau lain-lain perkara yang termasuk dalam jenis-jenis manfaat yang dapat diperoleh daripadanya. Bahkan, hukumnya adalah dibolehkan mengikut ijma‘ ulama. Berkenaan hal ini juga, Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin ada menyebutkan, tidak ada syak lagi mengenai keharusannya, dan itulah yang dihalalkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dalam kitab-Nya dan sabit dalam Sunnah Nabi SAW, serta telah disepakati oleh kaum Muslimin. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 15/98).

Seterusnya, perburuan itu juga termasuk dalam sembelihan syar‘i jika ia memenuhi syarat-syaratnya. Di antaranya, pemburu mestilah menyebut nama Allah SWT pada alat tersebut ketika menggunakannya atau memukul dengannya bertepatan dengan ajaran Nabi SAW berdasarkan hadith-hadith. Begitu juga senjata itu mestilah tertusuk ke dalam badan binatang buruan tersebut lalu mati dengan sebab ketajaman dan tikaman alat tersebut bukan kerana beratnya. Penjelasan lanjut mengenai hal ini bolehlah merujuk kepada artikel kami yang berikut:

  • #1300: Memburu Haiwan dengan Senapang.[1]
  • #1394: Memburu Haiwan dengan Senjata Tajam yang Beracun.[2]

Keduanya, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302). Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinukilkan perkataan al-Alusi bahawa dikhususkan dengan menyebut dagingnya, sedangkan baki bahagiannya yang lain juga adalah dihukumkan sebagai najis, berbeza dengan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Zahiri kerana ia merupakan kebanyakan bahagian daripada haiwan yang dimakan. Manakala baki bahagian-bahagiannya yang lain pula adalah mengikuti hukumnya — yakni hukum daging itu. Menurutnya, pengkhususan dengan menyebut dagingnya itu adalah bertujuan bagi menzahirkan keharaman apa yang dianggap baik dan disukai pada seluruh daging serta membesarkan lagi tanda pengharamannya itu.

Selain daripada itu, dhamir pada ayat “أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ”, dalam kaedah bahasa Arab ia akan kembali yang terdekat disebutkan iaitu perkataan ‘babi’ itu sendiri. Maka, sahihlah dengan al-Quran bahawa babi itu zatnya adalah kotor dan najis. Sesuatu yang kotor dan najis adalah haram dan wajib dijauhi. Justeru, babi itu keseluruhannya adalah haram dan tidak terkeluar daripada hukum haram itu sama ada bulunya mahupun selainnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/140-141).

Ketiganya, Allah SWT apabila mengharamkan sesuatu, Dia turut mengharamkan hasil jualannya, perniagaan yang mengandunginya dan membantu hal-hal yang melibatkannya. Maka, Allah SWT telah mengharamkan daging babi, maka diharamkan juga berjual beli dengannya, menghidangkannya dan membantu untuk memakannya.

Terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawasanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika berada di Makkah pada tahun pembukaan kota Makkah:

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: لاَ، هُوَ حَرَامٌ. ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ إِنَّ اللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ.

Maksudnya:Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan patung-patung berhala. Ditanyakan (oleh seseorang): ‘Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu dengan lemak bangkai, sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, meminyakkan kulit dan dijadikan lampu oleh orang ramai?’ Nabi SAW bersabda: ‘Tidak boleh, itu adalah haram.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda saat itu juga: ‘Semoga Allah memerangi (melaknat) orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya, kemudian menjualnya, lalu memakan daripada hasil jualannya.’

Riwayat al-Bukhari (2236)

Sesungguhnya Allah SWT tidak mengharamkan sesuatu melainkan Dia mencukupkan (manusia) dengan penggantinya daripada jenisnya yang diharuskan. Maka Dia mengharamkan zina tetapi mengharuskan nikah, mengharamkan daging babi tetapi mengharuskan daging unta, mengharamkan sutera (untuk lelaki) tetapi mengharuskan bulu biri-biri dan kapas, mengharamkan rampasan dan rompakan tetapi menghalalkan ghanimah (harta rampasan perang), mengharamkan pencerobohan dan penindasan tetapi mengharuskan jihad dan begitulah seterusnya. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/390).

Maka, berbalik kepada soalan yang diajukan, menjual babi liar kepada orang kafir adalah tidak dibolehkan dan adalah tidak sah kerana babi dihukumkan sebagai najis dan terdapat nas yang jelas melarang jual beli babi. Selain itu juga pengharaman babi pada hakikatnya bukan hanya kepada orang Islam, tetapi turut meliputi seluruh manusia sesuai dengan penurunan al-Quran sebagai sumber wahyu dan petunjuk buat umat akhir zaman keseluruhannya. Firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya:(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Bukan itu sahaja, membantu memburu babi liar lalu menjualnya sekalipun kepada orang kafir adalah tidak dibolehkan kerana perkara tersebut dilihat seolah-olah membantu kepada perkara maksiat. Pada asasnya, sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh membantu orang lain dalam melakukan dosa.  Firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).

Justeru, berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa perbuatan membantu orang lain dalam melakukan perkara yang berdosa adalah diharamkan. Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:

إِعَانَةُ الـمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya:Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).

Oleh itu, walaupun seseorang itu tidak melakukan sendiri maksiat tersebut, namun perbuatannya dalam menolong orang lain untuk melakukan perbuatan maksiat akan turut dianggap sebagai maksiat.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa seseorang Muslim tidak boleh menjual babi liar sekalipun kepada orang bukan Islam dan jual beli tersebut adalah tidak sah kerana babi dihukumkan sebagai najis dan terdapat nas yang jelas melarang jual beli babi. Apatah lagi, seseorang Muslim itu sendiri dilarang daripada memburu babi liar kerana ia tidak termasuk dalam jenis haiwan yang halal dagingnya bagi tujuan mendapatkan sebarang manfaat. Bahkan perbuatannya memburu babi liar itu sama ada untuk dijual atau diberikan kepada bukan Islam dilihat seolah-olah seperti membantunya dalam perkara maksiat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/1300-memburu-haiwan-dengan-senapang/. Diakses pada 12 Oktober 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/1395-memburu-haiwan-dengan-senjata-tajam-yang-beracun/. Diakses pada 12 Oktober 2023.

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445