#3548: Status Solat Jamak Qasar: Tidak Dapat Ditentukan Hari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bekerja dan menetap dengan family di KL dan parents saya di Kuantan. Saya balik ke kampung dalam 2/3 kali setahun. Saya ada beberapa persoalan yang sering bermain di fikiran.

1) Bolehkah saya dibenarkan solat jamak dan qasar jika saya berada di kampung saya atas urusan kerja yang melibatkan saya tinggal selama 4 hari di kampung saya.

2) Apakah yang dimaksudkan kita dibenarkan solat jamak atau qasar selama 3 hari di sesuatu tempat yang bukan tempat menetap kita dan jika kita sambung lagi kerja disitu dan tidak tahu bila balik ke tempat menetap asal kita boleh buat qasarkan solat selama sehingga 14 hari di tempat kita berurusan kerja.

3) jika kita bercuti ke suatu tempat selama 5 hari,adakah kita boleh lakukan solat jamak atau qasar kerana kadangkala kita sedang bercuti dan terlepas waktu untuk lakukan solat pada waktu itu.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km.
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#111 Hari Masuk dan Hari Keluar dalam Isu Jamak Qasar[1]

#1463: Jamak dan Qasar Ketika di Kampung Ibu Bapa[2]

#2040: Jamak Solat ketika Bercuti Selama Seminggu[3]

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan memandangkan persoalan-persoalan anda sudah kami jelaskan dalam artikel sebelum ini. Maka di sini kami jelaskannya secara ringkas bagi memudahkan anda faham. Kami membahagikan jawapan kepada beberapa bahagian:

1)    Menetap di rumah ibubapa selama 4 hari atas faktor kerja.

Dibolehkan jamak qasar selama 3 hari 3 malam (tidak termasuk hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi). Sekiranya 4 hari tersebut tidak termasuk hari sampai dan pulang, maka tidak boleh anda jamak qasar ketika sampai ke kampung dan hanya boleh jamak qasar ketika dalam perjalanan ke kampung dan ketika perjalanan pulang sahaja.

 

2)    Maksud dibenarkan solat jamak atau qasar selama 3 hari dan sekiranya tidak tahu bila akan balik ke tempat bermukim asal.

Dibolehkan untuk solat jamak qasar dalam tempoh 3 hari 3 malam (tidak termasuk hari sampai dan hari pulang) apabila menepati syarat jamak qasar seperti yang disebutkan di atas. Hal ini kerana tidak dikira bermukim apabila seseorang itu tinggal tidak melebihi 3 hari. Adapun, sekiranya seseorang itu dari awal tidak mengetahui bila dia akan pulang semula ke rumahnya, maka dibenarkan untuknya jamak qasar selama 18 hari sahaja mengikut pendapat yang asah (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/473). Namun, jika dia yakin ia akan mengambil masa lebih dari 3 hari, maka dia hanya jamak qasar dalam perjalanan sahaja.

 

3)    Bercuti ke suatu tempat selama 5 hari.

Tidak dibolehkan jamak qasar ketika sampai ke destinasi tempat bercuti berkenaan kerana melebihi 3 hari 3 malam dan hanya dibolehkan sewaktu perjalanan sahaja.

Namun, sekiranya 5 hari tersebut merangkumi hari pergi dan balik, maka dibolehkan untuknya jamak qasar kerana menepati syarat.

Semoga perbahasan ini, sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan harian kita.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

[1] https://maktabahalbakri.com/111-hari-masuk-dan-hari-keluar-dalam-isu-jamak-qasar/

[2] https://maktabahalbakri.com/1463-jamak-dan-qasar-ketika-di-kampung-ibu-bapa/

[3] https://maktabahalbakri.com/2041-jamak-solat-ketika-bercuti-selama-seminggu/

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445