Soalan
Apa hukum mursal di sisi ulama’ al-Syafi’i?
Jawapan
Kami mulakan dengan mengemukakan beberapa definisi hadith mursal seperti berikut:
Pertama: Ia adalah hadith yang gugur sahabat daripada sanadnya. Inilah definisi yang dikemukakan oleh Imam al-Baiquni dalam manzhumahnya:
وَمُرْسَلٌ مِنْهُ الصَّحَابِيُّ سَقَطَ
Maksudnya: “Dan [Hadith Mursal] ialah (hadith) yang pada sanadnya gugur (tiada) sahabat.”
Kedua: Hadith yang diriwayatkan oleh Tabi’in terus kepada Nabi SAW. Definisi ini meletakkan syarat bahawa hadith Mursal adalah melalui riwayat Tabi’in yang terus diriwayatkan kepada Nabi SAW tanpa melalui sahabat. Ini kerana, jika yang meriwayat terus kepada Nabi SAW bukan dari kalangan tabi’in, maka riwayat tersebut tidak dinamakan Mursal, bahkan ia dinamakan Munqati’, sepertimana yang telah kami jelaskan sebelum daripada ini.
Ketiga: Hadith yang diriwayatkan oleh Tabi’in yang besar (senior), terus kepada Nabi SAW. Definisi ini telah mengeluarkan tabi’in yang kecil seperti Sa’id bin Jubair, Salim bin Abdillah dan lain-lain lagi. Antara contoh Tabi’in yang besar adalah seperti Sa’id ibn al-Musayyib. Namun definisi ini tidak masyhur sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Salah, bahawa tabi’in kesemuanya adalah sama.
Keempat: Mursal ialah hadith yang pada sanadnya terputus walaupun ia terputus sebelum daripada tabi’in.
Secara ringkasnya, daripada beberapa definisi di atas, kita dapat rumuskan bahawa hadith Mursal ialah hadith yang pada sanadnya tidak dinyatakan (gugur) sahabat, iaitu riwayat tabi’in (sama ada tabi’in itu besar atau kecil), secara terus kepada Nabi SAW. Contohnya, “Sa’id ibn al-Musayyib berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda.” Kita ketahui bahawa Sa’id bin al-Musayyib adalah merupakan seorang tabi’in yang tidak bertemu secara terus dengan Rasulullah SAW.
Hukum Hadith Mursal
Secara asasnya, para ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan hukum hadith Mursal ini kepada beberapa pandangan.
Pertama: Hadith Mursal Sahih boleh dijadikan hujjah secara mutlak. Ini adalah pendapat Imam Malik, Abu Hanifah dan jumhur pengikut mazhab Imam Malik dan Abu Hanifah.
Kedua: Hadith Mursal adalah dha’if dan tidak boleh dijadikan hujjah secara mutlak. Ini adalah pendapat jumhur pengkritik dari kalangan ahli hadith dan ini juga pendapat ramai daripada kalangan ahli Feqah dan ahli Usul.
Ketiga: Hadith Mursal ini diterima tetapi dengan bersyarat. Ini adalah pandangan Imam al-Syafi’i. Antara syarat-syarat yang ditetapkan ialah:
- Syarat bagi Perawi
- Perawi itu perlulah seorang yang thiqah.
- Tabi’in tersebut hendaklah daripada kalangan tabi’in yang besar.
- Perawi tersebut hendaklah diketahui bahawa dia tidak meriwayatkan daripada perawi yang lemah (dha’if) atau
- Syarat bagi Riwayat
- Riwayat yang mursal itu perlu disokong oleh riwayat lain yang bersambung sanadnya kepada Rasulullah SAW tanpa terputus walaupun riwayat yang bersambung itu dha’if (lemah).
- Riwayat yang mursal itu disokong oleh riwayat mursal yang lain dengan syarat riwayat tersebut perlu datang daripada jalur yang berbeza.
- Riwayat yang mursal itu menepati fatwa para sahabat atau fatwa para ulama’.
Kesimpulannya, hadith Mursal ini hukumnya adalah dha’if kerana sanadnya terputus dan ini merupakan pendapat ahli hadith seperti Imam Muslim.
Hukum Mursal di Sisi Ulama’ al-Syafi’i
Imam al-Syafi’i menghadkan marasil dalam mursal kibar tabi’in sahaja. Adapun sighar tabi’in, maka beliau tidak menerimanya.
Beliau menyebut: “Adapun selepas kibar tabi’in yang banyak menyaksikan kepada beberapa sahabat Rasulullah SAW, maka aku tidak ketahui seorang pun daripada mereka, yang dapat diterima mursalnya.” (Lihat al-Risalah, hlm. 465)
Adapun mursal kibar al-tabi’in, jika sekiranya diketahui daripada tabi’in itu bahawa dia tidak meriwayatkan kecuali daripada perawi yang adil, maka diterima mursalnya, dan ia adalah seperti musnadnya.
Namun, jika tidak diketahui daripada tabi’in kibar dengan perkara ini, maka ditawaqqufkan pada penerimaan khabarnya sehinggalah ia disokong dengan salah satu daripada perkara berikut:
- Disokong oleh kata-kata Sahabat
- Disokong oleh perbuatan Sahabat
- Kata-kata itu juga diucapkan oleh ramai ahli ilmu.
- Ia dimursalkan oleh yang lain, selain para syeikh yang pertama.
- Disokong oleh qiyas.
- Bahawa khabar itu tersebar tanpa bantahan.
- Disokong oleh perbuatan ahli zaman tersebut.
Kesemua sokongan ini bagi dii’timad kepada mursal yang terdapat dalam bab yang lain.
Adapun, jika tidak terdapat pada bab yang lain, maka al-Subki berkata: “Yang jelas ia adalah terhenti kerananya.” Yakni, yang lebih berhati-hati adalah tidak beramal dengannya, sepertimana yang dijelaskan oleh Jalal al-Din al-Mahalli.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita sentiasa menjunjung Hadyun Nabawi dan Hadith Nabi SAW dalam kehidupan kita. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445