#3550: Mengelakkan Riba dalam Membeli Rumah

Soalan

Saya hendak membeli rumah buat kali pertama. Adakah cara untuk saya mengetahui bagaimana saya nak elakkan riba?

Jawapan

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Menurut Imam al-Mawardi, para ulama telah bersepakat tentang pengharaman riba. Namun terdapat perbezaan pandangan tentang cabang-cabang berkaitan riba dan kaedah pengharamannya. Beliau menyebut:

قَدْ أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى تَحْرِيمِ الرِّبَا وَإِنِ اخْتَلَفُوا فِي فُرُوعِهِ وَكَيْفِيَّةِ تَحْرِيمِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin (para ulama) atas pengharaman riba walaupun terdapat perbezaan terhadap perkara cabangnya dan bagaimana pengharamannya.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 5/74)

Manakala pandangan Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ menyatakan riba adalah salah satu dosa besar malah pengharaman riba ini turut dilakukan oleh Syariat agama lain. Beliau berkata:

فَقَدْ أَجْمَعُ الْمُسْلِمُونَ عَلَى تَحْرِيمِ الرِّبَا وَعَلَى أَنَّهُ مِنْ الْكَبَائِرِ وَقِيلَ إنَّهُ كَانَ مُحَرَّمًا فِي جَمِيعِ الشَّرَائِعِ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin atas pengharaman riba dan ianya merupakan salah satu dosa besar, dan ada pendapat yang menyatakan riba diharamkan pada semua syariat agama-agama lain (samawi).” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/391)

Dalam menjawab persoalan di atas, buatlah pinjaman melalui bank-bank Islam, di mana banyak skim-skim yang boleh didapati.

Selain itu, kami nyatakan juga di sini bahaya amalan riba, antaranya:

  • Sistem riba menjadikan pemberi pinjaman yang kaya akan bertambah kaya dan senang lagi. Manakala mereka yang meminjam akan bertambah susah dan terdesak lagi.
  • Faedah berlipat ganda sekiranya orang yang meminjam tidak dapat melangsaikan hutangnya.
  • Sistem riba boleh menghancurkan akhlak yang terpuji dan menukarnya dengan akhlak tidak bertimbang rasa dan tidak berperikemanusiaan.
  • Masyarakat Arab Jahiliyyah di Makkah telah hidup dalam porak-peranda disebabkan oleh amalan riba.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445