Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya tidak mampu untuk membayar harga yang ditetapkan bagi perisian (software) komputer seperti AutoCad, Revit, SketchUp, Lumion dan seumpamanya kerana ianya menelan belanja lebihan ribu (annual subscription) untuk satu perisian saja. Sekiranya saya menghasilkan portfolio menggunakan salah satu perisian (software) tersebut tetapi dengan versi cetak rompak untuk mencari kerja, adakah tidak berkat gaji saya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Portfolio merupakan satu koleksi dokumen yang memberi gambaran tentang seorang profesional dari segi pengetahuan, kemahiran, pengalaman, kelayakan, matlamat dan pencapaian.
Menjawab persoalan di atas, pertamanya, sekiranya benar perisian (software) tersebut telah ditetapkan bayaran oleh pemiliknya kepada sesiapa sahaja yang ingin menggunakan manfaatnya, maka secara zahirnya ia terbina di atas akad al-ijarah (الإِجَارَةُ) atau sewaan. Al-Ijarah menurut istilah syara‘ ialah sebuah akad perjanjian bagi mendapatkan manfaat (khidmat) tertentu yang boleh dibayar dan dihalalkan dengan barangan tertentu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/438)
Akad al-ijarah ini terbina di atas 4 rukun yang utama, seperti:
- Pihak yang melakukan akad: iaitu penyewa dan yang memberi khidmat sewa.
- Lafaz akad: iaitu lafaz ijab dan lafaz terima.
- Manfaat yang ditawarkan.
- Bayaran sewa atau upah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/139-148)
Hukum membayar sewa apabila telah lengkap kesemua rukun yang empat ini adalah wajib. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ
Maksudnya: “Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.”
(Surah al-Talaq: 6)
Allah SWT memerintahkan para bapa supaya memberikan ganjaran sebagai upah kepada penyusuan anak mereka. Berdasarkan ayat ini, upah menjadi hak penyusu dan sudah tentu mereka tidak berhak menerima upah ini melainkan melalui kontrak tertentu. Ini kerana jika mereka menyusukan anak tanpa sebarang kontrak, perbuatan mereka dianggap sebagai sukarela. Orang yang melakukan sesuatu secara sukarela tidak berhak mendapat apa-apa bayaran. Dengan ini, ayat ini menjadi dalil bahawa kontrak ini bertepatan dengan syara’. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/137)
Jika diqiaskan dengan hukum sewaan di sini, sekiranya saudara yang bertanya melakukan akad dengan syarikat yang menyediakan khidmat perisian (software) tersebut, maka wajib hukumnya untuk ditunaikan bayaran sewaan. Adapun sekiranya khidmat perisian tersebut digunakan tanpa akad dan bayaran, maka hukumnya sama seperti mengambil sesuatu milik orang lain tanpa kebenaran dan redha mereka.
Sedangkan terdapat larangan yang jelas di dalam al-Quran daripada memakan harta orang dengan cara yang batil. Hal yang demikian berdasarkan firman Allah SWT:
لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ
Maksudnya: “Janganlah kamu makan harta di kalangan kamu dengan cara yang batil kecuali berlakunya jual beli yang kamu redhai antara kamu.”
(Surah al-Nisa’: 29)
Imam al-Tabari mengatakan bahawa Allah SWT melarang orang-orang yang beriman daripada saling memakan harta sesama mereka dengan cara yang diharamkan, seperti riba, berjudi, dan lain-lain yang diharamkan Allah SWT, kecuali berlakunya jual beli yang kamu redhai. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 8/216)
Bahkan Allah SWT telah menyatakan dengan jelas ancaman yang dahsyat buat mereka yang berbuat zalim ini. Firman Allah SWT:
وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوَانًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّـهِ يَسِيرًا
Maksudnya: “Dan sesiapa berbuat demikian (makan harta dengan cara batil dan berbunuhan) dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapa pun yang dapat menghalangnya).”
(Surah al-Nisa’: 30)
Perihal menghukum keberkatan gaji seseorang itu pula, maka kami serahkan perkara tersebut kepada Allah SWT. Tiadalah yang lebih mengetahui akan keberkatan sesuatu itu melainkan Dia yang Maha Mengetahui.
Nasihat kami, sekiranya ingin menggunakan hak orang lain, gunakanlah ia dengan cara yang benar iaitu dengan melakukan akad yang sah berlandaskan syara‘. Apabila akad dilakukan pula, tunaikanlah amanah yang dijanjikan dengan sebaiknya. Serahkan bayaran sewa yang sepatutnya kepada pemilik tersebut. Hal ini kerana islam mewajibkan untuk menunaikan janji yang telah dimeterai antara dua pihak dalam apa jua bentuk akad. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”
(Surah al-Ma’idah: 1)
Perkara yang terlebih utama untuk saudara titik beratkan adalah amanah, kejujuran dan rezeki yang halal dalam mencari suatu pekerjaan. Meskipun saudara memerlukan perisian tersebut untuk mendapatkan suatu pekerjaan yang baik, akan tetapi rezeki yang halal secara keseluruhannya dengan menggunakan cara yang berlandaskan syara‘ adalah lebih penting.
Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 13 Oktober 2023 bersamaan 28 Rabiulawwal 1445